Bab 13

5.3K 147 2
                                    

APA lagi yang perlu dia katakan? Pertuduhan telah dibaca. Dia, yang dikatakan pesalah tak mahu menerimanya. Tak akan mengaku salah sampai bila-bila. Tapi, pendakwa raya-juri-hakim adalah orang yang sama. Tetap memaksa dia terima bulat-bulat semua tuduhan dan menjalani hukuman. Nak bela diri sendiri juga, dia tak layak. Mahkamah Zafiq, adalah mahkamah gila. Dakwaan Zafiq adalah dakwaan tak berasas dan penilaian Zafiq sebagai juri adalah penilaian berat sebelah.

Aira memeluk lutut di tepi katil. Melentokkan kepalanya ke atas lulut, memejamkan mata. Dia cuba tenangkan dirinya. Berlagu perlahan. Bagai mendodoikan diri sendiri. Dia mahu kembali lena. Moga nanti bila dia jaga, ini semua mimpi. Akan ada ayah yang tersenyum padanya, juga Kak Su yang suka melayan celoteh dia. Sesekali terdengar jeritan Airin memanggil dia atau boleh jadi juga arahan keras mama yang mengarah itu, ini.

Semuanya bersatu menjadi satu lagu yang indah. Tapi, kenapa yang dirasakan indah ini tetap membuatkan dia nak meraung? Aira buka mata. Air mata dia jatuh setitis. Tak. Ini bukan mimpi. Ini kenyataan yang perlu dia terima setelah sebulan berlalu. Aira senyum. Disapu pipi dan mendongak bila pintu bilik dibuka.

Wajah Nazri muncul. Berkerut sana sini.

"Kakak okey..." Serentak itu, air mata dia jatuh lagi. Berkali-kali pun dia katakan dia baik-baik saja, berkali-kali itu jugalah dia menipu diri sendiri.

Hati dia begitu terluka dengan Zariq malah lebih lagi terluka dengan Zafiq. Bila dia fikirkan layanan Zafiq pada dia malam tadi, dia rasa nak berterima kasih. Tapi tadi... Aira pejam mata. Hampir saja diri dia ditakluki oleh Zafiq. Tapi, mujurlah akhirnya Zafiq sendiri berhenti. Menjauh daripada dia. Seperti begitu jijik sedangkan bahu inilah yang Zafiq usap malam tadi.

"Zafiq pergi mana, Yie?"

Tiada reaksi, Nazri hanya tunjuk isyarat untuk Aira makan. Dengan semangat yang begitu lemah, Aira angkat tubuh. Pakaian Zafiq masih membalut tubuhnya malah jaket juga masih tersarung kemas. Sesekali, sempat dia menoleh ke jendela.

"Kakak rasa nak berjalan kat tepi laut lepas ni. Boleh tak?" Dia pandang Nazri dan anak muda itu angguk dalam senyuman.

Sekali lagi Nazri tunjuk isyarat makan.

Aira ketawa kecil dan angguk.

"Yalah. Jom, makan..." Dia kalah dengan kepolosan Nazri.

Sebaik saja tiba di meja makan, semuanya dah terhidang biarpun masih lauk yang sama. Nasi, sardin dan telur dadar serta hirisan timun. Semua ni dah cukup membuka selera dia. Aira duduk. Memandang Nazri yang berdiri.

"Kenapa Yie tak duduk?"

Nazri geleng. Zafiq hanya berpesan untuk pastikan Aira makan dan lepas itu, hantar semula Aira ke pondok yang dah siap dibaiki. Sepagian dia berada di pondok dan masakan ini... Bukan dia yang sediakan.

"Kau yang masak?" Nampak sedap.

Nazri geleng.

"Zafiq?"

Nazri diam dan itu tandanya telahan dia betul.

Aira tolak pinggan nasi. Bukanlah dia syak Zafiq akan racun dia tapi entahlah. Selera dia hilang tiba-tiba. Dia tak nak berhutang apa-apa dengan Zafiq. Dia nekad, dia akan usahakan segalanya sendiri.

Biar satu hari nanti, Zafiq yang tunduk demi rasa bersalah pada dia! Itu tekad Aira.

Dia terus bangkit. Berlalu ke pintu yang terbuka lebar. Sempat dia campak jaket milik Zafiq ke kerusi. Baju milik lelaki itu juga dah kering.

Nazri menahan langkahnya. Memaksa Aira makan.

"Kakak nak balik pondok, Yie. Kau tahu, kan. Sini bukan tempat kakak. Kakak dah biasa duduk dekat pondok tu. Lagipun, ada beras semalam. Kakak masak sendiri. Tapi, kalau betul kau nak tolong kakak, ada satu benda yang kau boleh tolong..." Aira senyum pada Nazri yang berkerut kening.

OBJECTIONWhere stories live. Discover now