Gangguan sejak berminggu-minggu apabila beberapa orang penduduk kampung terserempak usungan mayat diusung tengah malam tidak lagi mengganggu setelah sama-sama solat sunat hajat beramai-ramai.Mereka juga tidak peduli apa-apa mengenai mat kanun tidak kelihatan terconggok diatas surau sewaktu mereka baca yassin hingga bergema ke setiap penjuru.
Sengaja pula ucu sidin ungkit mengenai kejadian semasa ulung siah beratip berhari-hari hingga terpaksa malim tekih jemput tok aji.Memang tidak ramai yang cam saya pernah jejak kaki ke kampung mereka bersama tok aji bertahun-tahun sebelum itu,kalau tidak sebut mengenai kejadian yang menimpa ulung siah itu.
Apa lagi pawang lamid dan maasar juga sudah lama meninggal dunia.Mereka yang masih kecil lagi ketika itu manalah ingat sangat kejadian tersebut.Lainlah usin pakau memang dia tidak boleh lupakan apabila tertiarap sahaja tidak boleh terlentangkan badan.Malah utih deraoh atau hasan debeng juga tetap cam kejadian itu disebabkan mereka sama terconggok menghadap usin pakau tertiarap macam ular mencodak kepala.
"Kejadian usungan mayat ni,ustaz"tutur hasan debeng yang sudah memutih uban dikepala membetulkan ketayapnya."Ada kaitankah dengan kejadian ulung siah dulu?"dia menatap muka saya tidak berkedip mata.
"Wallahu a'lam"tertunduk saya apabila didesak demikian oleh hasan debeng.Manalah saya tahu kejadian tersebut disebabkan saya sekadar bacakan doa sahaja memohon dihindarkan dari mala petaka seisi kampung.
"Kenapa tanya perkara yang ustaz tak tahu"segera mat kanun memintas supaya hasan debeng tidak berterusan tanyakan perkara tersebut.
"Tapi tok aji dulu tahu dia"ujar utih deraoh pula tersengih-sengih apabila kenang dia sendiri terserempak usungan mayat itu bergerak diusung oleh beberapa lelaki tidak berkepala.
"Tak tahu?"mat kanun tidak senang disebabkan utih deraoh juga mendesak sangat mengenai perkara yang saya sendiri tidak tahu.
"Tok aji tahu pasal malim tekih tengoh mayat jadi babi"utih deraoh mengisar duduk membetulkan sandar belakangnya ke dinding.
"Mayat jadi babi?"semakin terkejut mat kanun dengan penjelasan utih deraoh demikian, lantas berpaling memandang ayahnya malim tekih.
"Ah,perkara dah bertahun-tahun buat apa diungkit"gerutu malim tekih terkilan benar pasal utih deraoh masih sebut lagi kejadian yang menimpa pak sabata dilubuk sakaping.
Memang malim tekih tidak mahu perkara tersebut diungkit lagi kerana bimbang dituduh membawa fitnah.Sudah lama sangat dia meninggalkan lubuk sakaping,tentu kejadian siluman yang diseru membajak sawah itu kian luput dari ingatan.Lagi pun tidak siapa pun dikampung berkenaan menyaksikan kejadian tersebut.
Kalaulah tok aji tidak bertanya apa-apa tatkala dia melihat mayat pak sabata bertukar menjadi babi,memang malim tekih akan pendam jauh-jauh dilubuk hatinya.Tidak pernah dia beritahu sesiapa termasuk bapa angkatnya wak sarmin,sekali pun lama dia menetap di endau bersama orang tua itu.
Tetapi tok aji sekadar tanyakan mengenai siluman sahaja daripada malim tekih apabila diseru menjelma biar ikut sama membantu membajak sawah.Disebabkan malim tekih tetap sembunyikan rahsia dirinya semasa di lubuk sakaping,lantas sahaja tok aji tanyakan mengenai mayat bertukar menjadi babi itu.
