#9 Halal atau Haram?

87 5 0
                                    

ALI sampai di rumah hampir tengah malam. Merungut hatinya bila melihat lorong menuju ke rumahnya masih gelap-gelita. Apa masalahnya? Takkanlah hendak pasang lima biji lampu jalan pun payah sangat? Katanya kawasan perumahan elit tetapi lampu jalan pun tidak ada!

Waktu yang sudah larut menambahkan lagi keheningan suasana. Menjeling ke arah rumah jirannya sebelum lampu kereta dimatikan. Laman depan rumah jirannya kosong. Kereta jirannya tidak ada. Rumah jirannya pun kelam-gelemat. Hati Ali berkata-kata membuatkannya tersenyum sinis. Namun, semasa hendak turun dari kereta, dia tersentak bila ternampak pergerakan aneh pada sudut bawah kaca tingkap rumah jirannya. Terhenti niatnya untuk turun walaupun sebelah kaki sudah terjejak ke tanah.

Kunci kereta dicucuh semula ke lubangnya. Ia jatuh ke lantai kereta.

"Ish! Kelam-kabut lagi!" marah Ali pada diri sendiri.

Kunci yang jatuh dikutip dari lantai kereta, dicucuh ke lubangnya dengan berhati-hati lalu dipulas. Lampu keretanya dinyalakan semula. Diperhati tingkap hadapan rumah jirannya dengan cermat, namun tidak ada apa-apa di situ. Mungkin perasaannya sahaja tadi, dia berdetik dalam hati, namun hati yang sama tetap berkata dia nampak sesuatu bergerak di situ. Selepas mematikan lampu keretanya buat kali kedua, Ali keluar dan berdiri di celah pintu keretanya yang terkangkang, menyangkutkan buku bahu kirinya di atas bumbung kereta dan yang kanan pula pada bingkai pintu keretanya. Mata terus memetia cermin tingkap rumah jirannya yang tertutup rapat. Melihati.

'Cepatlah... tunjukkan muka kau. Tunjuk rupa kau. Aku nampak kau tadi. Cepatlah... aku tahu kau ada kat situ,' getus hati Ali.

Bagai menyahut doanya, sesuatu melompat dari atas lantai dan bertenggek pada ambang tingkap rumah jirannya. Ali juruskan pandangan, terpaksa berhenti bernafas untuk mengeraskan tubuh badan. Sekali lagi benda itu bergerak.

Melayang semangat Ali!

"Miau..." Halus sahaja bunyinya.

'Uh... tak guna! Buat saspens je.'

Tersenyum-senyum Ali mengenangkan diri yang berjaya ditakutkan oleh seekor anak kucing. Kalaulah emak tahu anak kucing pun boleh buat dia paranoid, pasti teruk dia kena bahan.

'Jangan, mak. Mak tak tahu anak mak ni siapa!'

Tertanya-tanya hatinya, mengapa dia berkelakuan seperti orang bersalah pula malam itu. Orang bersalah sahaja yang selalu paranoid. Biasalah! Manusia mana-mana pun selepas berbuat salah memang akan jadi penakut.

Dia? Mengapa dia takut? Mengapa dia tiba-tiba jadi paranoid? Kesalahan apa yang telah dilakukannya?

Spontan bonjol pada poket seluarnya diraba.

Penangan anak kucing menyebabkan dia terlupa pada 'sedekah' yang diterimanya tadi.

Ghaib senyuman leretnya. Dia masuk ke laman rumah sambil menjeling anak kucing yang telah berjaya memperdayakannya tadi. Ia tiada di situ. Sudah lari, barangkali. Pelan-pelan Ali membuka pintu rumahnya. Suis lampu ditekan. Ruang tamu yang gelap-gelita berseri disimbah cahaya.

"Mak! Ayah!" panggilnya dengan suara biasa dari pintu.

Panggilannya tidak berjawab. Masuk ke dalam rumah, Ali terus ke kaki tangga.

"Mak! Ayah!" Dia memanggil sekali lagi sambil mendongak memandang kepala tangga, menunggu emak dan ayah menyambut laungannya.

Namun, rumahnya sunyi sepi. Emak dan ayah masih belum balik dari menuntut ilmu akhirat di surau agaknya. Ali naik ke bilik tidurnya untuk menyembunyikan duit RM10 ribu itu. Lama dia duduk di birai katil, mengirai sisi seikat duit itu sambil memikirkan tentang halal haram sedekah yang diterimanya.

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now