"Wira! Hish, lamanya awak ke Jupiter. Rindulah saya," Mila mengomel sebaik sahaja nampak Wira muncul di depan mata. Dalam kereta Proton Iriz milik Wira, lelaki yang sudang berbulan-bulan jadi tunangannya itu tersengih-sengih.
"Saya kena selalu keluar planetlah macam ni. Seronok betul bila ada orang marah-marah rindukan saya," usiknya.
Mila tak terhibur. "Tak sukalah rindu ni. Nak telefon tak boleh pula tu!" marahnya lagi. Namun goreng pisang tetap dia suapkan ke mulut Wira. Memang sudah Wira pesan ketika menelefon dia siang tadi, dia mahu goreng pisang hasil air tangan Mila sebab memang gadis itu handal memasak.
Sambil mengunyah pisang berangan goreng yang disalut bijan, Wira memandu kereta ke kedai Nasi Lemak Kukus di Taman Kosas, Ampang. Dia dan Mila memang gemarkan nasi lemak itu, dan sudah lama juga mereka tak ke sana kerana Mila sibuk nak mengelak makanan berat bila bertemujanji.
Dua kekasih itu berbual tentang perjalanan ke angkasa lepas Wira dan Bob yang baru tamat semalam. Hampir dua hari mereka menghilang, namun bagi Wira berbaloi sebab mereka pulang dengan 'dokumen' lengkap untuk Bob gunakan di hari perkahwinan dan pertabalannya nanti.
"Jadi mereka belum minta kita namakan anak-anak mereka?" tanya Mila, terkenangkan Casiopeia, nujum dari Planet Zuhal itu pernah katakan yang pasangan pemerintah Marikh itu akan bermasam muka gara-gara nama anak dan Wira dan Mila terpaksa menyelesaikannya.
Geleng saja Wira. "Mereka tak sebut apa-apa jadi saya pun tak tanyalah. Casiopeia ada kata, ramalannya jarang sasar, bukan tak pernah. Mana tahu, kali ini, sasar sedikit," dia cuba sedapkan hatinya.
Mila yang mendengar lega bila dapat tahu Putera Ue sudah tunjukkan jalan penyelesaian. "Kita cuma perlu melobi beberapa orang menteri yang Boea katakan sangat tradisional itu sajalah, ya," katanya.
"Begitulah. Kata Boea, seorang saja paling susah nak diyakinkan, sebab dia lahir dalam golongan pemerintah yang paling lama bertahan di Noa. Apa namanya? Tiyu. Ya, Menteri Tiyu. Harap-harap Bob boleh lawan dia nanti," balas Wira masih asyik menikmati daging goreng.
"Saya dah siapkan hampir kesemua persiapan perkahwinan Bob dan Boea, daripada urusan dokumen hinggalah hantaran. Ibubapa Boea juga banyak menolong... Menolong cara merekalah. Agak sukar juga rupanya nak terangkan mereka tentang isu wali, jadi akhirnya ayahanda Boea dah serahkan tanggungjawab itu kepada pihak yang lebih arif. Saya terharu bila mereka restu Boea memeluk agama kita, Wira," cerita Mila.
Kedua-dua Mila dan Wira teringat saat Boea zahirkan kesediaannya menjadi seorang Muslim, dan dia ceritakan di Noa kaumnya juga percaya kebesaran Ilahi, cuma cara mereka beragama saja yang lain. Bob orang pertama yang membelikan Boea baju kurung dan selendang, dan mereka berempat patah kaki membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada petang yang sama.
"Hal kita, bagaimana?" tanya Wira. Setakat tarikh dan tempat, sudah mereka tetapkan juga akhirnya. Empat bulan lagi, di rumah keluarga Mila di Ampang. Majlis bertandang ke sebelah pengantin lelaki, minggu berikutnya. Mesti buat juga sebab Wira anak bongsu ibubapanya.
Mila tersengih-sengih. "Boea taja busana pengantin, khidmat andaman dan pelaminlah Wira. Baik betul dia. Saya suruh dia berjimat, tapi katanya dia tak perlu risau tentang wang sebab katanya mudah sangat mencari wang di Malaysia ni, cuma perlu rajin saja."
Wira tergelak. Makhluk asing itu memang bijak berniaga. Dia cepat sekali menghafal resipi-resipi yang Mila ajarkan, kemudian dengan personalitinya yang cemerlang, ramai betul yang mahu khidmat katering Boea. Bob pula rajin membantu bila tidak membawa kereta Uber atau menulis.
"Banyak sangat duit Boea tu, awak dah suruh dia simpan di bank?" tanya Wira.
Mila angguk. "Ya. Dia sudah pandai depositkan wang tunai menggunakan mesin CDM, tapi baru-baru ini saya nampak dia beri duit pada penjual kerepek di tepi bank, tapi kerepeknya tak dibawa balik. Katanya, sama saja kalau beri pada penjual itu atau masukkan ke dalam mesin. Serik juga saya nak terangkan yang penjual itu bukan pekerja bank, dan kalau menyimpan duit melalui bantuan pekerja bank, mesti daftar di kaunter."
Wira terbahak-bahak. Sudah banyak episod pelik mereka dengan Boea. Pernah Boea mahu belikan Bob sejambak bunga, tapi dia beli sejambak bunga kantan di pasar. Akhirnya Bob beli spageti dan buat Laksa Johor saja bunga kantan itu.
