Sembilan Belas

22 3 2
                                    

Ginafuwara, dalam tubuh asalnya yang berjirim haba itu, pengsan di dalam kapal angkasa bola kabut biru. Wira programkan agar puteri itu dihantar semula ke Utarid.

Dejavu! desis hati Mila. Dia dan rakan-rakan pasukan gerila dari Bumi, Jupiter dan Marikh melihat saja kapal angkasa bulat itu mula terawangan, kemudian meluncur laju meninggalkan medan graviti komet Yor.

"Hah, eloklah tu. Sekarang ni, bagaimana kita semua nak balik?" tanya Luth. Tangan Sarah masih dipegangnya kuat-kuat.

"Jangan risau,
Usah sasau,
Ayuh merayau."

Begitulah ajakan dua dayang dari Marikh, Firi dan Zaya, berduet kerana terlalu gembira puteri Utarid gila sudah diberkas mereka.

Dua dayang mula mengeluarkan hablur mineral dari tangan mereka. Tiba-tiba, bumi yang mereka pijak terasa bergetar. Getaran itu mula menjadi gerakan yang lebih licin. 

"Wah, menunggang komet! Saya dah lama tak buat ni!" teriak Al teruja. Dia yang sudah kembali ke badan manusia yang dihuninya sebelum menyerang kubu Ginafuwara tadi, mendepang tangannya.

"Saya nak duduk. Macam dalam cerita P. Ramlee, Do Re Mi tu. Mereka kan naik tikar terbang," balas Al pula dan mula memilih tempat paling sesuai untuk berlabuh.

Dayang-dayang Marikh yang berpadu tenaga memujuk komet muda tunggangan mereka agar merapati Bumi, tersenyum-senyum saja dalam tubuh mereka yang berkulit metalik itu.

Empat warga Bumi ikut Al dan Wi duduk.

"Alhamdulillah, sempatlah kita untuk pergi terus ke Noa untuk perkahwinan Bob dan Boea," ujar Mila melepaskan nafas yang panjang.

"Eh, pakai macam ini saja, tak apa ke?" tanya Sarah. Dia mahu pakai baju kurung, kalau bolehlah. Takkanlah pakai jeans, jaket dan sneakers hitam saja ke majlis kenduri?

Luth mula meleser di bahunya. "Awak tetap coooomel, Sarah!" katanya ikhlas.

"Nampaknya kesan tambatan mineral tadi lama juga bertahan ya?" keluh Sarah.

Casiopeia yang baru selesai berbincang dengan Brutus dan ahli tentera Zuhal, tergelak-gelak. Cahaya biru dan hijau bersinar-sinar mengelilingi warga-warga Bima Sakti itu.

Tiba-tiba, dia jatuh terjelepuk di tepi Zaya.

"Kenapa, Casiopeia?" tanya Sarah cemas.

"Aduh..." balas Casiopeia perlahan, sambil kembali mengawangkan diri di udara. "Aku dapat ramalan."

"Tolong beri kami khabar gembira, Casiopeia," pinta Wira.

"Ramalan yang pernah saya terima dulu, tentang dua komet. Kali ini, saya dapat gambaran yang lebih jelas. Kedua-duanya mendekati Bumi, hampir dengan kedudukan Noa sekarang ini! Saya tak nampak apa jadi selepas itu tapi tiga komet ini mendekat... Terlalu dekat! Saya risau tentang lohong hitam di bahu salah satu daripada komet-komet ini!" cerita Casiopeia.

Dayang-dayang Marikh tidak bertangguh lagi. Dengan kuasa mineral di tangan mereka, komet Yor dimohon agar melajukan gerakan menuju Bumi.

****

"Awak nampak cantik, Boea," kata Bob pada Boea, yang sudah pun dia nikahi, menurut adat Bumi, semalam.

Kini mereka berada di Noa, komet jinak yang dihuni ramai warga penunggang komet yang punya kuasa pukau seperti Boea. Tidak seperti komet-komet lain, Noa jauh lebih besar, bergerak lebih perlahan dan suka berinteraksi dengan warga-warganya. Sebab itulah Noa punya penghuni yang ramai, tak seperti komet-komet lain. Populasi Noa juga tidak ramai, tak sampai pun 20,000 hidupan.

