Berdua

22 2 0
                                    

Petikan gitar itu menyentuh jiwa Dayang. Tubuhnya berbuai bagai lalang yang ditiup angin yang lembut. Matanya dipejam lembut menambahkan keayikkan mistik lagu tersebut.

Mus mencuri pandang kepada Dayang yang sedang asyik.  Pandangannya redup. Gadis yang berbaju kurung kuning lembut yang dihiasi dengan bunga-bunga kecil menyerlahkan seri dirinya. Rambutnya disanggul elok bagai terletak rapi. Mus tidak pernah peduli dengan gaya Dayang merias dirinya.  Baginya, apa yang disentuh oleh Dayang, ia seperti disentuh bidadari syurga. Indah.

Matahari menyiram cahayanya yang lembut. Tidak terlalu terik, tidak pula mendung dilitup awan. Bagi mereka, cuaca sebegini sangat sempurna. Tikar mengkuang yang dibentang- penuh dengan makanan dan minuman, perkakas dan bekas-bekas untuk mereka berdua. Tidak lupa juga sebuah peti suara berteknologi Bluetooth yang kecil menghiasi di sudut sambil memutarkan lagu Payung Teduh dari telefon bimbit Dayang.

Mus menuang kopi hitam hangat ke dalam cawan dari termos yang berwarna merah. Terus, dia menghirup perlahan. Dia tidak mahu mulutnya terbakar dek panas kopi itu.

Sayang. Bila keputusan keluar? tanya Dayang lembut.

Mus terkedu. Tidak sampai hati untuk memberitahu jawapan yang dipersoalkan.

Positif? Kalau itu jawapannya, saya tak kisah. balas Dayang lembut sambil menguntumkan senyuman paling manis pada Mus yang sudah merendahkan pandangannya ke cawan.

Iya. Positif. Itu yang ingin dikhabarkan pada Dayang, kekasihnya, gadisnya serta isterinya. Tapi apakan daya, lidahnya kebas dan tidak mampu bergerak.

Keputusan itu diberitahu sendiri oleh doktor yang menelefonnya untuk hadir ke klinik hospital pada tengah hari rabu, semalam. Saat dia mendengar penjelasan doktor, tangisan kecil membasahi pipinya. Hatinya, meronta-ronta dan meraung.

Maaf encik. Keputusannya positif. Pada awalnya, saya fikir ianya dalam tahap awal. Setelah keluar ujian dari bahagian radiologi, kes ini sudah tahap 4. Bersabarlah, encik.

Terngiang-ngiang suara doktor itu di telinganya. Hangat. Dia buntu. Iris matanya membesar tatkala memandang Dayang yang tidak langsung berubah perasaannya.

Ya, sayang. Positif, terketar-ketar suara Mus menyampaikan. Dia belum bersedia. Tahap 4, sayang. berderai air matanya sudah lagi tidak tertanggung.

Eh, kenapa menangis? Tak usah. Ini ketentuan. Bukan perkara yang kita mampu buat apa-apa, sayang. balas Dayang sambil menyeka airmata yang membasahi pipi Mus.

Sekarang ini, aku cuma ingin berdua denganmu. Usah dikenang sakit yang mendatang. Kenangkan masa sekarang yang tinggal untuk kita berdua. balas Dayang lembut sambil tersenyum.

Mus terpaku. Dayang menarik Mus dan meletakkan kepalanya ke dada. Mus teresak perlahan.

Saat aku pergi nanti, jangan lupa kucupkan dahiku. Aku bakal kirimkan salam mu pada tuhan. kata Dayang perlahan ke telinganya.

Pendek pendekWhere stories live. Discover now