Serba salah malim tekih mahu berdalih.Memang bapa mentuanya pawang lamid beristighfar beberapa kali apabila diberitahu mengenai mayat bertukar menjadi babi itu.Dia percaya malim tekih tidak berbohong disebabkan apa sangat dengan kejadian demikian kalau dibandingkan dengan gunung tersergam boleh runtuh dalam sekelip mata.
Manalah hasan debeng atau utih deraoh melihat gunung merapi di pinggir danau maninjau bergegar tatkala lahar terpancut tinggi ke udara.Bara merah mengalir hingga menjadi lumpur cair melimpah ke serata perkampungan.Tentu goncangan gunung merapi itu lebih menakjubkan kalau dibandingkan mayat pak sabata bertukar menjadi babi tidak semena-mena.
Sebab itu malim tekih tidak ungkit apa-apa mengenai letupan karakatoa sekali pun dia tidak melihat kejadian tersebut.Dia sekadar diberitahu mengenai ombak selat sunda menggulung tinggi hingga menenggelamkan daerah lamping tatkala karakatoa menggoncang dimana-mana.Limpahan lahar berbara merah menghanyut kan mangsa tidak peduli apa-apa.Siapa mahu percaya kalau tidak menyaksikan kejadian tersebut?.
"Urusan allah jangan kita ungkit"ujar pawang lamid tertunduk menahan rasa keharuan yang menusuk.
Apabila disebut mengenai malim tekih melihat mayat pak sabata bertukar menjadi babi,tiba-tiba sahaja perasaan pawang lamid sebak tidak menentu.Cepat-cepat dia mengesat pelupuk mata apabila kenang arwah bapa saudaranya wak dinang yang hidup menduda selepas kematian isterinya.
Memang siapa pun tidak ingat pasal bapa saudaranya wak dinang disebabkan pawang lamid sendiri masih muda tatkala lelaki itu meninggal dunia.Tetapi pawang lamid tahu pasal wak dinang mudah sangat panas baran sekiranya dileteri isteri.Dia tidak akan marahkan isterinya sepinah apabila memberang tidak ketahuan,tetapi lepaskan geram kepada sesiapa.
Kerap kali sepinah merungut apabila embah garut merayau-rayau ke setiap rumah meminta nasi.Embah garut mengadu lapar akibat tidak menjamah nasi berhari-hari hingga menuduh menantunya sepinah hidangkan hampas kelapa di depannya.Tetapi seisi kampung tahu mengenai embah garut diganggu nyanyuk sejak bertahun-tahun.
Masakan mereka percaya apabila embah garut beritahu lapar disebabkan tidak diberi makan oleh sepinah.Sebab itu sepinah merungut setelah dituduh embah garut dihidangkan hampas kelapa.Tidak sabar dengan keadaan emaknya yang nyanyuk itulah wak dinang ikat kaki emaknya ke tiang biar tidak dapat merayau-rayau meminta nasi.
Tidak tergamak pawang lamid melihat keadaan nenek saudaranya diikat kaki hingga lebam buku lali.Lantas sahaja pawang lamid lepaskan ikatan tersebut terus mengajak embah garut kerumahnya.Dia tidak peduli pasal embah garut nyanyuk atau tidak,tetapi nenek saudaranya itu tidak patut dilayan demikian.
Marah benar wak dinang disebabkan pawang lamid lepaskan ikatan kaki embah garut yang ditambat ke tiang.Kalau tidak kenang pawang lamid anak mail tagan tentu ditamparnya anak muda itu tidak tertangguh.Tidak sepatutnya anak muda berkenaan campur tangan urusan dia anak beranak.
Tetapi menampar pawang lamid samalah macam tidak hormatkan ayahnya mail tagan.Jangan cuba tunjuk keras kepala di depan mail tagan kalau takat hunus parang memangkas angin.Tahu sangat wak dinang sikap mail tagan tidak bileh ditenteramkan apabila dia sudah tercegat bercekak pinggang.
Siapalah wak dinang mahu tunjuk keras kepala di depan mail tagan yang boleh jinakkan gajah liar di tengah hutan.Tatkala berpuluh-puluh ekor gajah liar keluar dari hutan meranduk kebun pisang mereka siapa yang kehadapan kalau bukan mail tagan.Lantas sahaja mail tagan melompat di atas belakang gajah laksana berjalan ditanah semasa menghalau gajah berkenaan balik semula ke tengah hutan.
