"Perasaan ini sangat sukar untuk aku luahkan. Ya, ia seperti merepek. Tetapi aku perlukan satu jawapan. Semuanya ada pada kau," kata Ann pada kekasihnya. Ann melepaskan tanganya yang memeluk tubuh dan menekap pada cawan yang berwarna putih porcelain yang mengandungi kopi hitam pekat separa penuh. Dengan perlahan, kopinya itu dihirup.
"Adakah sebenarnya kau cuma mahu aku mengisi ruang-ruang kosong di hatimu? Seperti hatimu, aku lagi banyak ruang-ruang kosong yang masih tidak berisi. Bilakah ia akan menjadi penuh?" tanya Ann lagi. Dia merenung mata kekasihnya yang semakin redup. Mungkin rasa bersalah sudah menghantui dirinya. Meja pine yang terletak bersebelahan tingkap rumah itu seakan-akan gelap mengikut mood Ann. Bunyian kicauan burung turut perlahan tatkala Ann memandang keluar; membiarkan wajahnya dibasahi cahaya mentari yang tidak seberapa terik pada petang Ahad itu.
Rumah kecil itu dihiasi dengan perabot yang sangat minimalis. Dindingnya kuning pastel yang tidak kelihatan terlalu gelap atau terlalu vibrant. Sofa berwarna kelabu menghiasi ruang tamu dan diapit terus ke dinding. Di kanan sofa itu terdapat sebalang bunga; daisi, orkid, ranting kayu, batu-batu sungai pelbagai saiz, dan pasu jernih. Ruangan itu juga tidak terlalu cerah dan tidak terlalu malap. Kondisi yang nyaman sekali.
Ann meletakkan tangan kirinya yang disarung cincin emas di atas meja pine. Dia masih terasa hangat kopi hitam yang pekat itu membasahi tekaknya. Lekas dia bangun dan menghampiri satu almari hitam yang tersusun rapi dengan buku dan piring hitam. Kekasihnya masih lagi diam membisu tanpa sepatah kata.
Kedengaran bunyi peti suara berbunyi setelah audio jack dimasukkan ke lubang 3.5mm pada iPodnya. Dia membuka pelayan lagu digital dan memilih rentak Jazz dan menekan punat main. Dia memusingkan tombol volume ke kiri sehingga lagu itu tidak jelas kedengaran. Ann menarik nafas dalam sambil memejamkan matanya. Ini mengingatkanya pada sebuah kafe yang berhadapan sungai Seine, Perancis semasa dia melanjutkan pelajarannya dua tahun lepas.
"Mungkin saja nanti, orang yang menanti balas pesanan ringkasmu akan terkedu membisu manakala, orang yang mengirimkan gambar selfie-nya melalui WhatsApp sudah tidak seceria dulu. Orang yang menjawab telefon dihujung talian satu lagi akan kecewa dan menangis berhari-hari. Orang yang menaip karangan cinta sudah tiada lagi merasakan perasaan itu." katanya sambil berjalan ke arah kerusinya yang bertentangan dengan kekasihnya itu.
Dia memakai baju sejuk yang dikaitnya sendiri semasa di Perancis. Baju itu sedikit jarang dan menampakkan baju t-shirt oren lembut di bawahnya. Rambutnya dibiarkan lepas dan sedikit menutup matanya.
Ann mengangkat sebatang pen dan sekeping kertas yang dicarik pada halaman sebuah buku kosong. Dia menarik nafas dalam dan melakarkan sesuatu; seperti garisan yang bertindih dan mempunyai dua titik.
"Ini aku, dan ini kau. Kita bergerak sama seiring kerana perasaan cinta dan sayang. Persimpangan kita di sini. Jadinya kita berdua terhenti di sini. Aku cuma mahu tahu, ke arah mana kau ingin"
Kekasihnya merenung matanya dan menghulurkan tangan meminta pen itu.