"Mila, ini, untuk awak."
Mila yang baru lepas mematikan enjin kereta Kelisa usangnya berkalih memandang Wira.
"Apa ni, Wira?" tanya Mila. "Harijadi saya, lambat lagi."
Wira tersipu-sipu. Dia memang dah agak, Mila mesti lupa. Wira beri petunjuk: "14 Disember."
Mila buka kotak kecil itu. Ada seutas rantai lengan yang dihiasi sebutir batu delima, sebutir nilam dan sebiji hiasan kecil berbentuk burung. "Charm bracelet! Cantiknya.. Kenapa bagi saya hadiah mahal-mahal ni?"
Wira panjangkan muncung. Dahlah lupa, hadiah pula macam tak suka. "Lupa la tu."
Terdiam Mila. Dia teliti lagi hadiah yang diberi tadi.
Burung.. Macam lambang aplikasi Twitter saja. Lupa apa? Memanglah mereka kenal melalui Twitter.
Mila aktifkan titik merah di tapak tangan kirinya.
Sesaat saja diperlukan untuk otaknya dapatkan jawapan.
"Alamak! Ini hadiah ulangtahun kita berkenalan di Twitter ya?!"
Wira angguk, masih merajuk. Delima, merah, bermaksud Marikh. Nilam, biru, macam kapal angkasa Marikh yang bulat dan melengkapkan dasarnya itu. Yang pernah mereka dua naiki ketika mengembara di ruang angkasa Bima Sakti lebih setahun yang lalu.
Alamak. Mila tak punya apa-apa untuk dihadiahkan pada Wira. Nak tipu pun tak guna, minda mereka terikat, secara telepati. Itulah bahana jadi manusia yang sudah dianugerahkan teknologi Marikh, ada keistimewaannya, tapi dalam pada itu, kalau sudah diaktifkan banyak perkara tak dapatlah nak disorokkan antara satu sama lain.
Anggaplah Mila dan Wira soulmates.. On steroids!
Namun soal cinta adalah sesuatu yang tak dapat dibaca minda istimewa mereka. Tarikan fizikal memang boleh dikesan melalui tahap serotonin dan dopamine dalam otak. Namun cinta...
"Wira, I love you!" teriak Mila sambil gegar bahu tunangnya. Charm bracelet dipakainya. Dia segera keluar kereta, kemudian bergegas pula ke pintu penumpang depan.
Tercengang Wira bila Mila bukakan pintunya.
"Silakan, tuan putera," ajak Mila. Tangannya dipusing-pusing ala seorang pengawal istana menyambut kedatangan dif kehormat dalam cerita Hollywood tentang kerajaan pura-pura.
Wira ikut saja. Dia masih nak merajuk ni! Sampai hati Mila tak ingat ulangtahun perkenalan mereka, sedangkan Wira berhempas-pulas cari hadiah yang sesuai saja makan masa sebulan.
Mila kunci kereta dan tarik lengan Wira. "Jom T, saya belanja awak makan. Kita makan makanan Korea," pujuk Mila.
Ternaik kening Wira. Bukannya dia tak tahu Mila benci teramat kimchi. Sayur busuk rendam dalam cili boh mentah, katanya dulu.
"Korea?"
"Telinga tertangkap alunan k-pop,
Berkumandang di radio buruk,
Demi awak, saya sanggup,
Janji janganlah lama merajuk.."Begitulah balasan pantun Mila yang canggung tapi ikhlas.
Tersengih-sengih Wira mendengar.
"Melaka jatuh angkara memanda,
Saya merajuk sekadar bermanja.."Pantun dua kerat saja mampu Wira balas. "Heh, tak apalah, carilah yang kita sama-sama suka. Ha.. Western, sedap?" Wira beralah.
Inilah antara sebabnya Mila jatuh cinta pada Wira. Tak pernah mementingkan diri.
"T, jom.. Korea! Daebak! Daebook! Saya belanja dengan gaji wartawan cabuk. Yang penting awak tahu, saya sayang awak," tekannya.
