31.Kereta Jenazah Bergerak Sendiri

2.1K 33 0
                                    

SAMPAI TIGA hari bau minyak dicampur air mandi limau masih wangi sekali pun mandi digosok sabun. Haji Basar tahu minyak yang dicampur dalam air limau Ucu Semali sekadar minyak biasa yang di beli di kedai mamak. Apa sangat minyak wangi berkenaan kalau disapu pada kulit apabila dijadikan losyen semata - mata. Setelah dibasuh atau mandi, nescaya bau minyak berkenaan akan hilang serta merta.
Tetapi Ucu Semali bancuh minyak berkenaan dalam air mandi limau setelah menunggu malam diserkup sepi. Sebaik sahaja Ucu Semali memotong limau yang dipetik 3 biji pada satu tangkai, dia memberi isyarat supaya Haji Basar meletakkan duit sebanyak 25 sen ke dalam piring berisi limau berkenaan.
Setelah air di dalam baldi siap dibancuh, limau juga siap dipotong, segera Ucu Semali padamkan lampu biar di dalam rumah menjadi gelap. Tetapi Haji Basar nampak melalui kilauan cahaya lampu yang terpasang di dapur rumah, Ucu Semali telah membakar setanggi. Lama dia terconggok di depan asap setanggi lantas Ucu Semali pun menyeru : assalamualaikum ya rijal ghaib, assalamualaikum ya ruhul-qudus, ya ghausnya nya ya muhan ya nuqbah ya nujabar ya akhyar ya autad ya amud ya hosilalmurad wahosilal maksud...".
Kemudian Ucu Semali merungut - rungut bagaikan bercakap tidak menentu. Memang Haji Basar dapat mengagak tentu Ucu Semali dapat melihat apa sahaja lembaga di depannya kerana sekali sekala dia bagaikan menyuruh lembaga itu kemana- mana. Dia akan menunggu beberapa ketika seolah - olah untuk mendapatkan laporan yang diperlukannya.
Hampir setengah jam Ucu Semali merungut - rungut, lantas dia meminta pasangkan lampu semula. Selepas itu dia menyuruh Haji Basar berdiri di cucur atap lalu terus dijirus dengan air mandi limau itu dari tingkap serambi. Memang sejuk juga Haji Basar akibat dijirus air tatkala tengah malam, tetapi dia terpaksa mematuhi apa sahaja kemahuan Ucu Semali.
Lama sangat dia merasakan seolah - olah rezekinya tersekat sehingga perniagaannya semakin menurun. masakan tidak semena - mena sahaja segala peluangnya bagaikan tertutup rapat. Memang siapa pun tidak percaya apabila dia mengalami kebuntuan akibat wang ditangannya tidak membawa keberkatan langsung.
Tahu sangat Haji Basar wang perniagaannya tidak pernah susut, tetapi dia sentiasa mengalami kesempitan. Kadangkala dia sendiri tidak menyedari bagaimana berbelanja sehingga wang di dalam dompetnya sering kehabisan. Kereta juga sentiasa meragam hingga tayarnya bocor setiap 3 hari sekali.
" Tak tahulah Ucu nak buat macam mana " ujar Ucu Semali apabila Haji Basar memberitahunya mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
" Berniaga saya rasanya tak jatuh, tapi wang habis tak tahu ke mana! " keluh Haji Basar disebabkan tidak tertahan lagi menahan kerusuhan hati.
" Kalau berniaga tak rugi macam mana pula sempit rezeki? " memang Ucu Semali tidak dapat mengagak masalah yang ditanggung oleh Haji Basar .
" Tak tahulah saya Ucu, ada saja yang tak kena " tutur Haji Basar apabila kenangkan keretanya yang selalu rosak itu. Selang 3 hari sekali tayar kereta bocor, pintu kereta pula terkunci tidak boleh dibuka. apabila dibawa ke bengkel, tidak ada apa - apa kerosakkan pun.
