KEPALA Azman rasa pening tiba-tiba. Apalah nak jadi dengan anak-anak dia? Seorang hilang entah mana pergi. Telefon pun tidak. Atau memang Airin ni menipu dia? Sedangkan semua tak tahu mana Aira pergi? Yang Si Airin ni pula sign kontrak dengan agensi pelancongan mana entah? Main sign aje. Cubalah bawa berbincang dengan orang tua dulu. Macam tiada mak bapak.
"Ayah, Rin pergi timba pengalamanlah. Lagipun, sambil-sambil wartawan tu nak interviu salah seorang rakyat Malaysia yang berjaya di sana. Katanya, tak pernah lagi ada yang berjaya interviu dia tu, tapi kali ni dia macam setuju. Itu yang dia nak Rin ikut sekali untuk photo shoot. Bolehlah ayah..." Lengan Azman dipeluk erat.
Sesekali, Airin pandang Maria. Meminta agar mama menyokong tindakannya.
"Pergi dengan Alif ke?" Bukan dia tak kenal Alif tu. Bos dekat majalah dan syarikat pelancongan apa entah namanya. Nak dilarang Airin berkawan, budak ni mana makan saman.
"Yang nak interviu orang tu, team Aliflah..." Airin sengih. Meminta simpati dan pengertian ayah.
"Ayah risau, Rin. Dahlah Aira entah mana-mana..."
"Nak risau apa dekat Aira tu. Dia memang sengaja pergi. Pandai pergi, pandailah dia balik," tambah Maria.
Azman mengeluh.
"Berapa hari?"
"Dalam tiga empat hari aje, ayah. Kalau kata projek tu jalan, baru Rin pergi lagi sekali. Ini kiranya nak survey lokasi dululah."
Akhirnya, Azman hanya menyepi. Melarang tidak, memberi izin jauh sekali. Tapi, dia malas nak fikir. Sehari dua ni, kesihatan dia makin merosot. Tiada siapa peduli, melainkan Aira. Tapi, manalah Aira? Kalau betul Aira suka sangat dengan lelaki bernama Zariq tu, dia akan izinkan. Aira pun dah sampai umur untuk kahwin.
Selama ini, bukan sekali Aira zahirkan hasrat nak keluar dan hidup sendiri. Dia yang melarang. Berjanji untuk membiarkan Aira keluar bila tepat pada masanya. Masa yang dia maksudkan adalah bila Aira menjadi seorang isteri pada lelaki yang bertanggungjawab dan mampu menjaga Aira.
"Jaga diri, Airin," pesannya perlahan.
Senyuman Airin koyak. Senyuman Maria juga. Lega ayah izinkan. Lega bila ayah mula percaya yang Aira benar-benar ikut lelaki itu pergi. Tapi, agaknya mana Zariq hilang lepas dia tinggalkan lelaki itu seperti anjing kurap dulu?
Pertama kali dia melihat Zariq bersama Aira, hati dia dipagut cemburu. Macam mana Aira boleh dapat lelaki kaya seperti itu. Tengok sajalah pada motor dan kereta Zariq biarpun lelaki itu kata itu semua pinjaman. Dia tetap mahu percaya itu harta Zariq. Zariq anak orang berada. Tapi, bila dia dapat tahu yang Zariq anak yatim piatu, malah tiada apa... dia mula bosan. Lagipun, dapat tengok wajah kecewa Aira... itu lebih bernilai.
"Rin, ni mama nak tanya..." Maria memanggil anaknya bila Azman keluar ke laman.
"Zariq tu, betul ke pakwe Aira?"
"Betullah gamaknya..."
"Kacak?"
"Kacak kot..." Entahlah. Malas nak ingat wajah Zariq. Memanglah kacak tapi... Hurm...
"Kaya?"
Terus Airin gelak. Kalau Zariq tu kaya, dia mungkin dah jadi isteri Zariq sekarang. Tapi, Zariq tu tiada apa. Tak mungkinlah dia nak hidup susah. Kasih sayang tak dapat penuhi keinginan dia. Semua yang ada, Zariq pinjam. Buat malu dia aje bila semua kawan-kawan dapat tahu.
"Kira padanlah dengan Si Aira tu..." cebik Airin. Dia ingat lagi saat Aira hadir dalam hidup mereka. Dia tak boleh terima. Hingga saat ini.
Kerana apa? Kerana semua orang nampak Aira tak ubah seperti bidadari dan dia pula seperti jembalang tanah. Semua kebaikan milik Aira dan segala kejahatan itu adalah daripada dia. Tidakkah itu semua tak adil?
YOU ARE READING
OBJECTION
General FictionTajuk: Objection Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-069-4 Muka Surat : 544 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni ...Overruled!