Bab 6

5.6K 159 4
                                    

DAH tengah malam. Tapi, Aira tak dapat agak pukul berapa sekarang. Jam dia tiada lagi di pergelangan tangan. Bunyi unggas dan serangga sedikit membuat hati dia kecut. Dia tahu, dia dibawa ke tempat yang jauh. Cuma, tak tahu di mana. Boleh jadi juga, dia memang akan habiskan sisa hayat dia di sini. Dalam pondok usang ini. Yang hanya berdinding kayu dan beratap rumbia.

Sejak tadi, tak henti-henti dia menepuk seluruh badan sendiri. Selimut yang ada tak mampu menghalang nyamuk daripada terus menggigit tubuhnya. Rasanya, seluruh tubuh dia akan merah. Malah, luka di betis dan lututnya juga mula terasa pedih. Gamaknya dah kena jangkitan.

Aira angkat tubuh. Pelita itu dibawa dekat ke katil. Disuluh tempat yang sakit. Ya, dah nampak sedikit nanah muncul. Dia perlukan antiseptik dan antibiotik sekarang. Kalau tak, dia boleh jatuh sakit.

Luka itu dilapkan dengan tuala. Ditekapkan perlahan. Pedih. Aira berdesis panjang. Dia hanya mampu pandang lukanya. Tiba-tiba, dada dia berdebar bila terdengar derap tapak kaki. Nazri ke? Sejak beberapa malam dia di sini, rasanya Nazri tiada. Dia mahu bangkit mendekati pintu. Kotlah dia lupa nak kunci. Biasa, setiap malam dia akan selak pintu kayu itu biarpun dia tahu, sekali kena tendang aje memang akan menyembah bumi.

Bila pintu itu terkuak bersama sedikit cahaya dan berserta bunyi yang berkeriuk, ia begitu menakutkan. Aira rebahkan tubuh. Dia berselubung. Sekujur tubuh yang menggigil dipujuk agar diam.

Aira tekup mulut sendiri. Dalam hati berdoa tak sudah agar tetamu yang tidak diundang ini mungkin Nazri ataupun lelaki itu. Namun, dia tetap kecut. Setidak-tidaknya, dia tahu Nazri tak akan berani apa-apakan dia kerana takutkan lelaki itu. Biarpun tak suka, lelaki itu tak mungkin akan sakitkan dia dengan cara kotor macam ni.

Kelopak mata terkatup rapat. Sekujur tubuh yang menggigil makin tenang. Dia tolak sedikit selimut yang menutup seluruh wajahnya. Mengintai di balik lampu pelita yang samar-samar.

Lelaki tu! Aira hampir menjerit tapi bila lelaki itu menoleh, dia cepat-cepat pejam mata. Buat-buat tidur. Sesekali, dia tepuk lengannya yang digigit nyamuk. Menggaru setiap tempat yang dihinggapi serangga halus itu. Menyakitkan hati. Sama dengan lelaki gila ni. Begitu menyakitkan hati.

Bila dia yakin mata itu tidak lagi memandangnya, Aira buka mata. Lama dia perhati lelaki itu menggantung kelambu. Dia hampir menangis bila akhirnya, kain kelambu itu menutupi kawasan tidurnya.

Rupa-rupanya, hati lelaki ini bukanlah dicipta daripada kerikil. Tapi, hati seperti dia juga. Apa yang buat lelaki ini begitu keras dan sekarang... Seperti dua orang berbeza.

"Jangan ingat aku ada simpati dekat kau, perempuan!" Suara lelaki itu berbisik halus di sisi katil Aira. Berbicara sendiri.

Entah kenapa, suara itu kedengaran begitu sayu. Tak seperti kebiasaannya. Kata-kata itu, sepertinya lelaki ini mahu berkongsi sesuatu.

"Aku tak akan biarkan kau mati dengan cara yang mudah, Aira. Kau perlu terseksa sama seperti aku. Kau adalah tertuduh dalam kes ini, Aira," tambahnya dan berlalu keluar sambil merapatkan daun pintu.

Setelah dipastikan lelaki itu menjauh, Aira tolak selimut hingga ke paras pinggang. Dia pandang kelambu yang dah selamatkan dia daripada serangan nyamuk. Yang akan memberikan dia tidur yang sedikit lena. Membiarkan dia dapat bermimpi indah pada malam hari biarpun siangnya segala keperitan itu adalah nyata.

Daripada apa yang lelaki itu katakan, sepertinya dia telah lakukan perkara yang begitu teruk. Yang terkutuk. Yang tak boleh dimaafkan. Yang menjadi persoalannya, kenapa? Adakah sebab Airin? Lelaki ini juga menjadi salah seorang mangsa Airin? Hinggakan dia yang dijadikan tempat membalas dendam?

Argh... Aira mengeluh. Lemah semangatnya. Lelaki ini pernah mencintai Airin gamaknya. Andai telahan dia betul, tidaklah pelik bila dia menjadi mangsa. Dari dalam rumah, hingga ke luar rumah dia perlu tanggung segala kesan perbuatan Airin. Tapi, masalahnya... Betul ke?

OBJECTIONWhere stories live. Discover now