" Ikut pengalaman Ucu, tak pernah berlaku macam ni " jelas Ucu Semali yang serba salah juga mahu membantu setelah Haji Basar menjengah ke rumahnya di kawasan felda berkenaan.
" Macam mana pun, Ucu cubalah! " desak Haji Basar semacam meletakkan harapan yang tinggi pada ucuc semali.
Tatkala Ucu Semali mula membakarkan setanggi, sekali gus terasa seluruh badannya geli geleman seolah - olah badannya dilumuri minyak. Cepat - cepat Ucu Semali mengisar duduk lantas menepuk kepala lututnya 3 kali. Sebaik sahaja Ucu Semali melihat bayangan pejabat Haji Basar , terkejut dia seolah - olah dinding pejabat juga dilumuri minyak hingga tercium bau harum.
Tersenyum Ucu Semali disebabkan bau minyak yang harum itu menjadikan pejabat Haji Basar bagaikan tenggelam di tengah ombak minyak yang mengalir di celah dinding laksana mata air pada tebing telaga. Jikalau mata air berkenaan disumbat, nescaya akan terus juga terpancut bagaikana tidak dapat ditahan - tahan.
Ketika itulah Ucu Semali duduk lantas berzikir hingga terasa tubuhnya melayang - layang ke udara. Serentak dengan itu, dia melihat disekelilingnya terlalu ramai lelaki berkeliling. Tidak bertangguh Ucu Semali pun menyuruh semua lelaki yang menjelma di depannya itu supaya menutup mata air yang memancut minyak wangi pada dinding pejabat Haji Basar itu.
Setelah geli geleman di seluruh tubuhnya itu beransur hilang, segera Ucu Semali mengisarkan duduknya. Lantas dia pun menghelakan nafas lalu terus memberi isyarat supaya lampu dipasangkan semula. Menggeleng - geleng lemah dia tetapi dia tidak mahu memberitahu apa - apa kepada Haji Basar setelah melihat keadaan di pejabatnya itu.
Apabila Ucu Semali jiruskan air mandian limau itu, memang dia tidak benarkan Haji Basar lapkan air itu dengan tuala. Biarlah air yang dijirus ke tubuh itu berbintik - bintik sampai kering sendiri. Rambut juga dibiarkan tidak disisir disebabkan bimbangkan air mandi limau itu tua apabila menitik dihujung rambutnya.
Sebab tu bau minyak berkenaan melekat pada rambut Haji Basar . Tatkala beliau balik ke rumah, dia terus rebahkan badan ke katil. Sekali gus pula isterinya, Hajah Rusijah terbau minyak wangi berkenaan sampai melekat bau itu ke bantal. 3 hari pula Hajah Rusijah terbau wangi bantal itu sekali pun sudah dijemur di anjung rumah.
Tersengih - sengih Hajah Rusijah mengejek Haji Basar tatkala menghadap sarapan pagi apabila memberitahu mengenai bau minyak wangi yang melekat pada bantal itu. Tetapi Haji Basar tidak peduli sangat sama ada isterinya mengejeknya atau tidak. Manalah isterinya tahu mengenai keadaan di pejabatnya yang tiba - tiba sahaja bagaikan malap tidak berseri apa - apa.
Kalau tidak kenang kawannya, Wak Damus  ingatkan dia supaya tidak terburu - buru sangat mengambil keputusan mahu menutup perniagaannya, memang sudah lama Haji Basar tinggalkan pejabatnya. Biarlah dia terperosok di rumah mengharapkan anak - anaknya membantu, setelah perniagaan yang sekian lama dikendalikannya itu tiba - tiba sahaja menghadapi masalah.
Dia tahu perniagaannya tidaklah jatuh merudum. Segala - galanya masih berjalan dengan baik hinggakan mereka yang berniaga dengannya tidak pernah culas membayar. Tetapi duit ditangannya selalu sahaja habis tidak menentu. Dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana mahu tuliskan buku akaun akibat daripada perasaannya yang sentiasa rusuh itu.