Apa lagi kalau menyelam di tengah arus sungai hingga berjam-jam mail tagan di dasar sungai apabila memburu buaya terjonggol kepala.Asal sahaja seisi kampung gempar terserempak kelibat buaya menyonsang arus,mereka akan desak mail tagan berjamu ancak dibatu bertimpuh.
Kalau tidak perkara penting mail lagan tidak akan berjamu ancak menyeru moyang labang menjelma di sisinya.Tenaganya sudah cukup memburu buaya ditengah arus.Dia akan terjun ke dasar sungai menyelam sampai berjam-jam.Masakan buaya dapat bersembunyi di dasar lubuk sekiranya mail tagan sudah menyelam.Bila-bila akan diheretnya buaya yang menangkap ternakan mereka naik ke darat macam menarik batang pisang tidak bergerak apa-apa.
Sebab itu wak dinang tidak angkat muka kalau dijerkah mail tagan.Serba salah sangat dia apabila emaknya yang ditambat kaki pada tiang dilepaskan oleh pawang lamid.
"Kamu buat apa dengan embah?"jerkah mail tagan tatkala wak dinang menjemput balik emaknya.
"Dia merayau-rayau minta makan"sahut wak dinang mencebek bibir menahan rasa malu diejek mail tagan.
"Embah ni bukannya lembu,sampai tergamak kamu tambat"ujar mail tagan tidak menyangka sepupunya sanggup lakukan demikian terhadap emak kandung sendiri.
"Berat mata memandang,berat lagi bahu memikul,bang mail"tersinggung juga wak dinang diungkit mail tagan,sedangkan lelaki itu tidak tahu kekesalan yang mendongkol di hatinya.
Tentu mail tagan tidak pernah mengalami ibu sendiri diganggu nyanyuk hingga merayau-rayau didalam kampung meminta sedekah.Dimana dia mahu sembunyikan muka apabila perbuatan emaknya memalukan perasaan.Kemana sahaja emaknya menadah tangan lantas sahaja menuduh sepinah tidak sajikan makanan untuknya.Sepinah sekdar hulurkan hampas kelapa sekiranya dia mengadu lapar tidak tertahan.
Sekali pun seisi kampung tidak percaya tuduhan embah garut tengah nyanyuk itu,tetapi wak dinang tidak boleh bersabar apabila isterinya berterusan merungut.Terkilan benar sepinah dituduh beri emak mentua sendiri makan hampas kelapa setiap hari,seolah-olah dia sengaja mahu mendera orang tua berkenaan.
Setiap hari dia tetap tambat kaki emaknya ke tiang rumah biar tidak lepas merayau-rayau didalam kampung.Dia tidak mahu seisi kampung tuduh isterinya berikan emaknya makan hampas kelapa hingga merayau-rayau menadah tangan meminta nasi.Berselera betul embah garut menyuap nasi yang diunjukan jiran-jiran disebabkan terlalu lapar sangat.
Kadangkala jiran-jiran juga percaya pasal embah garut belum menjamah nasi apabila berselera menyuap nasi yang diunjukkan.Memang mail tagan tahu mengenai emak saudaranya merayau-rayau tidak menentu,tetapi dia tidak akan campur tangan urusan keluarga wak dinang.
Setelah dipapah embah garut oleh anaknya pawang lamid disebabkan kaki perempuan itu ditambatkan ke tiang rumah,mail lagan tidak boleh diamkan diri.Masakan dia boleh biarkan embah garut ditambat kaki oleh anaknya sendiri wak dinang.Lagi pun perempuan itu emak saudaranya yang mesti dilindungkan.Dia sendiri akan mendapat malu sekiranya seisi kampung ungkit pasal embah garut ditanjuk kaki ke tiang.
Memang dia tahu mengenai emak sauradarnya sudah nyanyuk hingga hilang ingatan.Kadangkala tidak tahu mencari balik ke rumah setelah jenuh merayau-rayau didalam kampung.Merengek-rengek dia mintakan jiran hantarkan balik sekali pun sekadar di balik pagar sahaja.
