Mesej ringkas itu dihantarnya selamba. Berbalas atau tidak, Faiq langsung tak peduli. Dia nekad pagi itu untuk hantar apa yang dia rasakan. Dia dah semak, rimas, dan dah tak boleh terus macam ini.Sakit. Semakin hari, dadanya terasa semakin senak. Semakin hari, Faiq berasakan hidup yang dia lalu semacam satu pura-pura. Ada seorang pengarah bangsat yang akan menjerit ‘action’ dan ‘cut’ pada bila-bila masa yang dia suka.
Sudah tiba masanya dia bangun dan beredar. Tak perlu lagi terus bersandar atas benda yang dia sendiri tak selesa. Rasa palsu itu dia rasa dah lama, sejak tiga bulan lalu; sejak dia pulang dari Bali dua bulan lepas.
“Setidaknya kita jumpa. Kita berbincang dulu. Relay kita masih boleh diselamatkan. Saya bukan anjing, yang hari ini awak belai, dan besok awak sepak-terajang.”
Pedas. Rojak kuah manis yang disua ke mulut itu pun tak terasa pedas semacam mesej yang Zika hantar. Makwenya itu memang kasar, sebab itulah Faiq takut-takut untuk menghantar mesej meluah hal-hal serius. Tiga belas hari jugalah dia kumpul kekuatan sebelum berani menghantar mesej semacam itu.
“Besok kat Mekdi. Jam 2 petang. Zika masuk kerja pukul 4. Datang rumah, ‘pick up’.
Faiq mengangguk dengan mesej yang dibacanya. Padahal dia tahu, dengan mengangguk kepala di depan skrin henpon, tidak akan menjawab apa-apa. Dia takut untuk membalas mesej kasar makwenya itu. Dia takut yang dia akan dimaki lebih-lebih bila ketemu esok.
“Ok.”
Faiq menghirup lebihan Extra Joss Anggur Susu yang dihantar lewat ke mejanya. Dia hampir dua kali tercekik kuih cekodok rojak, sebelum airnya sampai. Lambatnya pelayan kedai mamak itu menghantar pesanan, saling tak tumpah macam lewatnya bas sekolah mengambil budak-budak penumpang. Ironinya, bangsa asing ataupun bangsa Malaysia, tetap tak prihatin hal-hal masa.
“Imigresen! Imigresen! Jangan bergerak!”
Mee rojak yang dihirupnya itu merenjiskan sedikit sisa kuah ke dada baju. Baju kemeja yang berlambang kuda sukan itu, sudah sedikit comot. Puas dia cubit-cubit bekas tompokan kari itu, namun ia hanyalah satu perbuatan yang sia-sia.
Di sisi tepi meja, bersebelahan meja Faiq menjamah rojak kuah manis, ada dua lelaki pelayan kedai yang sedang mencangkung dan menggigil ketakutan. Kopiahnya itu digenggam dalam genggam tangannya yang kekar. Seorang lagi, sedang asyik meratib doa dan zikir agamanya.
Faiq tahu, mereka bukan orang Islam. Mereka ini juga mungkin baru sahaja sampai di Kolumpo tak berapa lama, melihatkan gayanya yang asyik terpinga-pinga bila satu keluarga pakcik tua yang meminta pesanan yang bukan-bukan; seperti limau ais tak mahu biji, dan jugak roti telur nak dua telur dan kuah gaul dulu sebelum siram.
“Bang! Ni ada dua orang lagi ni. Menyorok bawah kaunter roti canai.”
Usai meletakkan dua keping wang kaler merah, Faiq terus sahaja bangun dan mencapai kunci kereta Myvi beliau yang terdiam baring di atas meja.
“Padan muka kau! Makanan jual mahal-mahal, pekerja pakai bangsa seludup, aje.”
Di tepi sudut, tauke kedai sedang berkira-kira untuk membayar denda dan saman kompaun yang dikenakan Imigresen terhadap premisnya.
