"Mila, Boea, cantiknya!" tegur Tiara. Mereka bertemu di butik milik Emma, rakan niaga Tiara. Lokasi butik itu bersebelahan Cut Tiara, salon milik wanita yang menegur mereka itu. Hari Selasa, pukul 2 petang, memang butik busana pengantin itu kurang pelanggan.
"Betul ke Tiara? Tadi rasa bahagian pinggang ni, sendat sangat, Mila dah gemuk!" keluh Mila.
Boea tergelak-gelak. Makhluk asing itu tidak punya masalah untuk mengubah struktur badannya serta-merta, jadi pakaiannya terletak elok di tubuhnya.
"Sendat ke? Boleh ubah sedikit kedudukan jahitan sisi ni, kan Emma?" tanya Tiara.
Emma angguk dan segera bantu Mila tukar semula bajunya supaya kebaya labuh yang bakal dipakai di hari bahagia nanti boleh dibaiki jahitannya.
"Tak gemuklah Mila. Kau je yang ingat macam tu," sampuk sepupunya Jelita. Mereka semua sedang berkumpul untuk pastikan perkahwinan Boea yang sudah dipercepatkan itu berjalan lancar.
Mila memang sangat berkaliber untuk menguruskan perkahwinan Boea, tapi dia merasa lebih kuat bila dibantu rakan-rakannya. Semuanya gara-gara konflik keluarga diraja Boea. Sebab itulah dia panggil geng sepupunya, Jelita dan Sarah juga ke butik Emma petang itu. Yang belum sampai, cuma Sarah dan Edayu. Edayu sudah janji mahu bawakan cincin untuk Bob dan Boea, tapi dia perlu menutup kedai emasnya dahulu.
Bukan saja mahu pastikan ukuran baju Boea kena elok dengan bakal pengantin, Mila juga harapkan bantuan Tiara, si perasa yang boleh mendengar lintasan perasaan dan melihat warna aura hidupan sekelilingnya dan juga Ellie, si neutral yang boleh membantu si perasa itu bertenang.
Dia tahu pelbagai pergolakan perasaan akan melanda keluarga Boea bila tiba majlis perkahwinan alien itu memandangkan bakal suaminya Bob sudah merancang mahu mengubah undang-undang Noa menggunakan keistimewaan statusnya.
Tiara dan Ellie tidak pasti bagaimana kehadiran mereka boleh membantu, namun mereka sudah bersetuju untuk memantau keadaan agar tiada perselisihan berlaku.
Sarah tiba-tiba sampai, termengah-mengah. "Maaf, Mila, Boea, terlambat. Saya terpaksa jumpa Casiopeia tadi."
Jelita, Boea, Ellie, Tiara dan Mila datang mengelilingi Sarah. Ayat kedua Sarah merisaukan mereka. Kalau sang nujum dari Zuhal itu terlibat, maknanya ada perkara penting telah berlaku. "Apa jadi, Sarah?" tanya Boea.
"Ginafuwara mogok makan. Ayahandanya merayu agar aku dan Luth buka juga utusan dia. Jadi tentera Zuhal bawa kami ke kawasan terpencil tadi untuk melihat isi kandungan utusan tu, di bawah pengawasan soldadu-soldadu dari Jupiter, laskar-laskar dari Utarid dan dayang-dayang dari Marikh tadi. Casiopeia sendiri yang buka selepas semua pihak membuat imbasan dan pastikan ia tidak merbahaya," cerita Sarah.
Kesemua wanita sekelilingnya sudah hilang minat pada busana songket. "Apa isinya, Sarah?" tanya Mila.
"Pantun!" umum Sarah. Dia sendiri ternganga mendengar prosa yang diutuskan oleh puteri yang sudah didapati bersalah kerana telah mencuri DNA Luth untuk menguatkan kuasa pukau dirinya.
Puteri itulah punca Sarah dilantik jadi Srikandi Bumi dan bekerjasama pula dengan nujum dari Zuhal demi menghalang cita-cita keji untuk menakluk Bima Sakti. Berbekalkan ramalan Casiopeia dan usaha dalam senyap tentera dan perisik Zuhal, Ginafuwara berjaya mereka hadapkan ke mahkamah tahun lepas. Namun sempat juga puteri itu menyeludup sedikit DNA Luth lalu dia gunakan lonjakan kuasa yang diperolehi untuk mencederakan Sarah. Sebab itulah utusan puteri itu dianggap merbahaya.
"Pantun!" teriak lima wanita. Emma bergegas keluar dari stor baju.
"Heh, apa jadi? Pantun punya pasal nak ubah baju pengantin ke?" pemilik butik itu menyerkap jarang.