" Ahh! minyak wangi biasa " sahut Haji Basar yang tidak peduli sangat dengan usikan isterinya itu.
" Arwah ayah dahulu pun gunakan minyak wangi macam tu " tersengih - sengih Hajah Rusijah disebabkan bau minyak wangi yang digunakan pada air mandian limau Haji Basar masih berbau harum.
" Emmm...dia gunakan untuk apa? " berkerut dahi Haji Basar apabila isterinya ungkit fasal minyak yang digunakan oleh arwah bapa mentuanya.
" Setahu saya, arwah ayah dulu buat minyak senyonyong " jelas Hajah Rusijah bagaikan curiga dengan air mandi limau yang dijiruskan oleh Ucu Semali itu. " Sebab itu arwah ayah beristeri sampai 4 " beritahu dia selanjutnya apabila kenangkan arwah ayahnya, Andak Bucin  yang berkahwin sampai 4 itu.
Terkekeh - kekeh Haji Basar ketawa sebaik sahaja Hajah Rusijah sebut mengenai arwah ayahnya yang berkahwin 4 itu. Lantas sahaja Haji Basar menuduh tentu isterinya juga bimbang dia mandi air limau disebabkan mahu berkahwin lain. Asal sahaja bertemu Ucu Semali jauh di kawasan Felda, tentu bertujuan mahu memikat sesiapa. Sebab itu Haji Basar terasa sangat geli hatinya apabila Hajah Rusijah menyindir sedemikian.
Takat mencari minyak senyonyong, tidak perlulah dia bersusah payah meranduk kesepian malam untuk menemui Ucu Semali. Memang arwah bapa mentuanya sudah berikan dia minyak senyonyong biar mudah laris tatkala berniaga apa pun. Sesiapa sahaja yang berurusan dengannya, sudah tentu akan menuruti keputusannya sebaik sahaja minyak tersebut disapukan pada alis mata terus ke atas bibir.
Memang bapa mentuanya Andak Bucin  ingatkan Haji Basar supaya tidak salah gunakan minyak senyonyong berkenaan. Kalau digunakan untuk memikat perempuan, nescaya minyak senyonyong berkenaan sekadar seronok mahu berkahwin sampai empat isteri sahajalah. Haji Basar sendiri menyedari Andak Bucin beristeri sampai 4 orang, tetapi berniaga tiada satu pun yang menjadi.
disebabkan tidak boleh digunakan untuk berniaga, lantas sahaja Andak Bucin  bekerja sebagai tukang kayu. Apabila dia berikan minyak senyonyong itu pada Haji Basar , dia sudah ingatkan fasal niat yang tertanam di kalbu sebaik sahaja diturunkan kepada menantunya. Lantas sahaja Haji Basar tanamkan niat jauh di lubuk hati mahu gunakan untuk berniaga semata - mata.
Setiap kali malam bulan mengambang penuh, Haji Basar akan asapkan botol minyak berkenaan dengan kemenyan sampai berturut - turut 3 malam. Dia akan melihat akar serai bunga di dalam botol itu, akan berpusing di tengah minyak yang berbuih sebaik sahaja diasap dengan kemenyan. Sekali gus pula akar serai itu akan bertukar warna menjadi kebiru - biruan apabila asap kemenyan itu melabun di tengah rumah.
Cubalah sesiapa sahaja berurusan niaga dengannya, mencari helah tidak mahu membayar wang yang dituntut. Tatkala dengar suara Haji Basar di dalam telefon sahaja nescaya hati akan menjadi gementar. Tidak bertangguh mereka akan memberikan janji mahu membayar sebelum Haji Basar sempat bertanya apa - apa.
" Minyak senyonyong ayah jikalau disalah gunakan, memanglah untuk memikat perempuan aje! " ujar Haji Basar di hujung ketawanya sengaja menyindir isterinya.
" Jadi, arwah ayah dulu salahgunakan minyak senyonyong tu? " lantas Hajah Rusijah mencebek bibir kerana menyangka suaminya tidak tahu apa - apa pun mengenai minyak senyonyong berkenaan.
