"Aloha!" tegur dua suara serentak.
Garau, macho dan canggung saja bunyinya.
Di dalam butik, Mila, Boea, Sarah, Tiara, Ellie dan Jelita yang sedang menunggu busana pengantin dibaiki, tersentak.
Sekilas pandang, pemilik dua suara itu macam orang Melayu; bermata bundar, berkulit sawo matang, tapi tubuh mereka agak tinggi, sedangkan kebanyakan lelaki Melayu berketinggian 5'8 hingga 5'11 sahaja. Tinggi mereka, lebih 6' dan seorang daripada mereka bertubuh sasa pula.
"Assalamualaikum," satu lagi suara mulus mencelah.
"Edayu?" panggil Jelita. Dia pasti sang pemilik suara ketiga, milik rakan baiknya.
Tergelak-gelak Edayu lalu menyelit masuk ke butik sambil dua orang lelaki tadi menyapa ala Hawaii itu turut masuk.
"Saya bawa cincin untuk bakal raja sehari Mila dan Wira, serta pasangan diraja Bob dan Boea!" umum wanita itu sambil hulurkan pakej kecil pada dua bakal permaisuri. Walaupun kecil orangnya, jelas sekali dia bakal bergelar ibu tidak lama lagi.
"Ni Al dan Wi lah," tambah Edayu lagi.
Yang lain-lain mula cam sepasang warga Jupiter itu dan tergelak. Al dan Wi, makhluk asing yang asalnya cuma berjirim gas dan boleh menghuni jasad manusia itu memang sudah selalu mereka jumpa. Cuma kali ini mereka menghuni tubuh berbeza, sebab itu tiada siapa dapat mengecam.
"Hello semua, kami terserempak dengan Edayu tadi, kebetulan kami mencari Sarah dan Luth, sebab itu kami menghurung kamu semua ke sini," jelas Wi, soldadu canggung itu.
"Bukan menghurung lah. Kau ingat kita ni semut, mereka semua ni gula?" tingkah Al.
"Tapi tadi kau juga yang kata semua wanita dalam butik ni, manis-manis belaka?" Wi tak puas hati.
"Manis rupa parasnya, bukan rasa," Al cuba bersabar dengan rakannya.
Wi dengan tubuh ala The Rock itu mulalah bingung. "Aku tak pernah pun nampak kau letakkan lidah kau di muka mereka.."
"Ehhh... Sudah, sudah Wi, Al. Kenapa cari Sarah?" potong Mila cepat-cepat. Dua soldadu dari Jupiter ini tak boleh dibiarkan bercakap lama, mengarut jadinya.
Yang lain sudah tergelak-gelak.
"Kami terima berita baru tentang Gina, rupanya ada mesej tersembunyi dalam kirimannya. Kami syak, utusannya sudah dibaca dahulu oleh pihak berkuasa penjara Utarid lalu ditapis, sebelum dihantar," kata Al.
Berdebar jantung Sarah. Tiara nampak warna hitam menyelubungi aura wanita yang lebih muda daripadanya itu. Deria perasanya turut berdenting lagu sendu.
"Apa yang awak dapat tahu, Al, Wi?" tanya Sarah. Tiba-tiba dia mahukan Luth. Dia terasa paling selamat kalau Luth ada di sisinya, tapi Luth terpaksa pulang ke tempat kerjanya tadi.
"Ini," kata Wi yang menghuni tubuh seorang manusia kurus. Dia keluarkan sebuah telefon pintar dari kocek seluar merah hipster yang dipakainya. "Kami dah tukarkan hasil kajian kami dan muatkan dalam peranti Bumi ini. Senang nak tengok."
Wi mainkan sebuah video dari dalam telefon pintar itu. Terlihat Luth baru saja menyimpan semula telefonnya ke kocek setelah merakam isi kandungan kiriman puteri yang berada dalam kurungan di Planet Utarid itu.
"Sarah, tak payah layan. Jom kita pulang. Harap Laskar-laskar dari Planet Utarid sampaikan pada Puteri Ginafuwara yang kami sudah lihat utusannya dan tidak membalas dengan apa-apa," tegas Luth. Bahu Sarah dipautnya.
Laskar-laskar Utarid itu tunduk bagaikan orang Jepun, kemudian kembali ke kapal angkasa mereka yang berbentuk tiga segi, agak kecil dan permukaannya berapi jingga itu.
YOU ARE READING
Penulis Jadian III
AdventureMila dan Wira nak kahwin! Setahun pertunangan sudah berlalu. Namun perlu dahulukan Bob yang terpaksa menunggang Komet Noa demi menyunting Boea, makhluk asing pilihan hati. Itu belum sentuh hal memberi nama kepada dua putera Marikh yang bakal lahir d...