Sebelum itu, Boea mahu hadiahkan Bob haiwan peliharaan. Dia tangkap beberapa ekor lipas dan disimpannya dalam kotak. Mujurlah Bob buka kotak itu dengan berhati-hati, kalau tidak pasti seluruh restoren tempat mereka bertemujanji itu dihinggapi anasir berkepak itu.
Namun sudah hampir setahun di Bumi, Boea kini lebih kemanusiaan perangainya setelah dibantu Mila. Bukan Mila saja, sepupunya Jelita dan rakan-rakan turut membantu.
Wira teringat yang dia terpaksa mohon bantuan Izzat, salah seorang sahabat Jelita.
"Eh Mila, apa pendapat awak kalau Nenda Boea ditempatkan di Projek Penarik, tempat Izzat, kawan Jelita tu? Ingat tak, isterinya Ellie pernah katakan tapak projek itu dibina khas untuk bekas pekerja kilang batik milik keluarga Izzat. Mereka bina tempat tu supaya pekerja-pekerja veteran itu boleh terus memberi sumbangan kepada masyarakat, jadi guru, tengok-tengokkan anak kampung yang buat aktiviti melukis dan bermain di situ.."
"Ah, ya, kata Ellie tahun depan tempat itu akan mulakan aktiviti buat batik. Mesti Nenda Boea suka, sebab kelmarin masa kami tunjukkan kraf bunga telur, dia asyik benar memerhati dan suka nak belajar," setuju Mila.
"Nanti kita ajak mereka makan-makan dan cadangkan, apa pendapat awak?" tanya Wira lagi.
"Kalau Izzat setuju, boleh kata dah selesailah masalah Nenda Boea ni, kan?" Mila ikut teruja.
****
"Boea, awak rasa, rancangan ini boleh berjaya ke?" tanya Bob sambil berikan pada Boea sate perut.
Kegemaran Boea, perut. Buatlah sate, gulai atau kerabu. Semua dia suka. Rakan Buminya, Tiara pernah berikan dia resipi gulai perut dengan rebung. Boea makan sampai memulas perutnya dan dia terpaksa mengubah bentuknya kepada tubuh Noa supaya tubuh manusianya boleh sembuh.
Boea terangguk-angguk sambil makan.
"Perlahan sikit makan tu, Boea, nanti sakit perut lagi," nasihat Bob. Kalau ikutkan hatinya, dia tak mahu bagi Boea makan perut lagi. Ketagihannya buat Bob risau. Tapi itulah, alien kesayangan minta, tak boleh Bob menafikannya. Sebab itu dia ajak makan sate saja, boleh dikawal berapa cucuk ditelan Boea.
"Tiyu, saya cuma risaukan Tiyu," kata Boea dicelah gigitan.
"Ah, sebab itu Wira cadangkan kita jumpa Izzat, minta izin agar Nenda boleh bersara di Projek Penarik saja," Bob ingatkan. "Kalau Menteri Tiyu kata pemerintah unggul wajib juga berpisah daripada keluarga, Nenda awak boleh menetap di Penarik dan tunggang kuda di situ saja. Tapak projek itu tempat penghargaan untuk warga emas Bumi, pasti layak jadi tempat huni warga emas Noa juga," Bob terangkan panjang lebar.
Boea berhenti memamah sate. "Saya harap, cadangan Putera Ue dan Wira akan diterima. Kalau tidak, awak terpaksa buat apa yang Dangeloqi pernah buat dahulu," katanya.
"Apa lagi yang Dangeloqi buat, selain daripada meminta seluruh Noa menganggap dia sebagai keluarga?" tanya Bob.
"Dia pernah menghantar seorang Menteri menunggang Komet Xie, komet yang paling pantas gerakannya di Bima Sakti," jawab Boea, nadanya penuh misteri.
"Kenapa suara awak macam ada yang tak kena dengan Komet Xie?"
"Itulah satu-satunya komet dalam semesta kita yang didampingi lohong hitamnya sendiri. Sesiapa saja yang menunggangnya pasti akan terjerumus masuk ke dalam lohong itu."
"Dan tak keluar-keluar lagi?" tanya Bob. Ais kacang dikuis-kuis dengan sudu.
"Oh, tidak, lambat-laun mereka terkeluar daripada lohong itu juga, tak makan masa bertahun-tahun pun... Cuma..." Boea terhenti di situ.
Sate tak disentuh dek dua jiwa itu.
"Cuma apa, Boea? Apa jadi lepas mereka terkeluar daripada black hole yang mendamping Komet Xie?" Bob tanya juga walaupun dia dapat mengesan yang dia takkan sukakan jawapannya.
"Mereka akan keluar sebagai bayi. Mereka tetap orang yang sama cuma proses penuaan mereka diterbalikkan. Jadi mereka terpaksa lalui proses pembesaran sekali lagi, dan mereka takkan ingat apa yang pernah terjadi pada kehidupan lampau mereka."
Bagai dilahirkan semula. Bagus atau tidak? Hadiah, atau hukuman?
Mila dan Boea tahu buah fikiran masing-masing, dan mereka sedar Tak perlu berdebat kerana kalau rancangan Bob dan Wira berjaya, tiada sesiapa perlu menunggang komet demi menghabiskan hari tua.
YOU ARE READING
Penulis Jadian III
AdventureMila dan Wira nak kahwin! Setahun pertunangan sudah berlalu. Namun perlu dahulukan Bob yang terpaksa menunggang Komet Noa demi menyunting Boea, makhluk asing pilihan hati. Itu belum sentuh hal memberi nama kepada dua putera Marikh yang bakal lahir d...