" Entahlah, tapi kalau nak kahwin sampai 4 tak payah pakai minyak senyonyong pun boleh” jelas Haji Basar sambil tersengih - sengih mengulum senyum disebabkan dia sudah berjanji dengan arwah bapa mertuanya untuk merahsiakan fasal minyak berkenaan yang diturunkan kepadanya.
Bukan mudah Andak Bucin mahu turunkan minyak senyonyong yang mengalir keluar dari pada rumpun serai bunga itu, kalau Haji Basar tidak mahu rahsiakannya. Tentu anaknya, Hajah Rusijah akan mengalami nasib yang sama seperti emaknya yang hidup bermadu sekiranya Haji Basar tidak menyimpan rahsia mengenai minyak senyonyong yang ditampung tatkala keluar meleleh di rumpun serai bunga.
Bangga sangat Andak Bucin apabila dia menemui rumpun serai bunga di tengah hutan lalu dibawa balik dan ditanam di hujung halaman. Beberapa kali juga Andak Bucin  mengendap sewaktu malam bulan tengah mengambang penuh apabila tercium bau harum laksana bunga cempaka gugur ke tanah.
Lantas disuluhnya ke perdu rumpun serai bunga itu setelah rumpun serai bunga itu bergegar kuat. Tersentak Andak Bucin  apabila melihat minyak meleleh pada perdu rumpun serai berkenaan. Cepat - cepat dia tadahkan tempurung disebabkan bau minyak berkenaan sangat semerbak harumnya. Dia simpan baik - baik minyak berkenaan dengan akar serai bunga yang jatuh ke dalam tempurung tidak dibuang satu pun.
Apabila isterinya menanyakan mengenai minyak di dalam tempurung yang berbau harum itu, terus sahaja Andak Bucin  memberitahunya minyak senyonyong. Tergamam isterinya sebaik sahaja diberitahu bahawa minyak senyonyong keluar meleleh pada perdu rumpun serai bunga. Sewaktu isterinya menjengah perdu rumpun serai berkenaan, dia semakin terkejut apabila melihat beberapa butir batu berwarna - warni berlonggok di situ.
Disebabkan dia menyimpan batu batu berwarna warni itu, isterinya tidak marah apabila Andak Bucin berkahwin lagi. Apa lagi, batu berwarna - warni itu akan bertambah sekiranya dia jualkan kepada jiran - jirannya. sampailah beliau meninggal dunia, tiba - tiba sahaja batu berwarna - warni berkenaan hilang entah ke mana. Serai bunga yang dijaga baik - baik oleh Andak Bucin juga pupus tidak bersebab.
Setelah diturunkan kepada Haji Basar minyak senyonyong tersebut, Andak Bucin  ingatkan menantunya supaya tidak memberitahu sesiapa pun mengenai minyak senyonyong berkenaan. Bimbang benar dia mahu serahkan pada anak - anak lelakinya yang lain takut mereka berbangga sangat hingga memikat sesiapa sahaja perempuan yang menarik perhatiannya.
" Boleh jadi minyak senyonyong arwah ayah dulu, awak yang simpan? " segera Hajah Rusijah menuduh disebabkan bau air mandi limau suaminya seakan - akan bau minyak senyonyong yang disembunyikan oleh ayahnya. Tahu sangat Hajah Rusijah mengenai minyak berkenaan disebabkan dia pernah terserempak di dalam peti kayu di bawah kolong.
" Hus, kalau ada pada aku, tentu aku kahwin 4! " ujar Haji Basar sengaja berdalih.
Ketika ini lah mereka berdua dikejutkan dengan bunyi sorak sorai anak - anak di luar pagar rumah. Lantas sahaja Hajah Rusijah menerpa ke pintu hadapan rumah hinggakan tidak peduli lagi fasal minyak senyonyong yang dibangkitkan di depan suaminya itu. Sebaik sahaja dia menjengah keluar, Hajah Rusijah tidak melihat seorang pun kanak - kanak yang bersorak di luar pagar rumahnya itu.
