Prolog

99 14 23
                                    

Mila, atau Kamila Melati Haris sudah setahun bertunang dengan Wira, yang nama sebenarnya Awira Putra Tahir. Benar, mereka tergesa-gesa ketika bertunang dahulu kerana terlalu ikutkan perasaan.

Tapi bukan caturan mereka terjadi semua itu. 

Waktu berkenalan, Mila dan Wira cuma rakan di Twitter. Tak siapa menjangka yang Wira sudah lama diperhatikan oleh makhluk asing dari Planet Marikh. Tak siapa tahu yang makhluk-makhluk itu mahukan DNA Wira untuk kelangsungan planet merah. Tak siapa duga yang Mila akan terjebak sama, terikut Wira naik kapal bulat macam buih, menuju Marikh, untuk dapatkan khidmat potong rambut percuma.

Permaisuri Mulianasari, ratu Marikh yang asalnya mahukan DNA Wira (sebab itu Wira dipotong rambutnya) untuk mempopulasikan semula planetnya yang ketandusan penduduk, telah arahkan dayang-dayangnya Zaya dan Firi untuk melengkapkan tubuh Wira, dan Mila dengan teknologi Marikh. Mereka diberikan mineral asing supaya mampu belayar dan hidup di luar atmosfera Bumi.

"Kamu sayangkan dia," tenang saja Permaisuri Mulianasari menuduh Mila kali pertama dua manusia itu bertemu tiga makhluk Marikh.

Tuduh apanya, memang Mila sudah mula ambil berat tentang Wira sejak kali pertama mereka berjumpa.

Wira juga tak berupaya nafikan yang dia suka Mila sebaik saja mendengar suara gadis itu di telefon. Punyalah suka sampai secara automatik, dirinya menarik gadis itu hingga terjebak sama meneroka angkasa.

Jadi sebaik saja mereka pulang ke Bumi, memanglah tak dapat nak diselindungkan lagi perasaan suka sama suka dan teringin nak tengok wayang bersama sambil makan kentang goreng McDonald's.

Baru nak hangat bercinta, Mila dan Wira dipanggil semula ke Marikh. Rupa-rupanya, Permaisuri Mulianasari tak jadi gunakan DNA Wira. Kekasihnya, Putera Ue dari Planet Jupiter, buat kemunculan semula! Berkat bantuan Mila, Wira dan Puteri Pi adinda Putera Ue, cinta dua makhluk itu bertaut semula.

Baru nak lega, muncul pula Boea. Cerita Boea ni, malang sedikit. Dia sukakan Putera Ue, tapi kuasa pukaunya yang hebat pun tak dapat bantu dia menakluk hati makhluk Jupiter itu. Sebab Putera Ue setia pada cinta pertamanya.

Kecewa, gadis alien yang berasal dari Komet Noa itu serang Mila dan Wira untuk lepaskan geram. Mujurlah pasangan kekasih dari Bumi itu berjaya pujuk dia dan ajak Boea untuk chill saja di Bumi.

Bila Bob, sahabat baik Wira diperkenalkan pada Boea... Sparks fly!

Ya, Bob jatuh cinta pandang pertama bila lihat muka Boea yang tak punya lubang hidung tapi berlopong tiga di setiap pipinya. Benar, rakan-rakan, cinta tak kenal rupa.

(Nota khas untuk pembaca: Kalau anda pening, sudilah baca Penulis Jadian dan Penulis Jadian II. Mungkin senang sikit nak hadam semua ini.)

Sekarang, Mila dan Wira dah bersedia untuk ke alam baru, alam I Love You Let's Go Bulan Madu. Ya, mereka nak kahwin!

Tolong doakan jodoh mereka cepat sampai, OK?    

Macam banyak je halangan ni.

****

13 Disember, 2017

"Wira.." panggil Mila.

"Hmm?" sahut Wira. Dia berhenti melangkah.

Di Planetarium Negara, manusia yang minat melihat ke langit sudah ramai berkumpul di serata kawasan taman. Malam itu, ada acara merenung langit malam yang ramai nanti-nantikan.

"Romantik juga ya dating sambil tengok meteor shower?" bisik Mila.

"Nak tahu apa yang lagi romantik?" tanya Wira sambil betulkan kolar baju sejuk Mila.

"Apa?" tanya Mila.

Wira tarik Mila agar mereka terelak sedikit daripada orang ramai. Dia  lekapkan tangan kiri Mila ke dahinya untuk aktifkan teknologi Marikh.

Kemudian, tubuh mereka diselaputi kabut biru yang berenang tenang, perlahan-lahan membawa mereka menyelusuri pokok-pokok rendang sebelum meluncur terbang ke angkasa.

****

Pada malam yang sama, di tepi sebuah sungai berdekatan dengan ibu kota, Bob dan Boea berpegangan tangan. "Dah sedia?" tanya Boea pada kekasih manusianya.

Bob angguk. Kakinya yang sedang memijak batu hampar di tebing sungai itu menggeletar. Degup jantungnya dapat didengar jelas dek Boea.

Boea peluk pinggangnya sambil ketawa. "Hei, saya takkan biarkan awak jatuh, OK?" usiknya sambil mengubah fizikalnya kepada keadaan dirinya yang sebenar, yang punya kulit cerah dan berurat kuning, yang tak punya lubang hidung tapi ada tiga lubang di pipi.

"Boea, kalau ada apa-apa terjadi, ingat ya, saya cintakan awak," terketar-ketar Bob ucapkan kata.

"Huh, drama sangatlah. Jom!" ajak Boea lalu batu hampar di kaki mereka bergegar dan mula terangkat. Ada selapis kaca mula menyelubungi mereka, seolah-olah dalam balang ikan emas saja mereka.

Dan mereka bergerak meninggalkan Bumi dan di luar atmosfera Bumi, mereka mula meluncur laju, mengejar meteor-meteor Geminids.

Penulis Jadian IIIWhere stories live. Discover now