Bab 10

5.7K 172 5
                                    

NAFAS Aira tercungap-cungap bila wajahnya disimbah air. Dia angkat tubuh. Terbatuk berkali-kali hingga merah matanya. Dia kerutkan kening dan memandang lelaki depan matanya yang muncul setelah beberapa hari menghilang.

"Kau nak tidur sampai bila? Atau kau nak tidur terus? Tak payah bangun sampai bila-bila dah?!" sembur lelaki itu. Marah!

Aira buat tak dengar. Sekadar mengelap wajah dan rambut yang basah. Malas nak layan amukan orang pagi-pagi ni.

"Kau pergi mana?" tanya Aira biarpun tekak masih perit.

"Kau lupa sesuatu nampaknya. Kau tak ada hak apa-apa dekat pulau ni! Jadi, jangan tanya apa-apa soalan!" tegas Zafiq.

"Bangun!" arahnya.

Aira jatuhkan kaki ke lantai. Bantal dan selimut dia basah. Dia renung lelaki itu dengan rasa tak puas hati. Sudahlah tinggalkan dia sendiri. Nazri pun entah ke mana. Tinggal dengan pelbagai persoalan pula tu. Lepas tu muncul, buat dia macam ni.

"Kau tahu tak kau biarkan aku sorang-sorang dah tiga empat hari?"

"Jadinya?" Zafiq menyoal tanpa rasa bersalah sekelumit pun.

"Kau tak fikir ke aku makan ke tidak. Aku sihat ke tidak..."

"Semua tu tak ada kaitan dengan aku."

"Kiranya kau memang nak aku mati, kan?"

"Kalau aku nak kau mati, awal-awal aku dah bunuh kau!" Mata Zafiq terjegil.

"Tapi, aku nak kau lalu perkara paling menyakitkan. Bangun! Ada kerja kau kena buat!" Dia tarik bahu Aira. Tak sengaja, baju itu koyak di bahagian lengan. Terus Zafiq lepaskan. Aira pantas menekupnya.

"Tak boleh ke kau tak berkasar? Kau tahu kan, aku ni perempuan? Kalau aku ada kudrat macam lelaki, aku tak akan bagi kau layan aku macam ni!" marah Aira. Dia tolak rambut basahnya ke belakang. Rimas.

"Sebab kau perempuanlah baru kau boleh goda lelaki yang kau suka. Ikat dia orang. Biar ikut aje cakap kau. Lepas tu, kau tinggalkan dia. Tak cukup dengan tu, kau hina dia. Kau paksa dia melutut depan kau. Kau suruh dia merayu-rayu pada kau tapi akhirnya, kau tetap tinggalkan dia."

Wajah Aira jelas terpinga-pinga. Apa jenis pertuduhan yang lelaki ini bacakan untuk dia? Dia langsung tak faham.

"Aku tak faham apa kau cakap ni. Dari hari tu lagi, aku memang tak faham. Macam mana kau tahu Zariq seorang pelukis dan potret aku..." Bicara Aira mati. Dia renung lelaki itu.

"Kau abang Zariq, kan?"

Zafiq ketawa sinis.

"Oh, aku ingat kau bodoh sangat tak boleh nak agak aku ni abang lelaki yang kau dah kecewakan. Kotlah, kau ni ramai sangat jantan, sampai dah lupa mana sorang..."

"Kejap... Aku kecewakan Zariq?" Aira ketawa kecil. Tak sengaja yang pastinya.

Wajah Zafiq menyinga.

"Kenapa kau ketawa? Kau seronok dapat mempermainkan hati dan perasaan adik aku? Hina adik aku? Gitu?!" jerkahnya.

Aira menyusun nafas agar lebih tenang. Dia duduk di birai katil. Langsung tak memandang lelaki itu. Dia senyum sendiri.

Sudahnya, aku memang sentiasa kena tanggung kesan atas kejahilan kau, Airin.

Dia melangut pandang pada lelaki itu.

"Aku nak jumpa Zariq. Kalau dia tahu kau buat aku macam ni, dia akan sedih..."

"Sedih? Hey... Zariq dah jenuh bersedih lepas kau tinggalkan dia, malukan dia... Dia cukup sedih sampaikan..." Zafiq ketap bibir. Dia pejam mata lama. Aira tak boleh tahu. Sampai bila-bila!

OBJECTIONWhere stories live. Discover now