Surat Buat Kekasih Yang Sedang Selingkuh

20 0 0
                                    




Apa khabar kamu di sana? Aku harap kamu sedang baik-baik sahaja.

Sudah lama aku tidak menulis untuk kamu malah aku juga sudah tawar dengan apa yang berlaku. Walau apa pun, aku tetap ada di sini dalam keadaan yang kamu sudah tahu sendiri apa perkhabaranku.


Jujur sudah 3 tahun, aku masih tidak tahu mengapa aku masih berdiam diri; cuba melarikan perasaanku sendiri ke arah yang aku sendiri tidak tahu ke mana atau hari-hari yang mendatang, membawaku makin jauh darimu yang berada ribuan kilometer jauh dari sini.


Aku menulis surat ini sambil ditemani dengan teh Oolong kegemaranku. Seperti biasa nipis dan tidak bergula. Entah berapa banyak rokok sudah dibakar sambil memikir apa yang ingin aku tulis di sini. Aku juga harap kamu masih lagi minum teh yang sama di sana bersamanya. Oh ya, aku kembali merokok beberapa tahun lepas.


Bagaimana dengannya? Sudah dia mempunyai kerja yang bagus atau masih lagi tidak stabil kerjayanya? Aku harap begitu juga- seperti apa yang kamu harapkan darinya. Adakah setiap malam-malam mu dihiasi dengan haruman kopi hitam pekat yang dibancuhnya setiap kali sebelum tidur? Sangkaanku yang awak tidak gemarkan kopi sudah terbukti kebenaranya. Yang kamu tidak gemarkan adalah aku yang meminum kopi walaupun nipis seperti baju-baju tidur yang kamu kenakan bersamanya. Sudah nyenyakkah lelakimu di sisi? Adakah dia juga berdengkur kuat sepertiku? Harapnya malam-malammu lena sambil berpelukkan dengannya.


Aku masih lagi ingat saat malam itu, lewat 3 tahun dari malam ini. Aku membelah udara untuk hinggap sebentar di jendela rumah sewamu. Malam itu juga segala sudut, segala helaian gebar yang kau selimutkan tentang selingkuhmu sudah telanjang-bogel. Malam itu juga kamu masih lagi tebal muka mengatakan 'I love you' yang sebenarnya sudah tiada apa-apa maksud lagi bagiku, mungkin juga pada kamu, ataupun juga sebenarnya untuk menghalang aku beredar pantas dari Ibukota negara yang namanya seperti ayam itu, ke lapangan terbang yang sesak dengan manusia-manusia yang mencari-cari erti hidup.


Aku masih lagi hairan dengan kelakuanmu malam itu yang seperti tiada apa-apa; raut wajahmu seperti tidak berubah menjadi biru atau jingga seperti blusher solekkanmu yang biasa dikenakan sebelum ke kerja. Tiada langsung satu titis tangisan yang mengalir dari matamu yang biru hasil dari kacukan darah orang tuamu. Seperti tidak ada penyesalan yang hadir. Ah, mungkin aku sahaja yang memikirkan begitu. Entah-entah, gugur juga airmata kau setelah aku meninggalkan kota asing itu secara sorok-sorok.


Meski jalan hidup kita dulu indah, semestinya jalan hidup kamu berdua sudah tentu lebih baik dari masa kita berdua. Sudah tentu dia menjadi pameran utamamu selepas hari itu. Sudah tentu awak memadam segala foto yang pernah terbit dari lensa telefon bimbitmu namun, aku masih lagi menyimpan semuanya. Bagiku, ia adalah ole-ole yang tidak mudah dipadamkan malah dibuang jauh-jauh dari memori.


Terlalu banyak aku bertanya tentang keadaan lelakimu. Jadi, bagaimana pula dengan kau? Masih lagi kerja di tempat yang sama atau sudah beralih angin ke tempat yang lain? Ah, tiada apa pula ingin dipertanyakan tentang khabarmu.


Sungguh, ini adalah tulisan-tulisanku yang kali terakhir untuk kau. Moga baik-baik saja di sana. Dan juga, maaf kerana menjadi satu sudut 60 darjah yang ketiga dalam kisah cinta baharumu. Sungguh tidak mahu aku menjadi pengacau segala rancangan-rancangan yang telah kamu berdua titipkan bersama.


Moga malam-malam mendatang lebih manis lagi dari malam ini.





Ikhlas,

Lelaki yang pernah menyintaimu, dahulu.

Pendek pendekWhere stories live. Discover now