Mila dan Wira beserta pasukan gerila Bima Sakti tiba tepat pada masanya. Mereka sedar mereka sepatutnya sampai lebih awal, Bantu Bob bersiap...
tapi bagus juga bila sampai setelah rakyat sudah berkerumun.

Pesan Boea, ada kemungkinan mereka diserbu bak selebriti jika rakyat Noa tersedar kedatangan mereka. Ramai warga Bima Sakti maklum tentang jasa mereka sekarang.

Mereka diiringi laskar Noa secara senyap dan dibawa untuk berhimpun dengan kerabat diraja planet lain. Permaisuri Mulianasari dan Putera Ue tersenyum-senyum melihat mereka. Awal tadi mereka sudah dapat tahu, Ginafuwara beres ditangkap.

Raja dan Permaisuri Noa, Tioe dan Myue sudah bersedia untuk melepaskan takhta kepada Bob dan Boea yang sedang bersanding di atas sebuah batu hampar indah. Is terapung dah bergerak sangat perlahan, mengelilingi arena yang dipenuhi hadirin di permukaan Noa yang subur menghijau. Dipanah cahaya matahari, Noa yang tidak berawan nampak tenang sekali di mata Bob, walaupun itu baru kali pertama dia menjejakkan kaki.

Pasangan pengantin baru itu menerima sebuah gelungan titanium di kepala daripada Raja dan Permaisuri Noa.  Para hadirin gembira, bersiul-siulan dan mengeluarkan bunyi pengisar. Ramai rupanya yang terharu melihat puteri mereka yang selalu memberontak itu akhirnya mahu naik takhta dan memerintah bersama pasangannya.

Haei, mantan pemerintah Noa turut naik ke batu hampar yang sama, sedia untuk memberi ucapan selamat tinggal. Menteri Tiyu terlebih dahulu memulakan ucapan mengalu-alukan keputusannya.

"Penghormatan menunggang komet Ryz bukan mudah diberikan. Permaisuri Haei antara warga Noa terhebat yang berjaya meneruskan pemerintahannya di komet ini secara solo berikutan kemangkatan Raja Hueo pada tahun pertama mereka memerintah. Sepanjang pemerintahan tuanku, Noa aman. Kini, Ryz sudah bersedia menerima kehadiran Permaisuri Haei!" umumnya sambil menunding ke arah sebuah komet yang sedang terapung berdekatan dengan Noa.

Pada Bob, komet itu turut nampak subur. Permukaannya biru kehijauan, dan dia boleh lihat ada binatang mirip lembu, cuma berwarna hijau fluoresen sedang berkeliaran di situ.

"Sebelum tuanku pergi, mari kita saksikan penganugerahan hadiah kepada pasangan pengantin diraja yang baru," ajak Tiyu.

Boea menggenggam tangan Bob sebelum mula berbicara. "Terima kasih, Menteri Tiyu. Kami tak punya permintaan istimewa, kecuali satu. Kami mahu nenda, Permaisuri Haei jadi penasihat seumur hidup."

Menteri Tiyu tersentak.

"Tuanku, ini tak pernah dibuat. Tak mungkin kita dapat tunaikan permintaan tuanku." Dia memandang para hadirin, namun tak ada yang protes.

"Boleh kami mohon pendapat rakyat?" pinta Boea.

Seorang warga Noa yang bertubuh tinggi terbang naik ke batu hampar. Matanya tertutup seketika dan enam lubang di pipinya kembang-kempis. 

Dia sedang mengumpul lontaran telepati hadirin, kata Boea secara telepati juga, khas kepada Bob. Bob angguk kecil, agar tidak diperhatikan Tiyu.

"Tiada bantahan, tuanku," lapor wakil rakyat itu, lalu turun dari batu hampar.

"Tidak, tidak mungkin. Tidak mungkin Ryz dibiarkan pergi dari sini tanpa teman," protes Tiyu.

Tiba-tiba, langit Noa menjadi cerah. Cerah yang berapi-api!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 30, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Penulis Jadian IIIWhere stories live. Discover now