Bab 14

5.1K 130 0
                                    

MATA Airin luas memerhatikan keindahan laut Phuket. Cantik sangat sampai susah dia nak gambarkan dengan kata-kata. Tak puas mata memandang. Nak-nak bila Alif siap dapatkan dia bilik yang menghadap kolam dan lautan. Lagilah dia teruja. Dia labuhkan duduk di atas kerusi di beranda usai membersihkan diri. Kejap lagi nak turun makan malam. Dengar kata, masakan di sini kelas pertama. Malam ni, bolehlah berenang.

Dia renung kolam dari tingkat dua bilik penginapannya. Kolam itu nampak kosong. Hanya ada seorang saja yang sedang berenang. Airin memicingkan pandangan. Sebaik saja perenang itu timbul di permukaan, meraup rambut ke belakang, wajahnya jelas di pandangan mata Airin.

Dia tongkat dagu di atas pagar beranda. Menatap penuh minat bila lelaki itu memanjat tebing kolam. Mencapai sehelai tuala dan duduk di atas kerusi. Mengelap rambut yang agak panjang. Matanya tajam memerhati otot dan lengan kekar lelaki yang hanya berseluar pendek dan berbaju singlet putih.

Boleh jadi rakyat Thailand tengok pada rupa kacak itu. Tapi, pelancong Malaysia ramai juga di resort ni sampaikan dia rasa dia hanya ada di Pulau Perhentian. Airin bangkit. Terus mengintai apabila lelaki itu bangkit dan berjalan masuk ke dalam bangunan.

Dia sengih. Tajam. Tuala di atas kepala dilonggarkan. Rambut yang basah, dikirai dengan jari. Rasa nak kenal lelaki segak itu mencanak dalam dada.

MENU makan malam untuk tetamu, dia sendiri yang pilih. Haruslah yang segar saja. Dia tak nak jatuhkan reputasi resortnya dan juga nama dia sendiri. Haih! Rasa silap pula setuju dengan temu ramah ni. Dia tak nak pada mulanya, tapi Rahim yang pujuk. Ini untuk membakar semangat muda. Memberi inspirasi.

Inspirasi pada dia dulu hanya Zariq. Tiada yang lain. Selain itu, dia dapat membantu ramai orang. Menyediakan peluang pekerjaan dan juga pada alam, dia anggap itu sebagai bonus. Ramai antara pekerja dia yang datang dari Malaysia dan juga rakyat tempatan. Kebanyakannya, yang kurang berpendidikan melainkan di pihak pengurusan dan pemasaran saja. Janji nak belajar setiap masa. Ilmu itu tak kira masa dan di mana.

Tapi sekarang, dia seperti tiada apa. Jiwa dia kosong. Zahirnya saja nampak gah. Hakikatnya, berbeza. Kekosongan yang semakin hari, semakin kontang tak berisi.

Berat hati dia nak melangkah untuk makan malam bila Rahim mengetuk pintu biliknya. Tapi, dia terpaksa juga. Tak nak timbulkan apa-apa masalah. Nanti, nama baik mereka juga yang rosak. Rahim dah atur segalanya dengan elok.

"Kau dah atur semua?" tanya Zafiq sambil melipat lengan kemejanya hingga ke atas siku.

"Dah, bos."

"Terima kasih, Im..."

"Apa-apa aje untuk bos..." Rahim sengih. Menekan punat lif. Mahu turun ke bawah dari tingkat sepuluh di mana hanya bilik Zafiq dan pejabatnya saja ada di sini.

"Dia orang tak pernah kenal aku, kan?"

"Eh, bos ni... Bergurau pula. Jangan kata orang luar nak kenal, staf sendiri pun ada tak kenal bos lagi."

Rahim ketawa kecil. Ingat lagi macam mana Zafiq datang resort dua bulan lepas. Siap ada pekerja yang tanya dia menginap di sini atau tidak bila terus saja menuju ke lif dan menekan punat tingkat sepuluh. Siap dilarang lagi Zafiq naik. Bagi tahu ini kawasan larangan. Bos saja dapat naik ke sini dan juga pekerja.

"Kau gelak dekat aku, Im?" Zafiq buat suara dingin.

Terus Rahim berdeham panjang.

"Errr... Taklah, bos. Tapi, saya rasa eloklah kalau sesekali kita buat perjumpaan dengan semua pekerja. Makan-makan sikit. Yang dekat pulau uruskan tiram, memanglah kenal sebab bos selalu ke sana tapi bos jarang dekat sini. Balik KL lagilah jarang..."

OBJECTIONWhere stories live. Discover now