BARU nak panjat dua anak tangga, Aira jatuh terjelepok. Selipar dia licin. Dia mengaduh sendiri. Airnya tumpah. Dahlah hujan begitu lebat. Baju dia hanya ada yang ini. Yang lain tak kering lagi. Aira cuba bangun tapi dia kembali terduduk. Buku lalinya perit. Sekali lagi dia cuba bangkit, masih tak berjaya. Bukan kerana buku lali itu saja tapi dia benar-benar keletihan.
Seluruh tubuhnya sakit. Seperti dihempap batang balak. Akhirnya, Aira rebahkan badan di atas tanah. Membiarkan hujan membasuh rasa sakitnya. Menyentuh wajahnya. Menyembunyikan tangisannya. Dia buka mata bila dirasakan air itu tidak lagi menyapa wajah dan tubuhnya.
Lelaki itu muncul. Memayungi dia.
"Air belum penuh." Aira bangkit. Duduk bersimpuh. Tak larat nak bangkit. Katalah apa saja. Paksalah dia buat apa pun, dia memang tak berdaya. Kalau dia cakap nak tadah air hujan, sah-sah lelaki ni mengamuk lagi!
"Aku dah tak larat."
"Yang kau bodoh sangat pergi angkut air dalam hujan tu, kenapa? Kau rasa kau kebal? Tak jatuh sakit?"
"Habis tu, kau suruh aku penuhkan tempayan tu. Kalau tak penuh, kau tumpahkan semua. Kau suruh aku penuhkan balik. Kau ingat aku larat ke nak buat benda sama berkali-kali? Kau tahu tak aku dari semalam tak makan? Kau tahu tak, aku hanya minum air sungai tu aje? Kau tahu tak?" Aira raup wajah. Dia dah mula menangis lagi.
Dia betul-betul terseksa. Jika beginilah keadaannya, makin teruk dan tak terjangka... Dia lebih rela jadi hamba mama dan Airin. Setidak-tidaknya, dia dapat makan tepat pada masanya. Dia ada katil sendiri. Dia ada pakaian yang boleh ditukar. Dia tak akan merungut lagi. Dia akan bersyukur biar bagaimana teruk pun mama dan Airin melayan dia. Dia tak akan sebut lagi tentang impian dia. Tak akan cakap sepatah pun untuk tinggalkan rumah tu.
"Bangun!" Zafiq mengarah.
"Aku tak larat."
"Bangun!!!" Arahan Zafiq makin keras.
Aira angkat muka.
"Aku dah cakap, aku tak larat. Biar aje aku dekat sini. Kau balik rumah kau sana! Jangan ganggu aku! Lagipun, kau tahu yang aku tak akan dapat lepaskan diri dari sini. Kau nak takut apa?!" marah Aira dengan nada yang sebak. Dia terus membatu di situ.
"Hey, aku tak takut kau nak larilah, perempuan. Tapi, aku..." Bicara Zafiq jeda di situ.
Dia renung tajam mata Aira yang sedang memandang dia. Dada Aira nampak berombak. Kencang. Tak payah cakap, dia memang boleh nampak Aira penat.
"Tapi apa?" soal Aira berani.
Zafiq ketap bibir. Cuba ditenangkan amarah yang sedang mengaum dalam dada. Ini bukan masa nak mengamuk.
"Aira, hari hujan... Haiwan berbisa banyak. Baik kau bangun!" Zafiq makin hilang sabar. Buatnya tiba-tiba kena sengat jengking ke, dipatuk ular ke... Satu hal pula.
"Biar aku kena sengat pun. Kau peduli apa? Patut kau suka tengok aku terseksa macam ni, kan? Kau memang harap aku mati, kan?"
"Gila!" marah Zafiq. Sabar dia kian menipis. Sikit lagi nak koyak ni. Dia mencangkung dan menarik lengan Aira.
"Kan aku dah cakap, kalau kau nak mati pun... Aku akan seksa kau cukup-cukup!"
Aira menoleh. Dadanya naik turun. Ringan tangan dia nak cakar wajah lelaki ini. Biar turut sama merasa, pedihnya layanan yang dia terima.
"Bangun, Aira!" Zafiq bangkit. Ditarik Aira agar turut sama bangkit tapi bila perempuan itu terus membatu, Zafiq tiada pilihan.
Dia tunduk dan terus mencempung tubuh Aira ke dalam pelukannya. Rontaan Aira langsung tak beri kesan pada tenaganya. Pintu bilik itu ditendang dan Aira dihempas di atas katil.
YOU ARE READING
OBJECTION
General FictionTajuk: Objection Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-069-4 Muka Surat : 544 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni ...Overruled!