Puntung sigaret itu masih lagi muda tika dia melempar ke tanah. Fikirnya sigaret itu membantu menghilangkan rasa resah di dada- nyata sekali salah.
Dalam diam fikirannya menerawang kembali ke masa silam. Ke masa sewaktu usianya semuda puntung rokok di tanah itu. Masih jelas dalam ingatannya tentang kejadian yang pada ketika itu tidak dia ketahui akan terus mengubah jalan cerita hidupnya 360 darjah. Andai waktu mampu diputarkan semula, dia yakin benar bahawa dia akan bertindak sebaliknya.
7 Jun 2014,
-"Hello"
-"Yup, dekat hujung sebelah perhentian bas tu. Nanti you akan nampak papan tanda di depan pintu masuk."
Jelasnya satu persatu kepada pemanggil di sebelah hujung talian. Hari itu adalah hari Sabtu, dan dia telah bersetuju untuk berjumpa dengan si pemanggil di sebuah pesta keramaian yang berlangsung di tengah ibukota. Dalam kotak fikirannya ada sesuatu yang harus dinyatakan, bukan secara dalam talian tetapi secara bertemu muka. Hari itu merupakan hari yang paling penting dalam hari hari penting hidupnya selama 25 tahun di bumi ini.