"OK T, terima kasih. Saya pun sayang awak," balas Wira setuju. Kimchi sudah terasa di mulutnya.
Mila dapat kesan keterujaan deria rasa Wira. Dia harap, Wira tak marah kalau lepas makan dia ajak terus ke kedai buku dan belikan Wira hadiah ulangtahun mengikut citarasa lelaki itu.
Oh ya, kalau nak tahu, panggilan manja antara mereka ialah T. T, untuk 'tunang'.
****
"Saya kena ke San Francisco bulan depan," beritahu Wira pada Mila. Antara mereka berdua, Mila lebih selalu kerja luar pejabat dan dihantar ke sana sini. Wartawanlah katakan. Tapi tugasannya selalu ambil masa kurang seminggu.
Akhir-akhir ini Wira pun selalu juga. Sejak dinaikkan pangkat, Wira, seorang penganalisis media sosial, selalu dihantar ke seminar mengenai platform-platform digital baru demi mengasah kemahiran.
Mila berhenti makan japchae. "Berapa haribulan? Berapa hari? Saya ke Singapura 20 hingga 25 haribulan," ujarnya.
"Saya bertolak 13 haribulan, sampai KL semula 21," balas Wira.
Masing-masing terdiam, tapi tahu apa yang seorang lagi fikirkan.
"Bilalah kita nak habis buat persiapan perkahwinan.. Patutnya minggu ini kita kena cari dewan sampai dapat. Sibuk begini, kahwin di KFC saja kita nanti.." terkeluar juga keluhan Mila walau dia tahu yang Wira sudah arif benar.
Wira segera pegang tangan Mila yang tidak menggenggam chopstick.
"Jangan putus asa, ya? Kalau kena tunggu sampai bertahun-tahun pun, saya tetap nak awak seorang juga," usiknya.
Tergelak Mila.
Tapi saya geram tengok awak. Tak sabar nak peluk awak.. minda Mila menghantar pesanan kepada minda Wira yang aktif mengesan gelombang otaknya melalui teknologi Marikh.
Jangan nakal sangat Mila. Saya lelaki, bukan nabi.. balas Wira pula.
Senyuman menguntum di bibir masing-masing tanda faham.
Ringgg! Telefon Wira berbunyi. Wira pandang sekilas. Bob! Jarang dia nak telefon sejak ada kekasih ni.
Mila beri isyarat tanda tak ambil hati kalau Wira mahu bercakap dengan sahabat karibnya.
Wira angguk. Panggilan Bob diterima.
Wira: Oi, aku tengah dating..
Bob: Tahu.. Tapi.. NENEK BOEA DAH NAK SAMPAI!
Wira: Hah? Kenapa dia awal?!
Bob: Katanya Komet Noa alih haluan pada saat terakhir dan buat pusingan yang lebih kecil dalam Bima Sakti, jadi dapatlah ke Bumi awal sikit.. Hoi penting ke kenapa? Baliklah cepat tolong aku!
Lolongan Bob turut didengar Mila.
"Jom, Wira. Siapa lagi yang boleh Bob harapkan. Dia kan yatim piatu.." ajak Mila. Wira angguk. Jangankan bincang hal perkahwinan, nak sambut ulangtahun pun sangkut-sangkut.
Dia dan Mila bergegas habiskan makan, bayar dan memandu ke apartment Bob. Mereka perlu jalankan peranan sebagai sahabat kalau nak lihat Bob bersatu dengan pilihan hatinya, Boea, makhluk asing, waris diraja Komet Noa.
YOU ARE READING
Penulis Jadian III
AdventureMila dan Wira nak kahwin! Setahun pertunangan sudah berlalu. Namun perlu dahulukan Bob yang terpaksa menunggang Komet Noa demi menyunting Boea, makhluk asing pilihan hati. Itu belum sentuh hal memberi nama kepada dua putera Marikh yang bakal lahir d...