Tetapi dia terkejut apabila melihat sebuah kereta jenazah tersergam di luar pagar rumahnya. Belum pun sempat dia memanggil Haji Basar , lantas sahaja suaminya tercegat di belakangnya. Segera Haji Basar membukakan jeriji pintu untuk memastikan memang betul kereta jenazah itu berhenti di hadapan rumahnya.
Ketika Haji Basar berjalan mendekati pintu pagarnya, kereta jenazah itu terus bergerak meninggalkan kawasan rumahnya. Hajah Rusijah pula ternampak kereta berkenaan bergerak secara sendiri tanpa kelibat pemandunya. Hairan juga Haji Basar apabila diberitahu oleh isterinya mengenai kereta jenazah itu bergerak dengan sendiri dengan tidak ada pemandunya.
Apabila hal itu diberitahu kepada jiran - jirannya, mereka juga terkejut. Tidak ada sesiapa pun yang melihat kereta jenazah itu berhenti di luar pagar rumah Haji Basar tatkala mereka sedang bersarapan pagi. Sewaktu mereka menjengah ke tepi pintu pagar, memang bekas tayar kereta ternampak timbul pada tanah pasir di situ.
" Saya tidak nampak sebuah pun kereta berhenti di situ, abang haji " ujar Fahzi jiran yang dekat bersebelahan rumah. memang sejak selepas solat subuh Fahzi bersenam di hadapan rumahnya. Sekiranya kereta jenazah berkenaan berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar , memang dia yang akan mula - mula melihatnya.
" Eeh, takkan lah saya bermimpi! " gerutu Haji Basar semacam tidak percaya apabila diberitahu sedemikian oleh Fahzi .
" Sejak selepas subuh memang saya di halaman rumah ini " jelas Fahzi yang mengakui nampak Haji Basar menerpa ke pintu pagar secara tergesa - gesa.
" Siapa pula yang meninggal dunia? hingga kereta jenazah tersalah rumah" lantas Mat Sutin mencelah setelah diberitahu fasal kereta jenazah pagi - pagi lagi berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar .
" Memang saya dengar suara budak - budak bersorak " sahut Hajah Rusijah menjelaskan apabila jiran - jiran memberitahu tidak melihat seorang pun kanak - kanak di situ. Kalau kanak - kanak bersorak pun, tentu anak - anak mereka yang sudah ke sekolah semenjak selepas subuh lagi.
Tetapi berturut - turut 3 pagi pula mereka di situ dikejutkan dengan kereta jenazah yang berhenti tersergam di depan pintu pagar rumah Haji Basar . Tidak sampai 2 minit kereta berkenaan berhenti, cepat - cepat sahaja ianya akan bergerak. Memang Fahzi juga tidak dapat melihat kelibat pemandu kereta itu apabila ia bergerak meninggalkan pintu pagar tersebut.
Bukan Fahzi sahaja yang terserempak, malah Mat Sutin yang suka mengusik jirannya itu juga tergamam apabila beliau juga turut terserempak dengan kereta jenazah yang tiada pemandu itu berhenti di hadapan rumah Haji Basar . Sebab itu mereka mula mengendap di pintu pagar rumah sebai sahaja selepas waktu subuh. tetapi tidak kelihatan apa - apa pula sampai seminggu apabila mereka menunggu di situ.
Disebabkan terserempak dengan kereta jenazah tidak ada pemandu yang berhenti di depan pintu, lantas sahaja Haji Basar menemui Ucu Semali semula. Sengaja dia mengajak Fahzi ikut sama temankan dia ke Felda berkenaan. Tetapi Ucu Semali juga memberitahu bahawa kereta jenazah turut ada berhenti di halaman rumahnya selepas subuh tatkala dia turun ke tanah mahu ke kebun.
