Mula-mula ke kampung selepas lama merantau di Kelantan, Pak Andak Deraoh memang suka ke hutan berburu. Kadangkala merungut juga Mak Andak Nah, tetapi Pak Andak Deraoh bukanlah orang yang boleh dihalang. Apabila dia pulang dengan membawa hasil buruannya, Mak Andak Nah juga ikut sama gembira. Hilanglah marahnya bila melihat Pak Andak Deraoh balik dengan membawa pelanduk, kijang atau napuh.
Jaamat dan Mat Noh akan mengikut dia. Kadangkala Leman Dibab juga ikut. Tetapi Jaamatlah yang selalu diajaknya.
Demikianlah pada satu malam Pak Andak Deraoh mengajak Jaamat dan Mat Noh mengendap pelanduk. Pak Andak Deraoh memang tahu di mana pelanduk selalu berkeliaran mencari daun ludai. Malam itu nasib mereka agak malang kerana tersalah jalan. Jaamat yang selalu masuk ke hutan mencari manau dan damar pun hilang pedoman jalan. Puas mereka menyusur lereng bukit, menuruni lurah dan meredah belukar puar yang padat, tetapi masih juga tidak bertemu dengan jalan pulang.
Ketika ini mereka sudah dapat menembak tiga ekor pelanduk. Selalunya Pak Andak Deraoh tidak mahu menembak banyak binatang hutan, tetapi memadai untuk makanan mereka saja. Disebabkan mereka pergi bertiga, maka memadai memburu tiga ekor saja pelanduk. Jarang pula Pak Andak Deraoh balik dengan tangan kosong.
“Kemana kita ni Pak Andak?” keluh Jaamat kerana dinihari sudahmula turun embun jantan. Terasa juga dingin udara malam di tengah hutan rimba yang hanya kelihatan pohon-pohon tinggi. Bayang pohon-pohon tinggi itu menyebabkan kelilingnya menjadi gelap gelita.
“Jauh rasanya kita berjalan ni,”sahut Mat Noh pula sambil menggalas buntil berisi daging pelanduk.Bergilir-gilir dia mengalas dengan Jaamat.
Pak Andak Deraoh tidak menyahut. Dia sendiri merasa heran kerana tidak pernah pula tersesat di hutan selama ini. Sejak tinggal di Gua Musang pun memang dia sudah mahir di hutan, tidak pula pernah dia tersesat. Masakan hutan di kampungnya sendiri dia hilang pedoman.
“Kau kata, kau tau tiap-tiap selekoh hutan Jaamat?” Mat Noh merasa bimbang juga tidak berjaya mencari jalan balik.
“Entah, aku tak pernah tempuh tempat ini rasanya.....” beritahu Jaamat serba salah. Matanya liar memerhati kegelapan malam yang mengerunkan.
“Agaknya jauh kita ni tersesat....” bisik Pak Andak Deraoh perlahan.
“Entahlah Pak Andak,” sahut Jaamat gelisah. “Kalau siang hari tau juga aku cari jalan, kalau malam macam ni memang benak aku,” jelasnya mengakui tidak sanggup mencari jalan untuk balik.
“Jangan cepat putus asa,” Pak Andak Deraoh mengingatkan dua orang rakannya itu. “Guna akal yang diberi Allah Taala. Dia yang melindungi dan menolong kita,” katanya mengenggam lampu suluh ubat sambung enam di tangannya erat-erat.
Dia menyuluh lorong di hadapannya saja. Sementara matanya tetap melingas ke kiri dan ke kanan. Lorong yang diikutinya pula semakin lama semakin sebun, seperti tidak pernah ditempuh orang. Berdebar juga hati Pak Andak Deraoh memikirkan lorong sebun tidak penah ditempuhi orang itu.
Hutan di Pahang tidak sama dengan hutan di negeri-negeri lain yang terlepas dari masa berkurung 24 jam di musim darurat. Bimbang juga dia kalau termasuk dalam kawasan perintah berkurung. Kalau terserempak anggota pasukan keselamatan pun boleh mengelirukan.
