Aku tahu saat kau meringkuk di hujung ranjangmu memikirkan sesuatu yang tidak pernah kau terlintas; dilemaskan dalam bahagia dan perasaan cinta yang aku sulamkan sepanjang kita bersama.
Tika itu juga, kau masih mengintai pintu bilik dari celah lenganmu yang mendakap tubuhmu yang sedang menunggu masa usang. Mencari-cari kelibatku yang pergi meninggalkanmu beberapa minit yang lalu.
Kau menangis sambil menikmati memori masa lampau kita berdua. Bersama bermadu asmara, mengejar cintaku yang sudah sedia dekat denganmu. Bahagia. Itu yang kita berdua rasa bersama. Tiada yang mampu memisahkan kita walaupun sebilah pisau yang tajam dilalukan antara tubuh kita yang saling berpeluk.
Malam-malam yang sunyi; sedang cengkerik menyanyi dan pungguk menari sambil memuja-muja bulan yang berubah-ubah bayangnya, aku ada menghiburkan lara dan membuat jantung kau berdegup laju sambil kau menarik nafas dengan pantas seolah-olah kau seperti kelemasan. Ya benar. Kau sedang lemas dalam asmara dan puncak kasih yang aku dan kau bina sebelum kita mencapai ranjang yang terbentang untuk kita beradu tenaga bersama; di mana masa itu, asa kita berdua saling dihargai dan dipenuhi dengan titisan-titisan peluh yang tidak melekit dan kulitmu dan kulitku melekat seperti digam.
Kau ingat juga saat malam ulangtahun kelahiranmu- yang mana, aku membawa sebentuk cincin yang bertatakhkan sedikit berlian sebesar kristal garam bertaburan di atasnya. Kau menangis teresak-esak kerana aku mampu meneka dengan tepat saiznya setelah aku menyarungkannya ke jari manismu. Kemudian, kita tertawa kerana kau menangis seperti anak kecil yang kehilangan ibu.
Tapi, malam ini agak sukar bagi aku. Maaf aku minta dari kau, wahai kekasihku.
Sejak kau menjejakkan kaki di kantor baharu, kau kian membunuhku. Hari-hari yang seperti biasa indah, kau matikan dengan amarahmu bersama alasan penat disulam dengan bebanan di kantor. Ah, aku sangka kau perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan cara kerja kerana kau diberi ruang nafas yang baru. Aku masa itu yakin sekali, kau akan dapat keselesaan di sana.
Benar. Sangkaanku benar. Kau selesa. Malah, kau teramat selesa sehinggakan kau mampu dibuai mimpi sambil kerja.
Maaf sekali lagi aku ulang.
Kau lupa dengan janjimu yang aku akan mengambilmu bila pulang dari kerja. Aku menunggu dari susuk mega yang menguning hingga berubah warnanya menjadi biru yang gelap. Segelap mataku, pada masa itu. Aku memerhati dari lobi yang kau mengasak tubuhmu ke dalam sebuah kereta yang separa mewah gayanya. Aku hanya mampu terdiam, sayang. Mulutku terkunci rapat.
Sekali lagi aku bilang, maafkan aku sayang.
Entah mengapa aku menjadi bebal dan benakku memaksa untuk mengekori dari belakang sehingga sampai ke satu simpang empat; warna lampu isyarat bertukar merah, aku dipersembahkan kemesraanmu kepada dia dengan sebuah kucupan mesra yang singgah ke pipinya. Aku kaget. Jujur, airmataku sudah bergenang.
Sehinggalah tiba pada sebuah rumah yang tidak langsung serupa dengan rumah kita yang mewah; kaya dengan kasih sayang dan cinta. Kau keluar sambil berpimpin tangan bersamanya. Aduh! Baru semalam kau menepis tanganku kerana cuba untuk menguntai jari-jemarimu dengan jari-jemariku. Aku biarkan kamu berdua berlalu ke dalam. Aku menunggu hampir setengah jam. Masih tiada tanda-tanda yang kau akan keluar dari situ.
Ampunkan aku, sayang. Untuk kali terakhir.
Jantungku berdegup bagai nak pecah! Kepalaku pusing bagai nak gila! Aku mengikut gerak hatiku, menyelinap masuk ke dalam. Jujur aku katakan, kalau aku menikam nombor di kedai 4D lambang kuda berlari, aku akan jackpot! Daun pintu tidak ditutup rapi, sayang. Aku masuk sambil menginjit kakiku seperti pencuri.
Aku mendengar rengusan kuat dari bahagian atas. Rengusan seperti orang yang sedang enak disiksa. Batinku meraung-raung ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Aku bertatih dengan langkah yang kecil meniti tangga yang menuju ke syurgamu saat itu.
Terpampanglah dua tubuh sedang enak beradu asmara. Masa itu, aku tidak tahu sama ada mahu mengucap atau melaung-laung amarah. Aku berdiri kaku seperti tugu dan kau, menoleh ke arahku. Tepat ke mataku.
Usaplah airmatamu, sayang. Jariku tidak dapat menyeka lagi tangisanmu.
Aku tersentak bila kau bangkit dan berlari laju- meluru ke arahku. Aku membuka tangan seperti ingin memelukmu. Tapi sayang, dadaku terlalu pedih. Aku memikirkan; mungkin kerana ditusuk sembilu. Tidak! Tidak... Aku pasti! Ianya bukan sembilu, sayang!
Aku penat, kehausan, dan panas. Aku segera mencabut sebatang pen dengan kudrat yang hanya tinggal saki-baki. Aku... hilang... sayang... Aku jatuh ke dalam satu lubang yang sangat dalam.
Tubuh seorang wanita selainmu, berlari pantas mendapatkan kau. Dia juga seperti kau- bertelanjang bulat, tanpa seurat benang menutup bahagian rahsianya. Dia menarik kau dan memujuk ke arah kamar yang terbuka luas menampakkan isinya.
Sudahlah, sayang. Usah lagi kau menangis dan mengintai pintu kamar itu. Aku kini tinggalkan kau dengannya untuk selamanya. Selamat malam, sayangku. Usah rindu lagi padaku.