Bukan mudah mahu menjaga orang tua nyanyuk hingga terkencing juga menyirai dimana-mana.Tentu beban yang ditanggung wak dinang tidak sama macam dia yang melihat bekas jerut tali dibuku lali embah garut.Terharu benar hati mail tagan apabila diberitahu oleh anaknya pawang lamid pasal emak saudaranya diikat ke tiang oleh anak sendiri.
"Kalau kamu tak sanggup jaga,biar aku jaga embah"mail tagan mendesak sepupunya supaya serahkan emak saudaranya dibawah jagaannya.
"Tak apalah,bang mail"sahut wak dinang berkeras tidak benarkan emaknya dijaga oleh mail tagan.Seisi kampung akan tuduh dirinya abaikan emak sendiri hingga tidak sanggup menjaganya.
Apa lagi setiap kali ke surau wak dinang tetap kenang imam samah ingatkan pasal seorang emak boleh menjaga anak-anak sampai sepuluh orang,tetapi sepuluh orang anak tidak mampu menjaga seorang emak.Sebab itu wak dinang bimbang seisi kampung akan ejek dirinya,kalau biarkan emaknya dijaga oleh mail tagan.
Tidak lama selepas kejadian pawang lamid lepaskan ikata tali dibuku lali embah garut,perempuan itu dikurung oleh wak dinang didalam bilik.Dia tidak benarkan emaknya merayau-rayau tidak menentu hingga menadah tangan ke rumah jiran-jiran meminta nasi.
Tetapi sepinah terus juga merungut disebabkan embah garut sudah beberapa kali bergelumang najis didalam bilik.Terpaksa pula wak dinang mandikan emaknya akibat bau hancing meruap-ruap.
Disebabkan tidak dapat menahan sabar akibat cemuhan isterinya sepinah,tiba-tiba sahaja wak dinang menjadi hilang pertimbangan.Terus sahaja dipukul emaknya melepaskan geram.Terjerit-jerit orang tua itu akibat ditampar wak dinang yang menjadi berang tidak menentu.Kalau tidak dileraikan imam samah nescaya semakin teruk embah garut ditampar anak sendiri.
Kebetulan sahaja imam samah melintasi rumah wak dinang sewaktu lelaki itu tiba-tiba sahaja memberang selepas dileteri isterinya.Lantas sahaja imam samah memeluk kuat tubuh wak dinang cuba tenteramkan perasaan lelaki tersebut.Puas dipujuk jiran-jiran barulah wak dinang tersengguk-sengguk menangis.
Gementar juga dia apabila meliahat mail tagan tercegat didepannya setelah dipanggil jiran-jiran.Tidak siapa lagi bleh diharapkan melerai wak dinang tengah menyinga selain daripada mail tagan.Sebaik sahaja mail tagan tercegat dengan berpeluk tubuh sekali gus wak dinang terketar-ketar tidak menentu.
"Aku da cakap dinang"mail tagan cuba tenangkan perasaannya apabila melihat embah garut lebam-lebam muka ditampar wak dinang."Kalau kamu tak boleh jaga embah,biar dia di rumah aku"tegasnya menelan keluhan yang menyebak didada.
Tidak sepatah pun wak dinang menyahut.Panas barannya belum cukup untuk melawan mail tagan kalau sepupunya itu mula mengertap bibir.Sebab itu imam samah cepat-cepat memujuk mail tagan supaya undur turun ke tengah halaman.Imam samah meminta jiran-jiran memapah embah garut biar dibawa sahaja ke rumah mail tagan.
Sesekali pun belum pernah mail tagan menampar sesiapa,tetapi imam samah tahu lelaki itu boleh menerkam wak dinang sekiranya tidak ditenteramkan.Apa sangat dengan wak dinang kalau dibandingkan dia melompat naik ke atas belakang gajah tengah naik minyak.Mail tagan boleh melompat dia atas belakang beberapa ekor gajah tatkala menghalau nya masuk semua ke hutan.
Siapa boleh menyelam ke bawah dasar sungai sampai berjam-jam sama macam buaya ganas menyusup mencari lubuk.Memang bukan calang-calang orang sekiranya mahu berkeras dengan mail tagan.Apa lagi selepas berjamu ancak pada batu bertimpuh,mail tagan akan berjalan diudara laksana meniti jambatan memanjang.
"Banyakkan beristighfar,mail"bisik imam samah setelah melihat mail tagan menggertap bibir dengan merenung tajam ke muka wak dinang.
Mail tagan tidak menyahut,tetapi mematuhi sahaja pujukan imam samah menyuruh dia turun ke tengah halaman.Setelah embah garut dipapah balik ke rumahnya,tidak pernah lagi embah garut merayau-rayau tidak menentu.Dia sekadar termenung sahaja apabila bertimpuh di muka pintu rumah dengan tidak bercakap apa-apa.
Satu-satunya yang tahu melayani dia memang pawang lamid.Kadangkala tersengih-sengih dia apabila diusik pawang lamid dengan mengajaknya ke hutan mencari akar kayu.Tahu sangat pawang lamid mengenai emak saudara ayahnya yang mahir mencari ramuan akar kayu dihutan sejak bertahun-tahun.
Tetapi semenjak jatuh dari tangga rumah hingga kepala terliban kuat,embah garut menjadi nyanyuk.Tidak pernah sepinah beritahu sesiapa pun mengenai emak mentuanya jatuh tangga sewaktu turun ke telaga mahu mengambil wudhuk.Lama dia tertunduk diabawah tangga semasa pawang lamid terserempak nenek saudaranya itu terkial-kial mahu berpaut pada anak tangga.
Selepas terjatuh tangga memang keadaan embah garut tidak berubah apa-apa.Hanya tiga bulan kemudian baru dia meracau-racau tidak mementu hingga menjadi nyanyuk berterusan.Sebab itu pawang lamid tidak peduli sangat pasal nenek saudaranya itu jatuh tangga hingga kepala terliban kuat.
Semasa embah garut terkejang sakit dirumah mail tagan,lantas sahaja pawang lamid beritahu mengenai dia terserempak embah garut jatuh terduduk dibawah tangga.Ketika ini mereka menuduh tentu disebabkan kepalanya terliban kuat ke bawah tangga menyebabkan embah garut nyanyuk sampai hilang ingata.
Beberapa bulan sahaja dia tinggal bersama mail tagan setelah dibelasah anaknya sendiri,perempuan itu terkejang sakit.Mail tagan tidak benarkan wak dinang bawa balik kerumahnya setelah perempuan itu meninggal dunia.Biarlah dia sendiri uruskan pengkebumian emak saudaranya itu setelah wak dinang bertidak liar semata-mata disebabkan isterinya sepinah berleter.
Memang mail tagan tahu pasal embah garut tidak senang dengan menantunya sepinah.Sampaikan wak dinang tidak mahu buatkan sumbi emas pada giginya pun sepinah mendengus sepanjang hari.Terpaksa juga wak dinang tempahkan sumbi emas sekali pun terpaksa mendesak emaknya gadaikan subangnya.
"Dinang tu terlalu ikutkan cakap sepinah"tutur embah garut perlahan sewaktu terkejang dalam keadaan lemah.Tiba-tiba sahaja penyakit nyanyuk yang dihidapinya bagaikan sembuh serta merta hingga dia boleh ingat kejadian jatuh tangga akibat ditolak sepinah.
Tidak lama selepas kematian embah garut itulah sepinah pula menghidap semput berterusan hingga terbatuk-batuk.Lama dia menghidap semput terbatuk-batuk sampai badan juga kurus cengkung.puas dicuba mail tagan ubati dengan empulur mentimun dicampur gula batu diembunkan sepanjang malam,asal sahaja dimakan oleh sepinah dia akan terjeluih muntah.
"Kita berjamu ancak,bang mail"desak wak dinang cemas apabila keadaan isterinya bertambah tenat.
"Kamu nak berjamu ancak dibatu bertimpuh?"segera imam samah mencelah setelah wak dinang berterusan mendesak.