Kalau bertembung dengan hal-hal lain memang Pak Andak Deraoh tidak takut, kerana semasa di Gua Musang dulu pun sudah beberapa kali dia diganggu makhluk halus. Malah pernah juga dia terserempak harimau dan beruang. Semua ini dapat diatasi oleh Pak Andak Deraoh.
Yang membimbangkan dia ialah hutan di Pahang. Dia bimbang kalau keluar jauh dari kawasan kampung akan termsuk pula dalam kawasan perintah berkurung. Tentulah membahayakan kalau termasuk di kawasan perintah berkurung ini. Sebab itulah Pak Andak Deraoh berharap mereka akan tembus ke jalan raya. Kalau terlepas ke jalan raya, dapatlah diagak ke mana mereka sampai. Lagipun di jalan raya terlepas dari sebarang kawasan perintah berkurung.
“Cuba dengar-dengar kalau ada bunyi kereta lalu,” ujar Pak Andak Deraoh tidak berpaling ke belakang. Dia tidak peduli samaada Jaamat dan Mat Noh mendengarnya atau tidak. “Kalau ada bunyi kereta bermakna kita dekat dengan lebuh,” katanya macam memberi arahan.
Jaamat dan Mat Noh hanya mendiamkan diri. Mereka juga berharap akan sampai ke jalan raya. Biarlah mereka berada jauh dari kampung akibat tersesat di hutan, asalkan bertemu juga jalan keluar. Dalam fikiran mereka berdua sama juga seperti Pak Andak Deraoh, iaitu bimbang kalau termasuk dalam kawasan perintah berkurung.
Tetapi sehingga jam 1.30 pagi mereka bertiga masih juga tidak dapat mencari jalan keluar. Bunyi deru kereta juga tidak kedengaran yang menandakan mereka berada jauh dari jalan raya. Kokok ayam juga tidak kedengaran yang boleh memberi alamat terdapatnya perkampungan orang, setidak-tidaknya perkampungan Orang Asli.
Terniat juga pada hati Pak Andak Deraoh mahu bermalam di hutan itu, tetapi memikirkan jam sudah 1.30 pagi sia-sia pula bermalam di situ. Lebih baik mereka mencari jalan untuk balik. Mungkin kalau terus juga mencari mereka akan bertemu tanda yang boleh memberi pedoman.
“Kita ni jauh ke tengah hutan agaknya Pak Andak,” Jaamat semakin gelisah.
“Boleh jadi juga,” sahut Mat Noh mengeluh pahit. “Tak ada pun kita dengar bunyi kereta lalu di bawah bukit. Bunyi ayam berkokok pun tak ada,” katanya menampakkan kegelisahan sama seperti Jaamat juga.
Pak Andak Deraoh sudah mula merasa letih. Matanya melingas-lingas memerhati kalau nampak api di seberang bukit. Dalam gelap malam itu tidak ada apa yang kelihatan, walau pun kabus yang mulai turun menutupi pandangan tetapi mereka dapat mengagak bahawa di seberang bukit adalah tanah pamah. Sekiranya ada api tentulah menembusi kabus tebal berkenaan.
Ketika itulah Jaamat menceritakan pada Pak Andak Deraoh pengalamannya sewaktu sesat di hutan bersama arwah ayahnya Dukun Amid. Kata Jaamat, setelah puas berjalan dia dan ayahnya menemui sebuah rumah buruk. Disebabkan keletihan mereka berdua masuk juga ke rumah buruk itu. Di dapatinya rumah buruk itu adalah rumah tinggal yang tidak didiami lagi.
Dukun Amid menyuruh Jaamat berehat sementara menunggu hari siang. Disebabkan ayahnya ada bersama Jaamat memberanikan juga hatinya untuk tidur. Ayahnya mengumpulkan kayu-kayu buruk yang bersepah dibakar buat unggun api bagi menjauhkan gangguan nyamuk.
Baru Jaamat mahu terlelap dia terdengar ayahnya memarahi sesuatu. Bila dia membuka mata didapati ayahnya sedang bercekak pinggang berdepan dengan satu lembaga yang duduk bersila di atas awang-awangan.
“Awak tak minta izin masuk rumah kawan ni Tok Dukun,” kata lembaga itu dengan suara garau yang sayup di kerongkong.
“Awak jangan cuba nak cari geruh kawan!” jerkah Dukun Amid tidak berganjak dari tempat dia berdiri bercekak pinggang.
Jaamat dapat melihat dengan jelas lembaga berkenaan di satu sudut. Rambutnya panjang sampai menutup muka. Dia duduk seperti di atas pangkin bersila kukuh dengan dua tangan tertumpu ke lutut. Tetapi sebenarnya tidak ada pangkin atau tempat lembaga itu duduk. Dia hanya duduk di atas awang-awangan seolah-olah seperti bunga lalang terapung ditiup angin.
Dia menjadi gerun melihat lembaga itu berkata-kata dengan ayahnya. Hatinya bimbang juga kalau-kalau lembaga itu mengapakan ayahnya, maklum saja ayahnya seorang dukun di kampung. Biasanya dukunlah yang sering menghadapi dugaan demikian kalau tersilap langkah.
“Lebih baik awak pergi,” Dukun Amid mengusir lembaga berkenaan supaya tidak mengganggu.
“Kawan nak pergi kemana, ini rumah kawan,” balas lembaga itu marah.
“Kalau macam tu, biar kawan pergi!” kata Dukun Amid mengertap bibir.
“Suka hati awaklah, tapi kayu-kayu kawan yang awak bakar tu macam mana?” ujarnya macam mengugut.
“Kawan boleh ganti,” sahut Dukun Amid keras.
“Senang awak cakap...” lembaga itu mengejek. Dia tetap berkeras tidak mahu diganti dengan yang baru. Dia mahu Dukun Amid mengembalikan kayu-kayu yang sudah dibakar itu seperti asalnya. Tentulah mustahil mahu menjadikan kayu-kayu yang sudah dibakar kembali seperti sebelumnya.
Dukun Amid bertambah marah dengan ancaman lembaga tersebut. Segala kejadian tersebut dilihat sendiri oleh Jaamat dengan tidak diketahui oleh ayahnya. Sengaja Jaamat berpura-pura tidur tidak sedarkan diri. Apa yang dilihatnya bukanlah mimpi tetapi sesuatu yang nyata.
Dia lihat ayahnya mula duduk sama seperti dilakukan oleh lembaga hitam di penjuru rumah. Bila melihat Dukun Amid sudah duduk lembaga itu cepat-cepat menerkam. Setiap kali dia mahu menghampiri Dukun Amid, lembaga berkenaan melayang bagaikan di tiup angin kencang. Dia terhumban ke dinding menyebabkan dinding rumah itu bergegar kuat.
Jaamat tetap mematikan dirinya memerhatikan kejadian yang tidak pernah dilihatnya. Sebagai anak muda yang sering mengikut ayahnya ke hutan atau mengubat orang, Jaamat tidaklah merasa gementar. Dia masih dapat mengawal dirinya walaupun hatinya benar-benar dalam ketakutan. Dia percaya ayahnya masih mampu mengatasi keadaan yang dihadapinya itu.
“Awak yang menipu kawan sampai kawan tersesat ke sini, “ kata Dukun Amid yang duduk bersila kukuh sambil matanya terpejam. Jaamat tidak tahu yang dilakukan oleh ayahnya.
“Sekarang awak nak ugut kawan pulak ...?” ujarnya macam mengejek lembaga tersebut.
Jaamat nampak lembaga itu seperti menggeliat kesakitan apabila terhumban ke dinding.
“Aku tau asal kau jadi, orang sesat di hutan asal kau jadi...!” tegas Dukun Amid lantas mengangkat sebelah tangannya menghalakan tapak tangan ke arah lembaga hitam yang masih mengeliat-geliat di dinding. “Jangan kau ganggu aku, anak cucu Malim Kerimon yang punya jaga, huh...” dia menumbuk angin dengan pantas.
Apabila penumbuk Dukun Amid dihayun ke udara, lembaga itu terpelanting seolah-olah disinggahi penumbuk Dukun Amid. Dia termengah-mengah bagaikan menahan kesakitan.
“Sekarang pergi kau, pergi!” perintah Dukun Amid.
Perlahan-lahan lembaga itu bertukar menjadi asap langsung hilang dalam kegelapan malam. Selepas lembaga itu hilang barulah Jaamat cepat-cepat bangun mendapatkan ayahnya. Terkejut juga Dukun Amid kerana diketahuinya Jaamat tidak tidur.
“Hah, ini permainan orang ke hutan,” beritahu Dukun Amid kepada anaknya.
Walaupun dipujuk disuruh tidur oleh Dukun Amid, namun Jaamat tidak dapat melelapkan mata. Hatinya tetap teringat dengan peristiwa yang baru berlaku di depan matanya. Masih terpandang-pandang olehnya wajah lembaga itu yang berkedut-kedut sampai wajahnya tidak jelas kelihatan.
Setelah hari siang Jaamat dapati rumah kosong yang dimasukinya itu hanyalah bangsal tempat orang menunggu durian. Bangsal itu sudah reput juga, kerana dusun durian adalah dusun tinggal. Sudah lama dusun itu ditinggalkan semasa perintah Kerajaan Orang Putih menyuruh orang-orang kampung berpindah ke kampung di luar yang berhampiran dengan pekan kecil.
Dusun terbiar itu memang terletak jauh dari kampung iaitu di pinggir hutan. Selepas tidak ada gangguan apa-apa lagi, Jaamat dan ayahnya pun menyeberangi sawah yang sudah menjadi paya sampai ke kampung yang ditinggalkan. Kemudian barulah mereka balik menuju ke kampung tempat tinggalnya.
Cerita Jaamat ini tidak mengherankan Pak Andak Deraoh langsung. Dia hanya tersengih-sengih saja, kerana dia tahu Jaamat mulai takut apabila teringat semula peristiwa dia bersama aruah ayahnya diganggu di rumah buruk.
“Kau takut ke Jaamat?” soal Pak Andak Deraoh sengaja menduga.
Belum sempat Jaamat menyahut tiba-tiba dia terjerit kesakitan. Jaamat terguling ke tanah disebabkan kakinya tersepak akar pokok. Dia jatuh terlibas pada perdu pokok besar di lereng bukit. Cepat-cepat pula Pak Andak Deraoh dan Mat Noh menerpa ke arahnya.
Mat Noh membantu Jaamat duduk bersandar pada perdu pokok. Tetapi Jaamat bersusah payah mahu bangun semula. Dia terkinjal-kinjal menahan sakit sambil memegang bahagian lengan kanan.
“Tangan aku Pak Andak,” bisik Jaamat perlahan merintih-rintih kesakitan.
Pak Andak Deraoh menyuluk ke tangan Jaamat. Hatinya berdebar melihat tangannya bengkok sedikit.
“Jangan bergerak Jaamat,” perintah Pak Andak Deraoh sambil mengenjur-ngenjur tangan Jaamat.
“Patah ke tangan aku ni Pak Andak,” tanya Jaamat kesakitan.
“His, diamlah,” kata Pak Andak Deraoh.
Dia tahu tangan Jaamat memang patah. Mungkin tatkala jatuh tadi tangan Jaamat tersendal pada perdu pokok menyebabkan tulang tangannya terlanggung. Kemudian tubuhnya pula menghimpit tangan yang tulangnya sudah terlanggung itu.
“Patah ke?” desak Jaamat lagi. Memang dia sendiri sudah menduga tangannya patah. Cuma dia mahu kepastian saja dari Pak Andak Deraoh. Jaamat dapat merasakan kesakitan di tangannya itu.
“Cuba kau gerakkan jari tangan kau,” Mat Noh pula menyampuk.
Jaamat mematuhi suruhan Mat Noh. Dia cuba mengerakkan jarinya tangannya, tetapi ternyata tidak dapat digerakkan.
“Hah, patah nampaknya Pak Andak,” beritahu Mat Noh.
Pak Andak Deraoh diam saja. Terus dia memapah Jaamat menuruni bukit sehingga sampai ke kawasan tanah getah. Pokok-pokok getah di situ sudah tua dan dipenuhi belukar senduduk.
“Alhamdulillah, kita sampai ke kampung orang,” ujar Pak Andak Deraoh memapah Jaamat. Dia dapat menduga sudah sampai ke kawasan kampung kerana menemui kebun getah pokok tua itu. Biasanya kebun getah tentulah berdekatan dengan kampung.
Tetapi puas mereka meredah belukar senduduk itu tidak juga kelihatan rumah orang. Malah tidak juga ditemui jalan raya atau jalan kampung yang boleh menjadi pedoman kemanakah mereka telah sampai.
“Di mana kita ni agaknya Pak Andak?” tanya Mat Noh.
“Entahlah,” sahutnya kebingungan.
“Lepas ke Lancang agaknya kita ni,” Mat Noh menduga.
“Kalau ke Lancang tak apa, Ulung Bahar ada di sana,” kata Pak Andak Deraoh masih tidak tahu ke mana mereka telah berada.
Jaamat hanya mendiamkan diri. Bukan saja kesakitan tangannya menyebabkan dia tidak mahu bersuara, tetapi keletihan juga terasa memenatkan badannya. Jam di tangan sudah pukul 3.00 pagi. Waktu begini memang belum ada penoreh yang datang menoreh getah. Walaupun mereka sudah sampai ke kebun getah tua, tentulah tidak akan bertemu penoreh di situ untukbertanyakan di mana mereka sudah tersesat.
Hampir saja Pak Andak Deraoh putus asa. Dia semakin kecewa kerana tidak dapat bertemu jalan keluar. Kerana tidak ada jalan lain untuk dilakukan, dia mengambil keputusan berhenti sebentar duduk di pangkal pokok getah. Jaamat yang kesakitan hanya mengeluh-ngeluh kecil saja.
Ada kira-kira 10 minit berhenti Pak Andak Deraoh pun berdiri lalu azan. Tiga kali dia melaungkan azan, tetapi tidaklah berapa kuat. Selepas azan barulah Pak Andak Deraoh mengajak kawan-kawannya meneruskan perjalanan. Kira-kira serantai jaraknya dia meninggalkan tempat berhenti tadi, ternampak olehnya cahaya api tidak jauh dari situ.
“Itu rumah orang agaknya,” jelas Mat Noh sambil menudingkan jari ke arah api yang berkelip-kelip dalam cahaya kabus tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
Teruslah mereka bertiga menuju ke tempat nampaknya cahaya api tadi. Setelah hampir ke situ memang benar mereka temui sebuah pondok kecil beratap rembia dan berdinding pelupuh buluh. Pak Andak Deraoh sendiri memberi salam. Kemudian muncullah seorang perempuan tua membuka pintu.
“Hai, dari mana awak semua ni?” tegurnya sambil menyuruh naik.
Pak Andak Deraoh menceritakan kepada nenek tua mengenai perjalanannya yang tersesat di hutan Chenor. Terdiam juga nenek itu mendengar penerangan Pak Andak Deraoh yang berjalan dari hutan Chenor hingga sampai di situ.
“Jauh anak-anak semua ni berjalan,” ujar nenek tua itu menerangkan.
“Nenek ini seorang saja ke di sini?” tanya Pak Andak Deraoh.
Orang tua itu menganggok. “Nenek ni dulu berbidan, tapi sekarang ni dah tak larat lagi, dah tua,” dia menjelaskan.
“Sini, apa nama kampungnya nenek,” soal Pak Andak Deraoh lagi.
“Pelangai.....” ujarnya pendek.
Terkejut juga pak Andak Deraoh mendengar jawapan tersebut. Memang jauh mereka sudah tersesat. Hampir sampai ke sempadan Negeri Sembilan. Patutlah terasa jauh mereka meredah hutan. Macam mana pula boleh sampai sejauh itu tersesat masih menjadi tanda tanya pada diri Pak Andak Deraoh.
“Anak yang ini apa kenanya?? perempuan itu mengerling pada Jaamat yang mengerang-ngerang menahan kesakitan.
“Jatuh di hutan tadi nek,” beritahu Jaamat perlahan.
“Bak nenek tengok,” katanya sambil mendekati Jaamat.
Dia meraba-raba tangan Jaamat sambil mengerutkan dahi. “Eh, patah tangan budak ni,” katanya. Bergegas-gegas dia turun ke tanah membawa lampu pelita ayam. Sejurus kemudian dia naik semula membawa sehelai daun nyiur yang baru diambil dari pelepahnya.
“Macam mana boleh jatuh?” tanyanya sambil mengurut-ngurut daun nyiur di tangannya.
“Tergelincir, nek.” Jaamat menerangkan.
“Dah lama nenek tak berbidan, dah tak pandai nak mengurut,” ujarnya macam merendahkan diri. “Tapi, biarlah nenek cuba urutkan ke daun nyiur ni dulu,” katanya sambil mengurut-ngurut daun nyiur di tangannya.
Ketika ini Jaamat terjerit-jerit kecil seperti menahan kesakitan apabila tangan diurut. Seolah-olah nenek itu tidak mengurut daun nyiur, sebaliknya mengurut tangan Jaamat.
“Jadi, nenek bidan di kampung ni dulu?” Pak Andak Deraoh tidaklah merasa curiga lagi. Dia percaya nenek itu memang manusia biasa, kerana rumahnya pun terletak hampir dengan kampung, Masakan di tengah hutan ada kebun getah seperti mereka temui sekarang.
Nenek itu menganggukkan kepala. “Kalau sebut bidan Tet semua orang kampung di hilir tu taulah nenek...” jelasnya perlahan.
“Tak jauh pada kampung?” tanya Pak Andak Deraoh.
“Tak jauhlah, jalan depan sikit jumpalah jalan kampung,” dia menerangkan. “Nanti anak semua keluarlah sampai ke jalan raya. Kalau nak ke Chenor, tunggulah bas ke Karak, kalau nak ke Pelangai naiklah bas ke Mancis,” ujarnya tersengih-sengih menampakkan gusinya yang sudah tidak bergigi.
“Huss, buat apa ke Pelangai. Biarlah kami balik ke Chenor, nanti gaduh pula orang di rumah,” kata Pak Andak Deraoh menjelaskan. Dia sendiri gelisah kalau Mak Andak Nah bimbang dia tidak balik semalaman, kerana tidak pernah dia tidak balik kalau ke hutan.
Sebab itu apabila sampai ke jalan raya dia tidak akan ke mana-mana lagi. Dia akan naik bas ke Karak. Dari sana baru ke Temerloh untuk balik ke Chenor. Jauh benar dia sudah tersesat. Entah mengapa sampai begitu sangat jauhnya tersesat Pak Deraoh tidak faham langsung.
Sambil berbual-bual itu Nenek Bidan Tet terus juga mengurut-ngurut daun nyiur, manakal Jaamat terjerit-jerit menahan kesakitan. Dia langsung tidak menyentuh tangan Jaamat, sebaliknya mengurut daun nyiur yang sudah dibubuh minyak. Lama Jaamat terjerit-jerit barulah dia kelihatan tersenyum. Dia mengenggam jarinya erat-erat sambil tangan kirinya menampar-nampar pada bahagian tangan kanan yang dikatakan patah itu.
“Dah elok?” Pak Andak Deraoh keheranan dengan perubahan pada tangan Jaamat yang membengkak sebelumnya.
“Tak rasa sakit lagi...” beritahu Jaamat sambil menumbuk-numbuk angin dengan tangannya yang patah.
“Betul tak sakit lagi ?” tanya Bidan Tet tersenyum.
Jaamat mengangguk. Dia merasa tangannya pulih sepertia biasa. Tidak ada lagi rasa sakit atau bengkak akibat patah setelah tergelincir pada malamnya.
“Kalau macam tu biar nenek masak air. Bas pun lambat lalu, pukul tujuh baru ada bas lalu,” ujarnya lantas ke dapur.
Pak Andak Deraoh dan Mat Noh pun merebahkan badan kerana terlalu letih. Jaamat juga ikut sama melelapkan mata disebabkan mengantuk dan terlalu letih. Sampai Pak Andak Deraoh tidak sedar untuk bangun sembahyang subuh. Lagipun pakaiannya yang kotor itu menyebabkan dia tidak berniat untuk bangun sembahyang subuh.
Matahari sudah memancar, mereka bertiga pun dikejutkan oleh Bidan Tet. Setelah membasuh muka di perigi, Bidan Tet menyuruh mereka sarapan pagi dengan menghidangkan air kopi dan rebus pisang emas.
