"Maaf, Boea, kami terpaksa pergi dulu, ada janji dengan Casiopeia," mohon Sarah dihujung tengah hari itu. Dia dan Luth baru saja dihubungi rakan makhluk asing mereka, seorang nujum dari Planet Zuhal yang bernama Casiopeia.
"Casiopeia kata, musuh lama kami, Ginafuwara ada kirim surat dari penjaranya di Utarid. Kami masih belum pasti, nak terima dan baca atau tidak utusannya," jelas Luth.
Semua dalam rumah itu tahu, Luth tak mahu Sarah dekati Ginafuwara lagi. Sejak mereka bertarung dua tahun lepas, keadaan keruh antara Sarah dan Ginafuwara.
Apa tidaknya. Rancangan jahat Ginafuwara mahu menakluk Bima Sakti dengan menggunakan DNA Luth sebagai pemangkin kuasanya, digagalkan oleh Sarah. Walaupun Ginafuwara berjaya ditangkap, dibicarakan dan dipenjarakan; Luth masih belum puas hati kerana puteri Utarid itu sempat mencederakan Sarah ketika bersemuka di mahkamah yang dikendalikan oleh kerajaan Planet Jupiter.
(Nota khas untuk pembaca: Asing sungguh perihal rakan-rakan Mila dan Wira, kan? Kalau nak tahu, kena baca Nujum Casiopeia.)
Boea, Bob, Mila dan Wira biarkan Luth dan Sarah selesaikan urusan mereka dengan pihak Zuhal. Bob cuci pinggan sambil memikirkan kejutan yang baru dia terima tadi.
Kena jadi pemerintah? Aku? Layakkah? gumamnya dalam hati, dan dia berhati-hati agar Boea tidak dapat menyelami buah fikirannya. Sejak Bob juga dikurniakan teknologi Marikh untuk bantu Sarah dan Luth tewaskan Ginafuwara, dia boleh melindungi isi kepalanya agar teman wanita warga Noa yang dikasihi tak tahu resah gelisah dalam dirinya.
"Senicide tu apa?" tanya Boea setelah selesai mengemas rumah bersama Mila dan Wira.
Petang itu hampir sampai di kesudahan hari, matahari sudah suram dan mood empat rakan yang tadinya cemas dan panas sudah mula reda dalam suam.
Mila pegang tangan Boea dan ajak dia duduk, minum kopi panas. "Kalau ikut mitos, dulu-dulu, di Bumi, sesetengah kaum ada yang mengamalkan senicide. Ia tak lagi diamalkan sekarang. Tradisi ini kejam, sebab orang tua akan dihantar ke tempat yang terpencil, jauh daripada keluarga supaya dia tidak lagi menyusahkan keluarganya. Dia akan dibiarkan mati di situ.."
Terbeliak mata Boea. "Adakah mereka dibunuh?"
"Tidak.. Dan ya juga. Mereka akan dibiarkan, jadi mereka akan cuba untuk terus hidup selagi masih ada kudrat, tapi mereka kan sudah tua. Bila sudah tidak mampu lagi, mereka.." Wira cuba bantu Mira tanpa mahu mengingat apa yang dia tahu mengenai senicide.
Dia tak mahu Boea tahu, sesetengah kaum pernah menghikayatkan yang nenek moyang mereka dihumban setelah dibawa ke puncak gunung, ada yang dibunuh dengan cara diberi racun malah ada yang dibiarkan tanpa makanan dan minuman. Semua itu amalan kuno, malah tiada satu pun pernah didokumenkan secara rasmi.
"Saya tak mahu Nenda pergi. Saya nak jaga Nenda sampai bila-bila," teriak Boea, makin murung, semurung waktu dia diberitahu perkahwinan dia dan Bob perlu dipercepatkan kerana neneknya itu mahu menunggang Komet Ryz yang bakal membawanya jauh dari Bima Sakti.
Kopi di tangan Boea diambil dek Bob agar tidak tumpah. Bob cuba menenangkan Boea, tapi soalannya salah: "Boea, cuba ceritakan dulu tentang tradisi yang Nenda awak cakapkan tadi.."
Tangisan Boea jadi lolongan pula. Pernah dengar bunyi mesin pengisar yang sedang mengisar sejambak paku? Itulah bunyi yang tiga manusia, sahabat warga Noa itu terpaksa tabah hadapi.
"Tradisi yang kononnya suci. Walhal ia penganiayaan! Patutkah pemerintah kami dihantar menunggang komet yang cuma akan kembali ke Bima Sakti cuma sekali dalam tempoh 482 tahun? Komet Ryz, Komet Gyi dan Komet Kiv antara komet-komet yang paling lama pengembaraannya. Kononnya penghormatan tertinggi sangatlah kalau hari tua pemerintah dihabiskan menunggang komet-komet seperti ini. Walhal mereka pergi dan takkan kembali," putus nafas Boea ceritakan.
