TANGAN Zariq ligat membawa berus itu menari di atas kanvas. Suasana matahari terbenam dan seseorang yang sedang berenang di bawah sinar keemasan suria nan senja, dilakarnya dengan penuh cermat. Nak diabadikan di atas sekeping kertas.
Sebaik saja lelaki itu berlari ke arahnya setelah berhempas-pulas melawan arus ombak, Zariq tersengih. Lukisan itu siap sebaik saja dia noktahkan dengan tandatangannya. ZRQ.
"Cantik?" soalnya.
Modelnya angguk. Sejak dulu, inilah model tetap. Dalam keadaan paksa atau rela. Lelaki itu senyum lebar. Nampak menarik tapi dia tak reti pasal lukisan. Tak tahu nak nikmati. Selalu Zariq kutuk. Tapi, dia... Katalah apa saja. Dah memang tak reti.
"Riq betul nak sambung belajar ke Itali?" tanya lelaki itu sambil mengelap kepala.
Zariq angguk.
"Tunggu scholarship..."
"Hey... Apa guna abang usahakan semuanya kalau Riq nak tunggu scholarship? Abang tanya ni sebab abang boleh hantar Riq bila-bila masa aje. Riq cakap aje bila, abang dah sediakan semuanya. Janji, Riq nak belajar dan seronok. Pada abang, tiada apa lagi yang penting, melainkan Riq..."
Senyuman Zariq lebar. Dia nak pergi segera kalau boleh. Tapi, dia dah janji dengan Aira untuk sama-sama tamatkan pengajian asasi. Aira pun bukan calang-calang asasi. Undang-undang lagi. Tough juga tu. Tapi, Aira tu bijak. Senang dapat penaja. Kalau dia minta abang jadi penaja Aira, boleh ke ah?
Zariq sengih tiba-tiba.
"Kalau Riq minta abang taja seseorang ni, boleh tak?"
"Nak taja siapa?" Dahi lelaki itu berkerut lebat tapi dia ketawa kemudiannya. Apa sajalah untuk Zariq walaupun dia rasa permintaan Zariq ni pelik.
"Adalah seseorang ni. Tapi, nantilah dulu. Tunggu dia habis asasi. Riq nak temankan dia. Lepas tu, Riq pergi..."
"Hai. Sampai tahap tu Riq suka dia? Sampai sanggup buang masa?" Zariq sebenarnya dah dapat tempat di salah sebuah universiti di Itali. Tak perlu penaja pun. Dia mampu tanggung segalanya untuk Zariq.
Segala kekayaan yang dia ada, hanya untuk Zariq. Untuk dia, cukuplah kebahagiaan Zariq.
"Seseorang tu, girlfriend ke?"
Zariq ketawa dengan telahan itu.
"Girlfriend tu maksud dia, kawan perempuan, kan? Dah itu maksudnya..." Zariq jeda dan angguk. Aira memang kawan perempuan dia.
Seketika mereka menyepi bila suara camar memecah hening petang hari. Zariq kemas kanvasnya. Dikelek. Kemudian memandang pada lelaki itu.
"Riq bahagia?"
Zariq angguk. Dia memang sangat bahagia.
"Dia buat Riq bahagia?" Soalan itu menusuk lagi.
Kali ini, Zariq ketawa. Ketawa dan terus ketawa.
Hati lelaki itu lapang. Inilah bahagia yang dia inginkan buat Zariq. Rasa tak sabar pula nak tengok wajah perempuan yang dah berjaya takluk hati Zariq. Makna kata lepas ni, dia perlu berkongsi Zariq dengan perempuan lain?
Argh... Ada rasa cemburu. Tapi, senyuman Zariq... Tak ternilai.
MATA dibuka. Nazri muncul depan mata.
"Kenapa?" soalnya sambil memicit pelipis. Penat. Penat badan, penat emosi.
Bila Nazri menunjuk isyarat makan, dia angguk. Bangkit dan menggeliat. Kemudian, bahu Nazri disapa.
"Kau dah makan?"
Nazri geleng.
"Jom makan sama..." Mereka sama-sama menuju ke meja makan tapi kosong. Dia pandang Nazri.
YOU ARE READING
OBJECTION
General FictionTajuk: Objection Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-069-4 Muka Surat : 544 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni ...Overruled!