Tiara cepat-cepat tutup rahsia. "Eh, tak adalah Emma. Ni, Boea kata dia teringin nak buat acara berjual pantun di majlis perkahwinannya nanti."
"Lah, jual pantun masa bertunang, kalau masa kenduri nikah kahwin orang biasa joget lambak lagi seronok," kata Emma.
Boea angguk. "Bolehlah, joget lambak pun seronok."
"Jadi, tak tukar fesyen busana, ya? Jangan tukar tau. Baju lagi sikit saja lagi nak dibaiki ni," mohon Emma lalu kembali ke stor baju, mencari manik untuk ditambahkan kepada selendang yang bakal dipakai Boea waktu persandingannya nanti.
Enam wanita melepas nafas lega.
"Heh, pantun apa pula yang diberi dek Ginafuwara?"
Sarah lancarkan aplikasi Whatsapp di telefon pintarnya. "Tengoklah ni," katanya.
Rupa-rupanya Luth rekodkan upacara pembukaan utusan yang berbentuk bola yang berapi, besarnya seperti bola tenis dan di pusatnya ada sebutir kristal yang berputar laju. Luth hantarkan videonya kepada Sarah sebelum mereka berpisah tadi.
Bola yang tidak surut apinya itu mula-mula kelihatan terapung di udara kemudian dengan menggunakan sesuatu yang nampak seperti tombak, ia dibuka oleh laskar dari Utarid yang berapi hijau kekuningan tubuhnya.
Isi yang keluar cuma satu pancaran api yang disambut oleh seorang lagi laskar, dan seorang dayang dari Marikh telah melepaskan saduran mineral yang menjadikan api itu berubah bentuknya. Apabila mengeras, objek bersadur mineral itu dibacakan kandungannya oleh seorang laskar Utarid yang bersuara gemersik.
"Berikut pesanan Puteri Ginafuwara khas untuk Srikandi Bumi dan Lelaki BerDNA Istimewa:
Di hulu sungai ikan melompat,
Lara hati tak punya ubat.Di tasik dalam akar berselirat,
Luluh kuasa kini merempat.Di kolam kecil hidupnya padat,
Mohon srikandi mencemar adat.Di laut biru mambang terikat,
Hulurkan penawar dendam kesumat.Di dalam embun tersimpan maklumat,
Sezarah teruna memberi kuat."Sekian titah Puteri Ginafuwara, mohon Srikandi Bumi dan Lelaki BerDNA Istimewa berikan ihsan," rayu si laskar bagi pihak Puteri itu.
"Huh," video tertangkap rengusan si perekod, Luth, yang jengkel mendengar gelaran Lelaki BerDNA Istimewa yang seringkali dipalitkan padanya.
Video yang ditayangkan dek Sarah terhenti di situ.
Di dalam butik Tiara si perasa mengesan aura hitam daripada rakan-rakannya. Mereka semua masih sakit hati mengingatkan yang Sarah lumpuh selama lapan bulan setelah diserang oleh Ginafuwara di mahkamah, selesai perbicaraan yang diadakan di Planet Jupiter.
"Jadi Ginafuwara mahu DNA Luth lagi?" pantas sekali Mila mencerna maksud puisi. Tak perlu pakai teknologi Marikh, perangai mementingkan diri Puteri Planet Utarid itu jelas benar pada wartawan itu.
Sarah mengangguk. "Luth kata tadi, biar saja Ginafuwara mereput..."
"Tapi... Sarah rasa bagaimana?" tanya Ellie.
"Takkanlah nak biar dia mati?" Sarah menjawab dengan soalan.
"Dia pernah cuba bunuh Luth dan Sarah sebelum ni. Malah tindakan dia selama sepuluh tahun mengutip DNA Luth dan mengancam keselamatan kita semua, tak boleh dimaafkan," tekan Boea.
Mereka semua terdiam. Masing-masing cuba menimbang baik buruk yang bakal melanda dalam setiap pilihan yang ada.
Pintu butik tiba-tiba dibuka.
(Nota khas untuk pembaca: Kisah Sarah dan Luth ada dalam Nujum Casiopeia. Tiga bab pertama ada di Wattpad, boleh cari di profile saya. Lagi 50+ lebih bab sedang dalam proses dibukukan, mohon doa anda segalanya akan OK. Kalau berminat nak dapatkan novel ini, boleh DM saya atau tinggalkan mesej di wall Wattpad saya ya. Terima kasih hehe.)
YOU ARE READING
Penulis Jadian III
AdventureMila dan Wira nak kahwin! Setahun pertunangan sudah berlalu. Namun perlu dahulukan Bob yang terpaksa menunggang Komet Noa demi menyunting Boea, makhluk asing pilihan hati. Itu belum sentuh hal memberi nama kepada dua putera Marikh yang bakal lahir d...