Hingus di enam lubang pipinya dikesat. "Tapi itulah yang sudah warga Noa lakukan sejak dahulu lagi. Setiap pemerintah yang masih hidup selepas dua puluh tahun menjalankan tugas, harus berpisah dengan kami semua. Kononnya itulah perjalanan paling bermakna dan pengakhiran yang paling indah kepada hidup seseorang yang sudah berjasa..." dan Boea terus tersedu-sedan.
Mila beliakkan matanya kepada Bob. Tak perlu telepati, mereka semua faham yang itu tanda Mila marahkan Bob kerana buat temannya sedih.
"Eh, sekejap, Boea, bukankah warga Noa boleh mengawal komet-komet yang awak tunggangi?" tanya Wira.
Boea angguk. "Ya, boleh, kecuali beberapa komet sahaja. Komet-komet yang purba seperti yang saya ceritakan tadi, sukar dipengaruhi mindanya."
Ternganga tiga manusia. "Komet pun ada minda?"
Giliran Boea pula ternganga. "Kenapa tidak? Awak semua ingat komet tu apa? Batu semata? Mereka ada perasaan, tau. Kalau kamu tahu menunggang kuda, kuda kan ada perasaan? Kalau dia sedang marah, takkanlah kamu nak tunggang juga kuda itu, kan? Samalah dengan komet purba. Mereka punya naluri untuk mengembara."
Mila masih ternganga. Bob dan Wira, nerd dua orang ini biasalah... Mereka tenggelam dalam pengetahuan baru mereka.
"Jadi komet tu macam haiwan? Ada perangai sendiri?" Teruja betul Bob bertanya.
"Boleh berkomunikasi? Ada jantina?" Wira ikut bertanya sekali.
Boea masih hairan. "Manusia belum tahu banyak tentang komet rupanya ya.. Hmm. Ya, komet, nampak saja seperti batu yang mineral yang bergumpal meredah langit, tapi sebenarnya mereka adalah hidupan. Kalau komet yang muda mereka mudah kami jinakkan dan akan sentiasa berada dekat dengan Komet Noa, komet paling tua di Bima Sakti. Komet muda kalau nak ditunggang mereka mudah dipengaruhi tapi kali pertama, tidaklah jinak. Macam... Er, macam apa ya? Ha.. binatang apa yang ada cengkerang dan hidup dalam laut tu?"
Mila meneka, "Kerang?"
"Siput?" cuba Wira pula.
"Landak laut?" Telahan Bob lebih kreatif.
Boea menggeleng. "Bukan, bukan.. Ha! Penyu! Penyu, haiwan yang berjiwa sensitif, pengembara yang berani, penjaga keindahan samudera... Begitu jugalah komet-komet muda yang ada dalam semesta kita," terangnya sambil luruskan lengan baju kurungnya.
"Jadi kenapa Nenda perlu tunggang Komet Ryz? Tak bolehkah kalau dia tunggang komet muda yang lain, boleh dia pulang melawat kita bila-bila masa?" cadang Bob.
Boea mengeluh. "Nenda seorang pemerintah yang disukai rakyatnya, dan kebetulan Komet Ryz bakal mendekati Noa. Pada pandangan rakyat, ini penghormatan besar untuk Nenda, sebab peluang menunggang Ryz datang jarang sekali. Bila Bonda dan Ayahanda saya cadangkan pada menteri kabinet agar tradisi ini diubah, ia masih belum dapat sokongan.."
"Tak ada kuasa veto ke?" tanya Mila. Dia teringatkan United Nations.
Boea angguk. "Seorang pemerintah boleh gunakan kuasa vetonya cuma tiga kali dalam tempoh dia menjaga kedamaian Noa. Tapi tak wajar dia gunakan untuk kepentingan diri."
Mila dan Wira kehabisan idea. Bob makin gementar. Siapalah dia, pemandu Uber dan penulis indie, nak jadi raja?
Buat sesaat dia teringin minta nasihat emak dan ayahnya, malah kakaknya yang suka cari gaduh dengannya.
"Hoi Bob, kau sendu kenapa?" tanya Wira.
Boea cepat-cepat menoleh.
"Bob, awak ok?" cemas Boea bila kekasihnya yang macho itu tiba-tiba mengalirkan air mata.
Bob cuma membalas dengan separuh ayat yang sudah bertahun Wira tidak dengar;
"Saya rindu Mak Ayah dan kakak saya!" tangis Bob.
"Bob, awak tahu kan saya ada?" pujuk Boea. Sebagai makhluk yang boleh menyelami fikiran makhluk lain, Boea faham sangat kesedihan Bob. Kehilangan seluruh keluarga ketika berusia 18 tahun bukanlah trauma yang boleh dipulihkan.
Mila dan Wira berpandangan. Tak perlu telepati, mereka tahu, merekalah harapan Bob dan Boea sekarang ini.
YOU ARE READING
Penulis Jadian III
AventuraMila dan Wira nak kahwin! Setahun pertunangan sudah berlalu. Namun perlu dahulukan Bob yang terpaksa menunggang Komet Noa demi menyunting Boea, makhluk asing pilihan hati. Itu belum sentuh hal memberi nama kepada dua putera Marikh yang bakal lahir d...