ENTAH berapa lama Aira terlelap akibat keletihan kerana menangis. Sebelah tubuhnya dah rasa sengal. Lenguh. Aira cuba bangkit. Dalam kepayahan, akhirnya dia mampu duduk. Dilunjurkan kaki. Pergelangan kaki dah merah. Ada kesan lebam pada ikatan. Dia ketap bibir. Sakit. Bahu dia juga rasa nak tercabut. Dah lama sangat dia diikat begini. Aira melingas ke sekeliling kawasan pondok. Lengang. Hanya ada dua army bed. Satu di hujung dinding sana dan satu di hujung sini.
Aira toleh belakang. Ada satu jendela yang siap dengan pagar kayu. Entah ke mana lelaki ini bawa dia, langsung tak boleh nak teka. Mendengarkan bunyi unggas, Aira yakin sesuatu. Pondok ini jauh di dalam hutan.
Air mata dia jatuh lagi. Macam mana kalau lelaki itu apa-apakan dia? Macam mana kalau lelaki itu kotakan kata? Membakar tubuhnya dan abunya dicampak ke tengah lautan? Dia akan mati tanpa pusara dan tanpa tanda. Paling sedih, tiada siapa tahu. Airin, mama, Kak Su dan paling penting, ayah.
Tangisnya menjadi esakan. Aira heret kaki hingga lutut rapat ke dada. Dia sembamkan wajah ke atas kepala lutut. Menangis dan terus menangis.
Mama risaukah dekat dia? Itu soalan yang terlintas sekarang.
Macam mana ayah? Tentu ayah bimbang. Ya, dia yakin tu. Sebab dalam rumah tu, hanya ayah dan kak su yang selalu risaukan dia.
Airin? Adik dia tu, jangan cakaplah. Rasanya kalau dia tiada, Airin lagi bahagia. Tapi, Aira nak balik. Bukan ini yang dia maksudkan bila dia mahu keluar dari rumah itu. Dia mahu bina hidup sendiri. Cari bahagia sendiri. Dia akan usaha dengan tulang empat kerat yang masih gagah.
Tapi sekarang... Aira angkat wajah bila pintu kayu itu berkeriuk. Tanda ada orang masuk. Wajah asing. Tapi, lelaki ini nampak lebih lembut pandangannya. Di tangan lelaki itu ada sebungkus makanan dan sebotol air. Aira telan liur. Dia memang sangat dahaga. Dia sangat lapar.
"Itu untuk saya ke?"
Lelaki itu angguk. Tak banyak bicara, ikatan pada tangan Aira diputuskan. Cepat-cepat Aira pandang pergelangan tangan yang dah mula membiru. Tapi, setakat ini... Dia tak kesah langsung. Tangan Aira mencapai botol air dan terus meneguknya sehingga habis. Pandangan lelaki itu... Seperti nak kata dia gelojoh? Ya, katalah apa saja. Dia benar-benar perlukan air.
"Ada air lagi?" soalnya. Aira tunjukkan botol yang sudah kosong.
Lelaki itu angguk dan mahu bangkit tapi tingkahnya terhenti bila lelaki yang mengheret dia ke sini muncul secara tiba-tiba. Derap tapak but itu menakutkan Aira. Dia beranikan diri mendongak pada lelaki itu.
Wajahnya berkerut tak henti-henti. Urat pada lehernya juga sama.
"Kenapa?" Tangan lelaki itu bergerak seiring percakapan.
"Dia nak air?"
Lelaki yang sejak tadi diam, mengangguk. Aira faham sesuatu. Boleh jadi, orang suruhan lelaki itu, bisu.
"Jangan bagi. Ingat pesan aku!" Suara lelaki itu keras memberi amaran. Terus lelaki bisu itu berlalu meninggalkan mereka berdua. Pintu pondok ditutup rapat.
Aira mengesot ke belakang. Hingga rapat ke dinding. Tiada tempat lagi yang mampu dia larikan diri. Tangannya meraba dinding. Manalah tahu ada sesuatu yang boleh dia buat sebagai senjata, tapi hampa.
Lelaki itu ketawa. Ketawa dan terus ketawa.
"Kau ingat kau duduk dekat hotel lima bintang? Nak arah budak aku pergi ambil air untuk kau lagi?"
Aira kemam bibir.
"Kau tu yang pelahap. Eh, kau ingat sikit. Kau hanya dapat sebotol air untuk dua puluh empat jam. Sama juga dengan makanan. Tapi, memandangkan air tu, kau dah teguk habis..." Mata lelaki itu memandang pada botol yang dah kosong seketika.
YOU ARE READING
OBJECTION
General FictionTajuk: Objection Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-069-4 Muka Surat : 544 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni ...Overruled!