5 | PIT STOP RUMAH ALANG SOM

4.2K 148 23
                                    

"Bro, aku nak terberaklah"

Kalau tak pasal Nuwa nak terberak, aku pun tak tahu bila lagi aku akan singgah rumah Alang Som. Rasanya kali terakhir aku singgah rumah Alang Som waktu kami sekeluarga sambut hari raya di rumah Arwah Opah 10 tahun lepas. Waktu itu aku tingkatan dua. Alang Som datang rumah Arwah Opah naik Honda kapcai pada hari raya kedua.

Orangnya kurus dan berkulit gelap. Mulutnya macam bertih jagung. Sambil baring atas sofa di ruang tamu tengok TV, aku boleh dengar suara Alang Som bercerita pasal anak-anak-anak tirinya pada Mak dan Ayah di dapur sambil makan lontong dan ketupat. Suara Alang Som berlawan-lawan dengan suara bingit Saiful Apek di TV. Sebelum balik, Alang Som pelawa Mak dan Ayah beraya di rumahnya. Kami singgah ke rumah Alang Som pada hari raya kelima sebelum balik KL.

Ini cerita 10 tahun lepas. Aku ingat-ingat lupa jalan ke rumah Alang Som. Kalau waktu siang pun aku boleh tersesat, malam apatah lagi. Tapi aku tahu lorong ke rumah Alang Som ada landmark replika buah-buahan tempatan. Aku yakin kami belum terlepas lagi sebab aku pun tak memandu laju. Kawasan kampung, kan.

"Bro, aku nak terberaklah," ulang Nuwa. Ada sedikit unsur cemas di suaranya. Dah nak terkeluar kot. Duduknya pun menyenget. Tapi aku tak bau apa-apa lagi.

"Kau kalau tak bikin kacau plan memang tak sah. Tunggu masuk highway kau berak kat R&R lah," usikku. Takkanlah aku tergamak nak suruh Nuwa tahan berak 30 minit lagi. Kencing boleh tahan, tapi berak? Silap haribulan terkemut-kemut habis terburai segala nasi minyak, acar buah dengan daging masak kicap kenduri kahwin kawan kami tadi. Oh, dan satay depan Menara Condong juga!

"Kau sabar kejap. Kita pit stop rumah Alang Som aku. Itupun kalau aku ingat lagi jalan pergi rumah dia," jawabku sambil mataku melilau mencari landmark replika buah-buahan tempatan. Seingat aku, ada selekoh, lepas tu masuk dalam, drive 10 minit dan rumah Alang Som di sebelah kanan. Depan rumahnya ada pokok mempelam padi.

Harapnya Alang Som ingat aku lagi. Yalah, dah 10 tahun. Dulu umur aku 14 tahun — badan cekeding, muka penuh jerawat, rambut pun penyek — tapi lepas puberti rempuh aku dengan penuh bergaya, kalau setakat King Afik tu bila-bila masa aku boleh kalahkan. Cuma aku tak pernah bergambar poyo depan Nissan GTR 3.8 sebab aku memang tak mampu nak beli pun. Gila kau RM600,000!

Baru pukul 10 malam tapi jalan dah sunyi macam pukul 3 pagi. Cuak juga kalau aku drive seorang balik KL. Bila sampai di selekoh landmark tu, aku membelok dan terus memandu di jalan tak bertar. Lampu jalan pun tak ada, kalau tiba-tiba terlanggar babi hutan memang naya. Aku buat lawak pun tak dilayan Nuwa. Katanya kalau tergelak, takut terberak dalam seluar.

"Kalau macam tu, aku bukak cerita hantulah nak?" usikku sambil tersengih. Aku bukannya berani sangat. Kalau tak ada Nuwa, mampus aku tak nak pergi kenduri jauh-jauh balik malam.

Nuwa tak menjawab. Aku tak pasti dia takut hantu atau takut terberak dalam seluar.

"Kau pernah dengar cerita Melur tak? Tak siapa tahu asal-usul dia. Ada yang kata dia student UITM mati kena rogol, lepas tu roh dia balas dendam. Ada yang cakap dia amah Indon kena bunuh dengan majikan. Tak penting pun, tapi yang pasti, dia datang kalau kau sebut nama dia tiga kali lepas 12 malam," ceritaku sambil terus memandu dan tersengih macam kerang busuk. Rasanya kejap lagi sampailah.

"Woi relekslah!" sergahku.

Nuwa menjerit sambil mencarut. Aku ketawa berdekah-dekah.

"Okay, dah sampai," kataku. Honda Jazzku memasuki perkarangan rumah Alang Som. Lampu keretaku menerangi bawah rumahnya yang penuh dengan barang-barang dan perabot lama. Beberapa ekor ayam kampung yang sedang berehat di atas meja terkebil-kebil disuluh lampu. Dari dalam kereta, dapatku lihat bahagian dapur rumah Alang Som gelap gelita. Lampu cuma ada di ruang tamu di atas. Mungkin Alang Som tengah tengok TV. Yalah, dah pukul 10 malam, duduk seorang pula tu, buat apa nak bertungkus-lumus di dapur sampai tengah malam.

#certotCP 2Where stories live. Discover now