Episod 4

94 0 0
                                    

“Faiq on the way. Ada depan traffic light Petron Batu 5 ni. Lagi 15 minit sampai. Siap-siap, la.”

Panggilan yang Faiq buat, hanya dibalas sekadar pendek-pendek oleh Zika.

“Hmm yela. Ok.”

Faiq memberi isyarat ke kiri. Dia langsung sahaja membelok masuk ke kawasan petrol pam Petron di depan matanya. Usai meletakkan kereta di tepi surau, dia cepat-cepat masuk ke kedai serbaneka, dan mencapai sebungkus roti dan air kotak susu coklat. Sambil beratur menunggu orang di hadapannya mengira syiling untuk membayar sekotak rokok, dia keluarkan henpon, dan menghantar mesej kepada Uda.

“Kau jangan lupa datang. Mekdi KotaDam.”

Mesej itu dihantarnya pantas. Tiba giliran dia untuk membayar. Diseluknya poket belah kanan seluar, dan dikeluarkan dompet kulit buaya miliknya. Ditarik satu lampir wang kertas kaler merah, dan diihulur terus ke arah gadis juruwang.

“Semua sekali RM5.30 bang. Nak beg plastik?”

“Tak payah, lah. Kejap dik. Abang ada 30 sen.”

Gadis iras Mira Filzah itu menyambut santun syiling dua keping yang Faiq hulur. Senyum, sampai berlekuk kiri dan kanan pipinya, menampakkan lesung pipit.

“Ini kad abang. Kalau free time, ajaklah kawan singgah studio. Abang belanja photoshoot. Manis macam kau ni, takkan nak lepak jadi cashier je?”

Mereka berbalas senyum.  Roti dan air kotak susu itu digenggamnya di tangan kiri, dan kepingan baki wang kertas hijau itu dimasukkan terus ke dalam dompet dan terus keluar.

Faiq terus sahaja mencangkung di tepi keretanya, dan mula membuka bungkusan roti. Disuapnya roti dua kali ke dalam mulut, disedut pula air kotak itu sampai tinggal separuh. Dia memang sengaja mengenyangkan dirinya lebih awal, agar dia tak buang banyak masa di Mekdi nanti.

“Saya siap dah ni. Mana awak?”

“Otw. Saya isi minyak kejap.”

Faiq geram. Uda masih membisu. Uda masih belum membalas mesej yang dia hantar tadi. Kalau Uda tak datang nanti, matilah dia kena menghadap Zika seorang diri.

*****

Kereta Myvi kaler hijau pisangnya itu diberhentikan betul-betul di depan pagar rumah Zika. Berbanding menekan hon berkali-kali, Faiq ambil keputusan yang lebih sopan, dengan turun dan memberi salam.

Belum sempat dia melaung salam, Zika sudah pun keluar dari rumah teresnya itu. Dengan lenggok, dia menarik daun pintu, dan langsung sahaja mengunci jeriji besi rumahnya.

Di hadapan Faiq kini, seorang gadis kasar jelita, yang memakai tudung pink belacan, dan berbaju kurung English Cotton, dua kombinasi yang tak pernah dia lihat selama tiga tahun mereka berkasih.

Faiq jadi kelu. Tidak ada lagi rambut pendek paras telinga kaler perang di depan matanya. Tidak ada lagi dada papan yang dia lihat di depan mukanya. Hari ini, Zika memilih untuk tidak memakai bengkung dada, dan memilih untuk berpakaian seperti seorang wanita yang sopan.

“Cantiknya kau!”

“Kalau Zika tak cantik, takkanlah Faiq sudi ajak kapel, kan?”

Di mata Faiq kini, makwenya itulah gadis yang paling lawa pernah dia lihat, menandingi barisan model yang pernah dia potretkan sebelum ini. Malah, Zika lebih lawa berbanding Aleeya, gadis kaunter Petron tadi.

TERASINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang