Peristiwa ini telah berlaku beberapa tahun dahulu,apabila harimau mengganas di kampung ulung sali di pelangai sempadan pahang dengan negeri sembilan menangkap kerbau ternakan,tetapi bagi ulung sali kenangan itu tetap disimpannya baik-baik dalam hati.Kalau saya kerumahnya,ulung sali tetap akan ceritakan bagaimana kerbau jantannya terpaksa ditembak oleh orang-orang kampung.
"Sayang benar tok ulung pada kerbau jantan tu"beritahunya setiap kali mengingat kembali peristiwa tersebut."Tapi,kalau tak ditembak mati,nanti kerbau tu mengamuk pula,habis orang-orang kampung ditebongnya"ujar ulung sali lagi lantas menghisap rokok yang terjepit di celah bibirnya.
Perkataan 'tebong' itu mungkin tidak difahami oleh orang-orang di luar kampung pelangai dan sekitarnya seperti mentaus,simpang durian dan mancis.Maksud sebenarnya ialah 'ditanduk'.Disebabkan saya sering ke sana,maka kudahlah saya memahami perkataan-perkataan loghat kampung berkenaan sebanyak sedikit.
Kerbau kesayangan ulung sali itu meragut rumput bersama kerbau-kerbau lain dihujung sawah berhampiran dengan sempadan hutan.Orang-orang kampung yang sedang bekerja di sawah termasuklah ulung sali sendiri hairan mendengar kerbau jantan itu tiba-tiba menguak kuat.Mereka melihat ia berjalan mengiring meninggalkan kerbau-kerbau betina lain yang sedang meragut rumput.
Tidak semena-mena dia menyerbu ke arah belukar kecil berhampiran mengayunkan tanduknya yang runcing.Apabila kepalanya terangkat,orang ramai melihat seekor harimau belang bagaikan bertenggek di atas kepala itu,dengan ngauman yang menggerunkan.
Orang-orang yang melihat kejadian itu menyangka harimau belang itu cuba menangkap kerbau jantan ulung sali,kerana dia bertenggek di kepala kerbau dengan tangan dan kakinya mencakar-cakar.Tetapi kerbau jantan ulung sali masih juga tertegak sekalipun kepalanya menunduk mencium bumi.
Setelah diamati-amati barulah mereka menyedari bahawa kerbau jantan itu telah menanduk harimau yang cuba menghendap mangsa di sebalik belukar.Disebabkan tubuh harimau itu berat dan terlekat pada tanduknya,kerbau jantan ulung sali tidak dapat melepaskan harimau berkenaan yang tersangkut di hujung tanduk meruncing.
Bagaimanapun orang-orang kampung yang datang mengelilingi kerbau jantan itu,melihat harimau berkenaan sudah mati.Jelas pada mereka hujung tanduk kerbau tersebut menembusi bahagian dadanya.Ulung sali mengajak orang-orang kampung melepaskan harimau berkenaan daripada hujung tanduk kerbau jantannya,tetapi dinasihatkan oleh orang-orang kampung supaya jangan lakukan demikian.
"Kerbau macam ni biasanya akan naik minyak.Kita mesti sembelih dia"kata abang amud,mengingatkan.
Kata-kata abang amud itu disokong oleh orang ramai,kerana mereka menyedari kerbau terluka atau selepas berkelahi akan mudah naik minyak.Ia akan mengamuk menanduk sesiapa sahaja sekiranya terlepas.Akhirnya,terpaksalah ulung sali bersetuju supaya kerbau itu ditembak dan disembelih.
Kematian kerbaunya itu memang terkilan sangat pada hati ulung sali.Apalagi kematiannya dalam keadaan yang menyedihkan.Kerbaunya itu terpaksa dibunuh sekalipun telah berjasa besar menyelamatkan kerbau ternakan orang kampung daripada serangan harimau ganas.
"Sampai bila-bila pun tok ulung kenang betul-betul kerbau jantan tu"ujarnya semasa datang berkunjung ke rumah saya.Dia datang pun kerana dijemput oleh bahaman,cicitnya yang tinggal di hulu klang.Bahaman inilah yang menghantar dia kerumah saya,kerana ulung sali memintanya membawa dia kerumah saya.
"Kau dah tahu rumah angah ni,selalu-selalulah datang cari dia"katanya mengingatkan bahaman setelah menceritakan semuala peristiwa kerbaunya berjaya membunuh harimau ganas.
Bahaman sekadar mengangguk dan tersengih-sengih.Orang muda sepertinya memang sukar mengenali saudara-mara yang hanya bau-bau bacang sahaja,sekiranya tidak diperkenalkan oleh orang-orang peringkat tua.Ini disebabkan masing-masing sudah duduk berjauhan,di samping tidak mengetahui akan salasilah keturunan sendiri.
"Angah ni pangkat bapa pada kau,tak kan dia nak cari kau,tapi kenalah kau cari dia"suara ulung sali keras dan garau sambil mengerling bahaman disebelahnya.
"Saya memang pernah dengar mengenai pak ngah,tapi inilah pertama kali berjumpa"beritahu bahaman,tersengih-sengih memandang isteri saya keluar menatang dulang minuman.
"Mak ngah kau ni selalu datang ke pelangai"ulung sali menjelaskan kepada cicitnya,sebaik sahaja isteri saya meletakkan dulang minuman dia tas meja.
"Yalah,orang peringkat muda,manalah kami nak ingat..?"ujar isteri saya menghela nafas perlahan.Manalah kami tahu bahaman mempunyai hubungan keluarga kalau ulung sali tidak jelaskan.Sejak lama bekerja di kuala lumpur,memang dia tidak pernah menjengah ke rumah kami.Dia sendiri tidak tahu pasal hubungan kekeluargaan itu.Hanya melalui beberapa orang kenalannya sahaja dia tahu mengenai diri saya.
Saya juga tidak tahu di mana saudara mara ulung sali yang bekerja di kuala lumpur.Kalau saya tahu ulung sali datang ke rumah saudara maranya,memang saya sendiri akan mengambil dia mengajak ke rumah.
"Onyang ni pun datang kerana dijemput,kalau tidak tak mau dia datang"beritahu raonah,isteri bahaman."Susah sangat nak bawa dia kesini.Nak ke kebunlah,nak bagi makan auam itiklah,ada saja alasan dia"katanya,menambah.
"Kau dah tua besok,kau rasalah semuanya tu.."sambut ulung sali,tertawa macam mengejek raonah.Tubuhnya masih kelihatan bertenaga sekalipun usianya sudah hampir seratus tahun.
Memang bahaman yang menjemput ulung sali disebabkan anak mereka yang berusia dua tahun sering sakit-sakit sejak dilahirkan.Sebab itulah ulung sali datang membawakan daun serum untuk dijaramkan,di samping mengubatinya untuk tempoh selama tiga hari berturut-turut.
Bagaimana pun ulung sali mendesak supaya bahaman membawa anaknya balik ke kampung sekiranya masih juga belum sembuh.Sakit yang dihidapi oleh anak bahaman itu ialah kudis pada seluruh tubuhnya.Apabila dibawa ke hospital,kudis itu akan hilang untuk seminggu sahaja.Kemudian,akan kembali semula menanah dan berair-air.
Semasa bahaman datang kerumah saya bersama ulung sali,anaknya yang kecil ini masih berkudis,tetapi tubuhnya tetap segar bugar.Dia bermain riang dengan anak-anak saya.
"Sakit macam mana ni?"saya bertanya sambil memerhati anak kecil bahaman bermain riang.
"Entahlah,pak ngah"beritahu raonah bagaikan terbayang rasa putus asa pada wajahnya."Tengoklah badannya tu,penuh dengan kudis,tak mau sembuh.Dah puas berubat dihospital dan klinik"jelasnya,perlahan bercampur sayu.
"Habis,tak juga baik-baik?"isteri saya mencelah.
"Macam tulah,mak ngah"katanya,mengeluh pendek."Apabila makan ubat,kudis tu kering,tapi seminggu selepas itu,berbalik semula"ujarnya,mencebik bibir.
Tubuh anak kecil itu dipenuhi kudis,tetapi kelihatan sudah kering berparut.Setelah dijaram oleh ulung sali dengan air daun serum,kudis itu mulai mahu sembuh.Ulung sali memberitahu anak kecil itu terkena kenan semasa dalam kandungan lagi.
Sukar juga saya hendak memahami 'kenan' yang dimaksudkan oleh ulung sali.Menurut kepercayaan orang-orang di kampung,penyakit 'kenan' itu berpunca daripada gangguan yang bersangkutan perbuatan ibu dan ayah bayi semasa dia di dalam kandungan.
Misalnya,kalau si ayah memukul katak semasa bayi didalam kandungan ibunya,berkemungkinan bayi yang lahir itu menghidapi 'kenan' seperti katak yang kene pukul itu.
Tetapi bagaimana ulung sali boleh mempercayai 'kenan' ini kerana penyakit kudis di seluruh badan ini pernah menghinggapi adik iparnya,saebah.Ramai orang kampung itu percaya saebah terkene 'kenan' harimau belang yang mati ditebong oleh kerbau jantan ulung sali.
Selepas peristiwa kerbau jantan menanduk harimau itu,orang-orang kampung tidak menghiraukan sangat bangkai harimau berkenaan.Mereka hanya mengambil kerbau jantan yang sudah ditembak dan disembelih itu sahaja.Abang amud menyuruh mat dabit dan lias badak membuang bangkai harimau tersebut ke sungai.
Entah macam mana,bangkai harimau yang dicampakkan ileh mat dabit dan lias badak ke sungai itu tidak hanyut ke hilir.Ia tersangkut pada tunggul di tebing sungai.Ketika inilah,saebah,yang mahu memancaing tiba-tiba terkejut apabila terserempamk bangkai harimau tersadai pada tunggul kayu di tebing sungai sudah hampir reput dengan seluruh tubuhnya dipenuhi ulat berenga.
Akibat terkejut melihat bangkai harimau tersadai di tunggul kayu di tebing sungai itu,saebah diserang demam menggigil.Hampir seminggu dia terkejang di tempat tidur diganggu oleh igauan yang menakutkan.Dia terpekik-pekik dikejar oleh harimau yang tersangkut pada tunggul di tepi tebing.
Seminggu saebah terlantar sakit.Suaminya,ngah derani,tidak dapat turun ke sawah kerana menunggu isterinya terkejang di tempat tidur.Dia tidak yakin meninggalkan saebah dijaga oleh anak-anak di rumah tatkala dia mengerjakan sawah di bendang.Terpaksalah ngah derani sendiri membantu saebah kalau mahu membuang air kecil atau air besar pun.
Semasa ulung sali datang menziarahi saebah,adik iparnya itu,dia melihat keadaan saebah bertambah tenat.Kudis yang merebak ke seluruh badan itu sudah membengkak dan menanah hingga ada yang dihurungi ulat berenga sebesar pangkal lidi.
"Boleh jadi kak saebah ni ketulahan"kata adiknya,abang amud,yang menyedari sikap kasar perempuan itu terhadap suaminya sendiri.Pernah abang amud melihat saebah membangunkan ngah derani daripada tidur dengan menunjalkan hujung kakinya sahaja.
Tetapi ulung sali tidak percaya dengan dakwaan abang amud.Bagaimanapun,daripada keadaan penyakit saebah itu,ada tanda-tanda ia mempunyai kaitan dengan ketulahan.Kudis yang tumbuh pada seluruh tubuhnya memang sama dengan kudis yang dihidapi oleh orang yang terkene ketulahan.
Mula-mula ia tumbuh berbelak-belak pada kulit seperti merah dan meruam berbintik-bintik.Ketika ini,saebah akan berasa gatal merenyam-renyam menyebabkan dia menggaru sampai ditonyoh-tonyoh ke dinding.Darah akan memercik daripada bekas digaru itu hingga kudis mula membengkak.Sedikit demi sedikit akan mengangkut nanah sampai berbau busuk dan hanyir.
"aku percaya,ini ketulahan pada ngah derani"abang amud tetap menuduh kakaknya demikian."Tengoklah macam mana dia buatkan ngah derani,macam anak-anak saja dilakukannya"ujarnya bagaikan kesal dengan sikap kakaknya selama ini yang terlalu langgar bahasa dengan suami sendiri.
"Ketulahan ni bukan boleh buat main-main,amud"ulung sali mengingatkan dia.
"Aku percaya,kak saebah ni ketulahan pada ngah derani"ulangi abang amud memberi pendapatnya semasa berunding mahu mengubati penyakit saebah.
"Sepanjang yang aku ingat,tak ada pula saebah menderhaka pada aku"jelas ngah derani pula,semacam membantah dakwaan adik iparnya.
"Ngah derani memang tak nampak,sebab dia yang kene"beritahu abang amud masih bertagan.Jauh di sudut hatinya dapat membayangkan bahawa ngah derani sudah terkene ubat guna-guna saebah.Sebab itulah ngah derani tetap memandang segala perbuatan isterinya terhadap dirinya baik belaka.
Ketika berbincang mahu mengubati penyakit saebah itulah abang amud mendedahkan kejadian yang pernah berlaku semasa kenduri majlis kahwin anak mereka.Abang amud beritahu pasal dia terlalu mengantuk hingga tertidur di penanggah disisi ngah derani.
Keesokan paginya,saebah datang menggerakkan ngah derani supaya bangun segera mengambil sayur yang dipesan daripada mail badut,tetapi lelaki itu menggeliat-liat malas.Dia masih terasa mengantuk dan keletihan akibat sama-sama terconggok menunggu penanggah bersama abang amud.
Disebabkan ngah derani mengeliat-liat tidak bingkas bangun,saebah menjadi marah.Lantas dia naik ke atas pangking penanggah menunjal ibu jari kakinya ke punggung ngah derani.Kemudian,menyepak-nyepak betis ngah derani,menggesa lelaki itu segera bangun.
Perbuatannya ini memang dilihat sendiri oleh abang amud.Malu juga dia dengan sikap kakaknya berkasar terhadap suami sendiri.Cepat-cepat dia memarahi kakanya kerana tidak menghormati suami.Tersipu-sipu juga saebah apabila dijerkah abang amud.Sedangkan ngah derani hanya tersengih-sengih sahaja,seolah-olah isterinya sengaja bergurau dengan menyepak-nyepak betis.
"Itu contoh yang saya lihat sendiri"tegas abang amud penuh yakin bahawa saebah memang geruh ketulahan."Selama ni,memang kita tau kak saebah melayan ngah derani macam budak-budak saja".Dia tetap mendakwa penyakit yang dihidap saebah itu disebabkan ketulahan bersikap kasar kepada suami sendiri.
"Kalau betul dia ketulahan pada aku,bila-bila pun aku ampunkan"sahut ngah derani,ikhlas.
Tetapi penyakit saebah tidak akan sembuh kalau sekadar berbincang sesama sanak saudara tidak habis-habis sehari suntuk.Dalam masa berbincang itu usaha mengubati tidak juga dilakukan.Pada bahagian badan saebah yang ditumbuhi kudis itu,kulitnya tegang mengening-ngening macam buah kundang masak.
"Kalau aku ketulahan ngah derani,aku sanggup minum air basuh kakinya"perlahan saebah memberitahu,semacam merayu agar dirinya dikasihani.Dia sudah tidak tertahan lagi menanggung derita kesakitan kudis yang dihadapinya itu.
Pada bahagian pelipat atas betisnya,dibawah ketiak dan di bahagian punggung,baunya sudah busuk berwap-wap.Manakala dibahagian bawah lehernya,ada daging sudah reput,disamping kelihatan ulat berenga sebesar pangkal lidi bergerak-gerak dicelah daging busuk itu.
"Lebih baik mati saja daripada menanggung sakit macam ni"keluh saebah merintih-rintih dalam nada sungguh kecewa.
Jiran-jiran yang datang menziarahi memang terasa belas melihat keadaan saebah yang kelihatan seolah-olah mayat busuk bernyawa.Dia juga mengakui akan perbuatannya sering bersikap kasar terhadap ngah derani selama ini,yang sepatutnya tidak wajar dilakukan oleh seorang isteri terhadap suaminya sendiri.
Tetapi dia percaya sikap perengusnya itu dapat diterima oleh suaminya,ngah derani.Lelaki itu tidak tersinggung sedikit pun dengan sikapnya,malah ngah derani tetap mencurahkan kasih sayang terhadapnya.Memang ada jiran-jiran menuduh dia menggunakan ubat guna-guna bagi menundukkan ngah derani supaya suaminya sentiasa menurut hujung terlunjuknya setiap masa.Bagaimanapun,saebah tahu dia tidak pernah menuntut sebarang amalan ubat guna-guna.
Kebetulan ngah derani memang seorang yang lemah lembut,dan jarang melenting marah kalau tidak benar-benar terdesak.Sebab itulah orang ramai di kampung nya menuduh saebah menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan ngah derani.Malah,abang amud sendiri beranggapan demikian.
Setelah berbincang bersama semua sanak saudara,ulung sali bersetuju mengubati saebah.Apalagi ngah derani memang adik kandungnya sendiri.Kalau bukan dia bersusah payah mengambil berat semasa ngah derani dalam kesusahan,siapa lagi boleh diharapkan?.
"Kalau begitu kita beri minum dan mandikan saebah dengan air basuh kaki derani"ulung sali membuat keputusan.Memang dia sendiri tidak tertahan melihat keadaan saebah yang semakin terseksa.
"Ubatkanlah aku ni,ulung"rayu saebah lagi.Dia terkejang sahaja dia atas tikar beralaskan daun pucuk pisang akibat tidak tertahan menanggung bahang panas yang menyerap ke seluruh tubuh badannya.
Keadaan ini semakin menyakinkan orang-orang kampung akan dakwaan abang amud bahawa saebah benar-benar menderita sakit akibat ketulahan menderhaka kepada suami.Bahang panas itu pada pendapat mereka adalah bahang daripada api neraka yang membakar seluruh jiwa saebah.
"Ampunkan aku,ngah"mata saebah layu memandang ke arah suaminya.
"Aku ampunkan"sahut ngah derani,bergetar menahan rasa terharu yang menusuk perasaan."Macam mana besar pun dosa kau pada aku,memang aku ampunkan"bisiknya,meminta isterinya bersabar menanggung penderitaan yang datang secara mendadak mengganggu keluarganya.
Anak-anak mereka yang sudah berumah tangga juga datang berkumpul di rumahnya sebaik sahaja diberitahu mengenai penyakit saebah.Kudis pekung yang merebak ke seluruh badan itu menyebabkan tubuh saebah semakin lemah.Bermacam-macam ubat telah dipupukkan supaya kudis itu tidak mengganggu,tetapi keadaan nya semakin bertambah pasang kalau cuba diubati.
Kepala saebah yang panas dipupuk dengan daun sedingin,manakala kudis pada seluruh badan itu di pupuk pula dengan pucuk jambu batu yang digiling dengan gambir.Ulung sali sendiri yang menyuruh pupukkan supaya ulat berenga pada celah daging reput itu mati tergolek ke tikar.
Air yassin yang didoakan oleh lebai budin juga diminumkan.Dijaram juga ke kepala hingga basah lokos.Namun,keadaan saebah tidak juga beransur kurang.Dia terus terkejang sahaja dikelilingi sanak saudara yang hampir putus asa setelah puas berikhtiar mengubatinya.
Ngah derani tidak henti-henti melakukan sembahyang sunat hajat setiap kali selesai fardhu maghrib,memohon doa ke hadrat allah subhanahu wa taala agar disembuhkan penyakit isterinya.
Tetapi,setiap kali saebah meneguk air doa surah yassin,kelihatan tenaganya pulih sedikit.Dia dapat menggerakkan tubuhnya di samping membuka mata memerhati sanak saudara dan jiran-jiran yang datang berkumpul mengelilingi dia.Bagaimanapun keadaan penyakitnya masih tidak berubah.Nafasnya berombak-ombak bagaikan tersumbat di hudung.
Setelah masing-masing bersetuju mengakui bahawa penyakit yang dihidapi oleh saebah berpunca daripada ketulahan kepada suaminya ngah derani,maka ulung sali pun mula membuat persiapan untuk mengubatinya secara demikian.Dia menyuruh ngah derani mengambil wudhuk terlebih dahulu,kemudian sisa air dari pada gayung terakhir selepas digunakan oleh ngah derani membasuh kaki diasingkan.
"Air basuh kaki ni buat syarat saja"beritahu ulung sali perlahan setelah dapat mengagak mereka disitu menyangka air daripada basuhan kaki ngah derani sendiri perlu ditadah.
Sebenarnya,air yang diperlukan itu hanya lebihan air yang digunakan oleh ngah derani setelah selesai mengambil wudhuk.Air itu masih bersih lagi berbaki didalam tempayan.Tidak kotor kalau digunakan untuk minum sekalipun.
Seminggu selepas saebah diberi minum air basuh kaki ngah derani itu,dia semakin bertambah lemah.Tubuhnya juga kurus disebabkan tidak berselera untuk mejamah makanan.Bau busuk daripada tubuhnya semakin berwap-wap.Ulung sali sendiri sudah kehabisan upaya untuk mengubatinya.
"Kalau macma ni,kau panggilkan aki sahak di mentaus,amud"ujar ulung sali setelah melihat keadaan saebah tidak juga sembuh.
Abang amud bersetuju menjemput aki sahak.Walaupun jauhnya tidak sampai lima belas batu,tetapi abang amud bimbang juga sekiranya aki sahak tidak ditemui.Kadangkala ada sahaja orang mengambil aki sahak hingga sampai ke chenor di pahang,atau ke serting di jempol.Kalau aki sahak tidak ditemui,ke mana pula mahu dicari.
Tetapi dia terpaksa juga mencari aki sahak,disebabkan permintaan ulung sali sendiri.Kalau sudah ulung sali sendiri tidak berupaya mengubati saebah,sudah tentulah tidak ada siapa pun lagi dikampung itu yang sanggup mengubatinya.Selama ini mereka disitu memang mengharapkan ulung sali mengubati mereka yang sakit.
Seperti yang dijangkakan,memang aki sahak sudah dibawa orang ke mentakab.Sekalipun dia berasa hampa,namun abang amud berpesan juga pada isteri aki sahak.Dia minta benar agar orang tua itu datang juga ke pelangai.Kebetulan sepupu saya,ustaz mat deh,ada dirumah aki sahak semasa abang amud sampai.
"Alhamdulillah,ustaz ada disini"terbayang kegembiraan pada wajah abang amud sebaik ternampak mat deh menjengah di tingkap."Bila ustaz kesini?"cepat sahaja dia bertanya sambil mendongak dari tengah halaman.
"Baru pagi tadi,abang amud"sahutnya,perlahan.Dia mengenali abang amud ketika lelaki itu masih menetap disitu sebelum berpindah ke pelangai.
Selepas memberitahu dia sudah pindah ke pelangai,abang amud terus menerangkan nasib yang menimpa kakaknya,saebah.Dia juga menjelaskan ulung sali sendiri menyuruh memanggil aki sahak.
"Marilah ustaz tengok-tengokkan dulu"tidak bertangguh abang amud mempelawa mat deh.
"Emmm,saya pun dah lama tak jumpa ulung sali"katanya macam bersetuju mengikut abang amud ke pelangai.
Terlalu gembira ulung sali apabila diberitahu mat deh datang bersama abang amud.Terhingut-hinggut dia membonceng di belakang basikal abang amud,melalui kebun getah berlorong kecil.
"Dah berapa lama kak saebah sakit?"mat deh menyoal sebaik melihat saebah terkejang di tempat tidur.
"Dah dekat sebulan"beritahu ngah derani,sebak menahan kesedihan.
"Mengapa tak dibawa ke hospital"soal mat deh,berpaling pada ngah derani.
"Ustaz pikir,elokkah dibawa ke hospital"abang amud kehairanan dengan soalan mat deh.
Terdiam mat deh.Dia kembali merenungi ke dalam mata saebah yang pejam tertutup rapat.Kemudia,dia menggeleng-ngeleng kepala sambil menghela nafas.
"Kalau ketulahan,dah pun diberi air basuh kaki suaminya"jelas abang amud selanjutnya.
"Ketulahan apa pula"kesal benar mat deh dengan penjelasan tersebut."Ermm...,kalau pak tua mahat ada bagus ni,tapi tak apalah,kita berserah pada kekuasaan allah"katanya,memandang ulung sali yang sudah kebingunggan dengan keadaan menimpa adik iparnya.
"Nak jemput pak tua mahat,biar aku jemputkan"lantas abang amud menawarkan diri.Dalam saat demikian dia sanggup ke mana sahaja asalakan kakaknya dapat diselamatkan.
"Kalau pak da amud letih,saya pun boleh jemputkan"tiba-tiba talib,menantu ngah derani bersuara.Dia tidak patut mendiamkan diri melihat keadaan emak mentuanya terkejang demikian.
"Kau tahu rumahnya di mancis sana tu?"soal abang amud,bangun berundur sedikit dari tempat kakaknya terkejang.
"Tak tau"talib menggeleng kepala.
Sekalipun dia sudah menjadi menantu ngah derani,tetapi bukanlah semua sanak saudara mentuanya dia kenal.Lagipun pak tua mahat itu cuma saudara dua pupu sahaja pada ngah derani.
"Tak apalah dulu,abang amud"mat deh mendongak memandang abang amud yang tercegat di tengah rumah."Kita tengok dulu malam ni,esok saya singgah dirumah pak tua mahat"dia mententeramkan suasana kelam kabut disitu.
Kemudian,dia berpaling pada ulung sali."Tok ulung jangan putus asa"lantas digamitnya ulung sali supaya merapati saebah."Kita cuba lagi"bisiknya,semacam memberi semangat pada ulung sali.
Ulung sali menggangguk perlahan."Kalau mat deh ada,tok ulung gagahlah sikut mahu mengubatinya"dia memberi penjerlasan sambil menepuk bahu mat deh.
"Tak ada siapa pun makhluk lebih berkuasa daripada allah"mat deh tiba-tiba bangun lantas mengambil wudhuk di perigi.
Tidak lama kemudian dia naik semula,lantas bertinggung di hulu kepala saebah.Dia mula membacakan al-fatihah,dengan tidak menghiraukan jiran-jiran yang duduk berkeliling.Apabila dia membacakan tujuh ayat terakhir daripada surah yassin diikuti ayatul kursi,ayat tiga belas surah al-an'am dan ayat lapan puluh dua surah al-isra',sekaligus saebah terbatuk-batuk.
"Ulung serah pada mat deh"ujar ulung sali apabila saebah mula terbatuk-batuk selepas dibacakan ayat-ayat al-quran.
Saebah yang terbaring lemah hanya terkebil-kebil sahaja.Dia sendiri sudah putus asa untuk berubat.Biarlah nyawa direnggut hingga seluruh tubuh kaku menjadi mayat.Hidup pun sudah tidak memberi erti kalau daging semakin reput dengan ulat berenga sebesar lidi menghurung tubuhnya.
Ulung sali tiba-tiba berdiri mengibaskan kain hitam sepanjang dua hasta dari kepala hingga ke kaki saebah.Tiga kali ulung sali mengibaskan kain hitam itu,tiba-tiba saebah menangis tersedu-sedu.Abang amud yang sebelumnya duduk jauh di hujung kaki,bingkas bangun mendekati kakaknya.
Setelah mengibas-ngibaskan kain hitam itu,ulung sali kembali duduk.Kemudian,dia berpaling ke arah mat deh yang tertunduk memejamkan mata sambil tangannya tidak lepas daripada kepala saebah.Dia mendengar mat deh membacakan al-fatihah tiga kali sebelum merebahkan diri lantas tidur di hulu kepala perempuan itu.
"Biarkan dia tidur macam tu"bisik abang amud memandang ngah derani kerana abang iparnya terkejut apabila melihat mat deh rebah disitu.Ngah derani menyangka mat deh pula dijangkiti penyakit isterinya hingga tiba-tiba sahaja rebah tidak sedarkan diri.
Melihatkan mat deh sudah rebah di hulu kepala saebah,segera pula ulung sali beralih duduk berhampiran mat deh.Dia memegang tangan mat deh dengan membacakan al-fatihah juga.Kemudian,dia senyap tidak berkata apa-apa.
Setelah hampir satu jam mat deh terbaring barulah dia bangun.Matanya kelihatan merah seperti orang baru terbangun tidur sewaktu siang hari.Dia mengusap-usap tapak tangan ke mukanya sambil beristighfar beberapa kali.
"Macam mana,ustaz?"tidak bertangguh abang amud bertanya.
"Serahkan pada allah"bisik mat deh,keletihan,kemudian meminta air sejuk untuk minum.
Tetapi ulung sali tahu mat deh sudah menembusi tempat persembunyian syaitan yang mengganggu saebah selama ini.Bagaimanapun,mat deh menyembunyikan rahsia itu daripada sesiapa pun disitu.
Mat deh sudah sampai di kawasan gelap gelita serta angin kencang yang menghalang perjalanannya.Sayup-sayup di telinganya dia mendengar suara ulung sali menyuruhnya membacakan surah ad-dhuha berulang kali.
Kabus hitam yang menyelubunginya sekaligus hilang apabila dibacakan surah ad-dhuha.Tetapi angin kencang terus juga bertiup hingga pohon-pohon disekitar kawasan meliuk-liuk.Cepat pula mat deh membacakan surah al-ikhlas sebelas kali menyebabkan angin kencang terhenti macam tersentak.
Ketika ini mat deh merasakan dirinya berjalan di tebing sungai memerhatikan airnya yang keruh.Di satu selekoh,seekor bangkai harimau tersangkut pada tunggul kayu ditengah air.Bangkai harimau yang sudah busuk itu tiba-tiba bingkas bangun mahu menerkam ke arah mat deh,tetapi terpelanting semula ke atas tunggul apabila mat deh menghembuskannya dengan membaca al-fatihah.
"kau nak berselindung di sebalik bangkai harimau.."ejek mat deh,memerhatikan sekitarnya.
Bangkai harimau itu bangun semula berlegar seperti seekor harimau ganas di tengah rimba.Apabila dia melaungkan azan sepuluh kali,bangkai harimau yang berlegar-legar itu terhenti.Dia melihat seorang lelaki tua berpakaian serba hitam menunggang belakang harimau tersebut.
"Pasal apa kau ganggu kak saebah?"jerkah mat deh mengancam akan meneruskan azan.Seluruh tubuh orang tua itu robek-robek setiap kali azan dilaungkan.Dia tidak tertahan menanggung beban seksa dadanya pecah-pecah mendengar laungan azan itu.
"Orang-orang tu campakkan bangkai harimau atas rumah aku"rungut orang tua itu dalam suara parau.
Mat deh tidak hiraukan apa pun dalih orang tua itu.Dia terus membacakan : Huwa auwalu wal akhiru,wal zahiru,wal batinu,wahuwal azizul hakim",kemudian diterukan lagu dengan membaca : Kullu nafsin za ikatil maut",diulangi tujuh kali.
Selepas itu dia menetak belakang tangan kanannya ke tapak tangan kiri,menyebabkan tiba-tiba sahaja orang tua itu terduduk memengang pahanya.Terjerit-jerit dia meminta mat deh memberhentikan membaca ayat-ayat al-quran.Pahanya sudah terkulai seperti dibelasah dengan kayu balak lima enam pemeluk.
Semalaman itu saebah dapat tidur nyenyak.Tidak tergaru-garu lagi sambil merintih.Namun,rahsia mat deh dapat melihat keadaan sebenarnya tidak diberitahu pada sesiapa pun.Ketika syaa belajar daripadanya,ada juga mat deh menceritakan mengenai penyakit saebah itu.
Semasa menemui ulung sali selepas beberapa tahun kejadian itu,pernah juga saya bertemu saebah,tetapi ketika ini adik ulung sali iaitu ngah derani,sudah pun meninggal dunia.Saebah ada menunjukkan kepada saya parut kudis yang dihidapinya.
Kisah saebah ini memang sukar hendak dipercayai oleh mereka yang menilai dari akal biasa,tetapi itulah yang pernah dialaminya.Bagaimanapun saya tidak fikir kudis yang dideritai oleh anak kecil bahaman dan raonah itu sama seperti yang menimpa saebah.
"Emm,ini kudis biasa saja ni.Boleh jadi kenan,boleh jadi sawan"beritahu ulung sali tersengih-sengih,mengerling anak kecil itu yang asyik bermain tidak menghiraukan tubuhnya dihinggapi kudis gatal seluruh badan.
Saya juga menggangguk perlahan.
YOU ARE READING
Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)
Horrorkisah penceritaan tentang keseraman melampaui batas.. dan dipetik dari novel seram nukilan tok awang ngah.. semoga anda semua terhibur dan enjoy.. Nantikan siri bercakap dengan jin Misteri jam 12 Jangan tutop lampooo