Sebaik sahaja Ucu Semali mahu mencapai motorsikalnya, dia menyedari bahawa kereta jenazah itu bergerak perlahan - lahan meninggalkan halaman rumahnya. Memang dia cam sangat bahawa tidak ada pemandu di hadapan. Berturut - turut 3 pagi Ucu Semali terserempak dengan kereta jenazah tersebut yang berhenti di halaman rumahnya, kemudian aia bergerak perlahan - lahan sebaik sahaja Ucu Semali mencapai motorsikalnya.
Ucu Semali tidak peduli sangat mengenai kereta jenazah yang berhenti di halaman rumah kerana menyangka pemandunya sengaja mahu berhenti berehat. Tentu pemandu kereta jenazah itu yang masuk ke dalam kawasan Felda berkenaan keletihan sangat kerana menguruskan membawa balik jenazah dari hospital. Manalah tahu jirannya di kawasan Felda berkenaan sudah bekerja menjadi pemandu kereta jenazah berkenaan.
Setelah dia cam sangat kereta jenazah itu bergerak tanpa pemandu, Ucu Semali mula mengesyaki kereta berkenaan sekadar bayangan sahaja. Tetapi anaknya, Uncak juga terserempak dengan kereta jenazah berkenaan melalui lorong ke rumahnya tatkala dia mengayuh basikal ke sekolah. 3 pagi berturut - turut Uncak cam sangat kereta berkenaan memang tidak ada pemandu.
" Ucu di sini pun terserempak dengan kereta jenazah " beritahu Ucu Semali apabila Haji Basar jelaskan kejadian yang menimpa di rumahnya 3 pagi berturut - turut.
" Cam benar Ucu, memang kereta itu tidak ada pemandu " ujarnya menambah apabila kenangkan kejadian yang sama menimpa rumahnya juga.
" Takkan kita sama - sama bermimpi, Ucu? " hairan juga Haji Basar kiranya mahu dituduh mereka bermimpi.
Kalau takat dia suami isteri sahaja melihat, boleh juga dianggap kereta jenazah itu sekadar bayangan. tetapi Fahzi dan Mat Sutin jiran - jirannya, juga terserempak sama.
" Bukan perkara mimpi ni, Aji " jelas Ucu Semali tersengih - sengih kerana tidak bimbang apa - apa sekiranya mahu menguji dirinya.
" Kadangkala orang nak tunjuk kepandaian, manalah kita tahu! " dia mendengus perlahan seolah - olah kejadian tersebut mahu mencabar dirinya.
" Macam - macam ilmu sihir " ujar Fahzi yang memang pernah mengalami kejadian diganggu sihir sewaktu tinggal di rumah lamanya sebelum berpindah berjiran dengan Haji Basar . Apabila dia memberitahu kepada Haji Basar , lantas sahaja lelaki itu mentertawakannya kerana terlalu percayakan sangat kejadian sedemikian.
Manalah Haji Basar dapat merasakan keadaan cemas dirinya sekeluarga apabila langsir jendela tiba - tiba sahaja terbakar. Habis sahaja langsir rentung terbakar, sekali gus pula api padam tidak sempat menjilat ke dinding. tilam di atas katil juga terbakar bagaikan ditabur bara merah menyala hingga kekabu tilam berlubang - lubang ditembusi api. Rusuh benar hati Fahzi disebabkan sepanjang malam dia terpaksa berjaga - jaga.
Lantas sahaja Itam Suhor menyuruhnya buangkan sahaja langsir, kalau api berkenaan sengaja membakar langsir jendelanya. Apabila tidak dipasangkan langsir, kusyen bangku pula berlubang - lubang bagaikan bara berserak di situ. 3 malam berturut - turut Itam Suhor membakarkan kemenyan, namun kejadian api memercik laksana bara ditabur itu terus berlaku di dalam rumah.