"Berjamu ancak macam beri makan pada berhala masa dulu"marah benar imam samah asal sahaja disebut pasal berjamu ancak.
Semakin gelisah wak dinang apabila mail tagan juga bukan mudah dipujuk kalau berjamu ancak.Tidak payah berjamu ancak pun dia boleh menyelam ke dasar sungai sampai berjam-jam memburu buaya ganas yang menyambar ternakan.Dia juga boleh hambat gajah-gajah liar supaya tidak rosakkan tanaman dengan tidak berjamu ancak.Sebab itu mail tagan tidak peduli sangat desakan sepupunya itu.
Lama terkejang mengidap sakit batuk hingg muntah-muntah darah,sepinah menutup matanya rapat-rapat.Semenjak kematian isterinya wak dinang terus menduda.Dia habiskan masa dirumah sahaja dengan tidak pernah lagi jengah ke surau berjemaah solat maghrib atau isya.Apa lagi solat subuh memang wak dinang tidak jejak kaki langsung selepas kematian sepinah.
"Hati tak senang bang mail"beritahu wak dianang sekiranya mail tagan desak ikut sama berjemaah ke surau.
Beberapa kali orang-orang kampung terserempak babi melunggah tanah di halaman rumah wak dinang.Apabila diberitahu pada lelaki itu,dia terpinga-pinga kerana tidak pernah melihat kelibat babi berkenaan.Tatkala beberapa penduduk menghambat babi berkenaan,binatang itu sekadar menyeringai gigi.Ketika ini mereka melihat babi yang menyungkur halaman rumah wak dinang bersumbi emas.
Lantas imam samah meminta mereka halau sahaja babi tersebut biar segera menyusup ke tengah belukar.Memang imam samah tidak benarkan sesiapa pun cederakan babi bersumbi emas berkenaan.Sebab itu mereka tuduh babi bersumbi emas itu memang jelmaan sepinah yang berkeras sangat mahukan sumbi emas sampaikan memaksa wak dinang gadaikan subang emaknya.
Tetapi imam samah larang mereka ungkit perkara yang siapa pun tidak memahaminya.Marah benar wak dinang apabila dituduh sepinah menjelma menjadi babi bersumbi emas yang berkeliaran merata kampung.Lantas dia ambil keputusan tidak mahu jengah ke rumah jiran-jiran sekalu pun jejak kaki ke surau berjemaah.
Hinggalah jiran-jiran beritahu mail tagan pasal sepupunya terkejang sejak berhari-hari tidak mahu menjamah makanan.Puas dipujuk jiran-jiran wak dinang tetap tidak mahu menjamah makan langsung akibat kecewa isterinya mati dituduh menjelma menjadi babi bersumbi emas itu.
Setelah wak dinang meninggal dunia,mail tagan tetap bertungkus lumus uruskan pengkebumian.Siapa lagi boleh diharapkan kalau bukan dia sendiri sepupunya mesti bertanggung jawab.Tatkala dia bersama imam samah mahu kapankan mayat selepas siap dimandikan,terkejut benar dia apabila mayat berkenaan berasap.Lama kelamaan tubuh mayat menjadi hitam laksana kayu arang disiram air.
"Arwah ayah tengok sendiri,ustaz"jelas ucu sidin beritahu mengenai kejadian yang menimpa wak dinang semasa ayahnya masih berumur belasan tahun.Memang pawang lamid sendiri beritahu mengenai kejadian tersebut pada ucu sidin.
"Istighfarullahhul azim"keluh malim tekih disebabkan kejadian demikian bukan berlaku di lubuk sakaping sebelum dia jejak kaki ke semenanjung dulu.Malah di mana-mana pun berlaku sekali pun seisi kampung sengaja mahu rahsiakan.
YOU ARE READING
Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)
Horrorkisah penceritaan tentang keseraman melampaui batas.. dan dipetik dari novel seram nukilan tok awang ngah.. semoga anda semua terhibur dan enjoy.. Nantikan siri bercakap dengan jin Misteri jam 12 Jangan tutop lampooo