#8 Prangk! Prangk! Prangk!

86 9 0
                                    

'KAU makin melampau sekarang. Makin berani. Kurang ajar! Kau ingat orang tak faham cakap kau? Orang tak nampak apa kau buat? Bodoh betullah! Celaka. Cakap main lepas je. Nampaknya kau tak takut pada bahana yang bakal aku hadiahkan pada kau. Kau memang mencari. Dah kau nak sangat, nanti aku kasi kau jumpa dengan apa yang kau cari tu. Tak sempat menyesal kau nanti baru kau tahu! Argh! Sakit kepala aku ni kau buat.'

Dada yang terasa bagai dirodok benda tajam, kucengkam. Selalu pula dadaku ini sakit sejak akhir-akhir ini. Kena pergi ke hospitalkah pula?

'Argh! Tension aku!'

Dia punya fasal, terpaksa memandu tanpa arah aku dibuatnya tengah malam itu hendak menenangkan hati. Macam-macam serabut terpaksa kufikirkan. Soalan yang bertenggek tidak mahu keluar dari otakku ialah nak buat ke tak buat? Kalau buat, aku kena sehabis cermat sebab padahnya aku balik yang dapat. Sanggupkah aku mengharungi padah itu untuk kali kedua?

Seperti biasa bila aku stres, siku aku sendalkan pada tingkap kereta. Kekura tangan kutekankan pada bibir, lantas jeda yang panjang menjadi teman tatkala aku memikirkan tentang jawapan itu. Kekecewaan lalu masih menyiat hingga ke relung hati. Buat apa ditambah lagi kesedihan yang masih menyerkup?

'Tapi tak mustahil jawapan kali ni dah berubah,' bisik satu suara.

Aku membentangkan opsyen, lalu aku terokainya secara mental. Aku nampak dengan jelas peluang kedua itu terbuka luas di hadapanku. Persoalannya, apa cara aku hendak menjayakan peluang itu? Bertindak memang senang tetapi hendak meyakinkan itu yang susah. Aku pernah cuba dahulu tetapi jawapan mereka sangat mengecewakan walaupun hujahku kuat. Alasan yang mereka berikan ialah hanya si sial sahajalah waris mereka. Walau apa pun terjadi, mereka tidak akan mengenepikannya.

'Kau memang sial! Menyusahkan!'

Deras keras nafas kuhela. Dada sedang membara. Ketika itu baru tersedar aku di mana. Terlepas tawa sinisku. Boleh pula tubuh badanku membawa aku ke situ semasa fikiran menimbangkan hal lain!

Untuk apa aku ke sini sebenarnya? Peluangkah atau bala? Merata-rata ada saksi, patutkah aku mengambil risiko? Atau patutkah aku membiarkan sahaja peluang yang datang tanpa aku rancang ini berlalu?

'Argh! Aku tengah kusut ni, haram jadah. Kau cacamarbakan lagi buat apa?'

Namun, kereta kubelok masuk ke lorong menuju ke rumahnya. Kupandu perlahan-lahan menghampiri rumahnya yang terletak paling hujung untuk melihat sama ada kehadiranku di situ adalah peluang yang boleh aku manfaatkan sehabis penuh.

Nampaknya boleh.

Aku memberhentikan keretaku di sebelah keretanya, serakkan pandangan ke serata arah untuk memastikan tidak ada sesiapa yang akan menjadi saksi perbuatanku malam itu. Waktu hampir jam 11 malam. Suasana di situ memang hening. Malam itu bulan penuh tetapi cahayanya agak suram, suasana yang amat bersesuaian dengan urusan yang bakalku lakukan di situ.

Aku tanggalkan Keychain Car Escape Tool yang aku klipkan pada visor kereta sebelum turun. Enjin kereta tidakku matikan. Sekali lagi aku ratakan pandanganku ke seluruh arah. Sunyi dan sepi. Tidur awal manusia di kawasan ini. Kemudian, Keychain Car Escape Tool itu aku tekankan pada sudut bawah cermin tingkap sebelah pemandu.

Prangk!

Cermin tingkap sebelah pemandu pecah.

Prangk!

Prangk!

Prangk!

Prangk!

Prangk!

Habis semua cermin keretanya aku pecahkan. Aku masuk semula ke dalam keretaku yang sedia menunggu dan berlalu.

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now