Disebabkan api yang mengganggu rumah Fahzi tidak juga reda asal sahaja masuk waktu maghrib, segera Itam Suhor memberitahukan hal tersebut kepada Pak Gumil . Ketika Pak Gumil jejakkan kaki ke rumah Fahzi , tidak pula berlaku api memercik sebaik sahaja masuk waktu maghrib. Sehingga tengah malam Pak Gumil menunggu, dia terus solat sunat 2 rakaat. setelah dia berzikir jauh di dalam jiwanya, Pak Gumil segera membacakan sebanyak 7 kali : " laqod ja-akum rasulummin anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum horison 'alaikum bil-mukminina raufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiyallahu la-ilahailla-huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim ".
Ketika inilah mereka terkejut apabila tercium bau hangit bagaikan bau rambut terbakar. Semenjak Pak Gumil berulang 2 malam berturut - turut, Fahzi berasa lega apabila rumahnya tidak lagi diganggu. Apabila dia mahu membayar wang pengeras, Pak Gumil sekadar menyuruh dia hantarkan sahaja pisang ke masjid 3 jumaat berturut - turut.
Puas juga Fahzi mendesak supaya memberitahu mengenai kejadian yang mengganggu rumahnya, tetapi sengaja Pak Gumil berdalih. Manalah Pak Gumil mahu memberitahu mengenai Fahzi yang menggunakan minyak senyonyong tatkala memikat isterinya sehingga lelaki yang menaruh perasaan sentiasa menyimpan dendam.
Marah benar lelaki itu apabila Fahzi yang kurus meleding mudah sangat memikat Mazimah, hingga lelaki berkenaan sengaja mahu menimbulkan kecemasan. Biarlah Fahzi gunakan minyak senyonyong yang disapukan pada sapu tangan hingga tercium kepada Mazimah . Sebab itu, Pak Gumil sekadar bisikkan pada Fahzi bahawa penggunaaan minyak senyonyong juga boleh memudaratkan diri sendiri juga.
Tetapi Fahzi tidak bermaksud mahu menyakiti hati sesiapa pun apabila mencari minyak senyonyong sampai ke tengah hutan negeri Pahang. Dia sekadar mahu memikat hati Mazimah yang berdalih sangat setiap kali dia cuba mendekati perempuan itu. Sebab itu Fahzi terpaksa juga mendesak bapa saudaranya di Jerantut agar dapat membantu, biar diturunkan jampi serapah untuk diamalkannya.
Sengaja bapa saudaranya memberikannya sahaja minyak senyonyong biar dititikkan pada sapu tangan. Asal sahaja terserempak dengan Mazimah , beliau akan kibaskan sapu tangan tersebut biar bau wanginya tercium menusuk ke hidung. Sebaik sahaja tercium bau minyak senyonyong, memang 3 malam berturut - turut Mazimah tidak boleh lelapkan mata apabila kenangkan akan diri Fahzi . Setiap kali menjejakkan kaki ke pejabat, dia akan tertunggu - tunggu akan Fahzi masuk menjengah.
Tiba - tiba sahaja perasaannya tidak boleh lupakan Fahzi asal sahaja mata mahu mengantuk tidur. Dia akan tergamam bangun bagaikan terdengar suara Fahzi berbisik di telinganya menyuruhnya membuka mata. Sebab itu mudah sahaja Mazimah menerima lamaran tatkala Fahzi masuk meminang. Manalah Fahzi tahu fasal lelaki yang hatinya terluka apabila dia berkahwin dengan Mazimah .
Sebab itu Pak Gumil tidak peduli sangat tatkala melihat bara api ditaburkan di dalam sekam padi. Setelah dihembuskan 3 kali dengan surah al fatihah, dia melihat dengan jelas asap melabun naik apabila sekam padi dielus angin kencang. Ketika ini Pak Gumil melihat lelaki berpakaian serba hitam tercegat di situ mencampakkan bara dari sekam padi seolah - olah menyinggahi langsir jendela.
" Kalau jauh nak ke Felda ni, cubalah jumpa Pak Gumil tu " tutur Ucu Semali sebaik sahaja diberitahu oleh Fahzi mengenai kejadian yang menimpa rumahnya bertahun - tahun sebelum itu.
" Pak Gumil dah lama meninggal dunia " beritahu Fahzi apabila kenangkan dia tidak sempat menziarahi orang tua berkenaan.
" Anak murid Pak Gumil tak ada ke? " desak Haji Basar pula sengaja mahu mengetahui fasal Pak Gumil . Dalam saat demikian dia lebih mengharapkan Ucu Semali sahaja, setelah sama - sama mengalami kejadian terserempak kereta jenazah bergerak sendiri dengan tidak ada pemandu itu.
" Tak salah saya, Pak Gumil dulu datang dengan ustaz " jelas Fahzi yang tetap ingat sangat malam kedua Pak Gumil datang menjengah ke rumahnya memang bersama dengan saya.
" His, ustaz tu selalu dia ke sini " sahut Sebanun, isteri Ucu Semali sambil mencuit bahu suaminya.
Tersenyum Ucu Semali sebaik sahaja Fahzi sebutkan mengenai saya bersama Pak Gumil jejak kaki ke rumahnya tatkala kejadian api membakar langsir jendela tidak semena - mena. Tilam di katil juga disinggahi dengan bara api yang tidak kelihatan di mana - mana itu. Malah kusyen yang baru dibeli dari kedai perabot juga tebuk berlubang - lubang bagaikan disinggahi bara api menyala.
" Ucu kenalkah dengan ustaz tu? " tanya Fahzi sambil menatap muka Ucu Semali setelah diberitahu oleh Sebanun mengenai saya yang sering kali menjengah datang ke felda itu.
" Ustaz tu bukannya mahu sangat kalau dijemput " lantas Sebanun mencelah sebelum Ucu Semali sempat menuturkan apa - apa.
Tetapi Ucu Semali tahu perkara kereta jenazah bergerak sendiri dengan tidak ada pemandu bukannya sama dengan kejadian api memercik di dalam rumah Fahzi . Tiba - tiba sahaja kereta jenazah itu menjelma di tengah halaman rumahnya tatkala Haji Basar juga mengalami perkara yang sama. Sebaik sahaja dia melihat bayangan dinding pejabat Haji Basar memancutkan mata air yang meleleh minyak senyonyong, sekali gus sahaja gangguan kereta jenazah itu pun menjelma.
Disebabkan jelmaan kereta jenazah itu tidak lagi mengganggu, Ucu Semali sekadar ingatkan Haji Basar supaya menyediakan rumput sambau, daun sepulih dan beras ditumbuk dengan kunyit sahaja. Dia akan doakan dengan membacakan ayatul kursi sebanyak 313 kali lalu direnjiskan disekeliling pejabat laksana menepung tawar sahaja.
Memang Haji Basar juga tidak peduli sangat fasal kereta jenazah yang menjelma di depan pintu pagar rumahnya. Biarlah jelmaan kereta jenazah itu dilihat jiran - jirannya, asal sahaja tidak mengganggu penduduk di situ. Manalah tahu kereta berkenaan akan merempuh budak - budak yang melintas jalan mahu ke sekolah tatkala hari belum cerah itu.
Siapa mahu dituduh sekiranya kereta yang bergerak tidak ada pemandu itu merempuh anak - anak? Tentu anak - anak mereka cedera akibat nahas tidak tahu punca itu. Memang bimbang benar, Haji Basar takut sekiranya kejadian sedemikian berlaku dalam masa dirinya yang menjadi sasaran. Takat perniagaannya yang mengalami kerugian, Haji Basar masih boleh bertahan. Tapi kalau mengancam anak - anak jirannya, dia juga berasa kesal yang amat sangat.
" Haji Basar ini yang saya ceritakan pada ustaz tu " beritahu Ucu Semali sambil memandang ke arah saya, tatkala Haji Basar bersama Mat Sutin naik ke rumahnya semasa saya berkunjung ke Felda berkenaan. Memang Ucu Semali sudah ceritakan mengenai Haji Basar yang terkejut apabila melihat kereta jenazah bergerak tidak ada pemandu di depan pagar rumahnya.
TAMAT

Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)Where stories live. Discover now