Kebun getah tempat tinggal Bidan Tet itu memang dipenuhi belukar senduduk. Tetapi kelilingnya bersih terjaga. Mungkin tidak ada orang mahu menolong menebaskan belukar di sekitar kebun getah tersebut.
Setelah sarapan pagi mereka bertiga pun meminta izin untuk pulang. Pak Andak Deraoh memberi wang sepuluh ringgit pada Bidan Tet sebagai ucapan terima kasih yang ikhlas. Pada mulanya Bidan Tet menolak, tetapi setelah didesak oleh Pak Andak Deraoh dengan alasan sebagai hajat untuk bersedekah, barulah Bidan Tet mahu menerimanya, Disamping itu sebelah daging pelanduk itu diberikannya kepada Bidan Tet.
Selepas itu mereka meninggalkan rumah Bidan Tet. Apabila sampai di sebalik belukar senduduk itu mereka menemui kebun pisang baru ditanam. Tidak jauh dari situ ada tanah perkuburan Islam. Di seberang tanah perkuburan itulah baru ditemui jalan kampung.
Mereka melalui jalan kampung itu. Hanya ada lima enam buah rumah saja berhampiran di situ. Ketika sampai di satu titian kayu menyeberangi anak air mereka bertemu dengan seorang lelaki mahu menoreh getah. Darinya mereka dapat tahu memangmereka hampir sampai ke Pelangai.
Bila disebut Bidan Tet,, lelaki itu mengeluh perlahan. Dia mengeleng-ngeleng kepala macam tidak percaya dengan apa yang diberitahu kepadanya.
“Bidan Tet tu moyang saya,” jelas lelaki itu. “ Lebih 80 tahun dulu dia sudah meninggal ,” ujarnya, tetapi masih terbayang kegembiraan di wajahnya.
Jaamat menunjukkan bekas tangannya yang patah. Masih ada kesan minak yang disapu oleh Bidan Tet. Tangannya yang patah itu pun sudah sembuh dalam sekelip mata saja. Bersungguh-sungguh Jaamat mahu meyakinkan lelaki berumur hampir berumur 50 tahun itu tentang kejadian yang dialaminya itu.
“Pernah juga dua tiga kali orang bertemu dengannya di situ, kebun getah tu memang kepunyaan aruah ayah saya . Tanah pusaka...” lelaki itu menerangkan. “Tapi tidak ada rumah, kecuali bekas tapak rumah aruah moyang saya dulu di situ. Memang ada saya dengar orang menemui dia....” katanya perlahan.
Pak Andak Deraoh percaya dengan penerangan itu. Apabila Mat Noh mengajaknya berpatah balik semula untuk melihat keadaan sebenarnya, Pak Andak Deraoh enggan. Dia meraba poketnya menunjukkan rebus pisang emas yang diambilnya semasa turun dari rumah Bidan Tet. Pisang emas itu hanya pisang mentah yang masih bergetah lagi bukannya pisang rebus.
Sementara seekor pelanduk yang dibelah sebahagian dagingnya untuk Bidan Tet ada di dalam buntil mereka. Wang sepuluh ringgit yang diberikan oleh Pak Andak Deraoh kepada Bidan Tet yang dikoyakkan hujungnya sedikit sebagai tanda juga ada semula dalam saku bajunya.
Memang sejak mula-mula menemui Bidan Tet itu Pak Andak Deraoh sudah mula sangsi, tetapi apabila setiap pertanyaan yang dikemukakan dijawab oleh Bidan Tet tidak langsung mengelirukan menyebabkan kesangsian Pak Andak Deraoh hilang juga. Bagaimanapun setelah mendengar penerangan dari lelaki yang mendakwa cicit Bidan Tet itu, ternyatalah segala tandatanya itu sudah terjawab.
“Kalau cerita dengan orang-orang muda, mana mereka nak percaya,” ujar Pak Andak Deraoh kepada saya semasa dia menceritakan pengalamannya ini dengan saya. “Tapi, inilah kuasa Allah yang tidak terfikirkan oleh akal manusia biasa,” katanya terkuap-kuap menahan mengantuk kerana terlalu lama berbual dengan saya hingga larut malam.
YOU ARE READING
Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)
Terrorkisah penceritaan tentang keseraman melampaui batas.. dan dipetik dari novel seram nukilan tok awang ngah.. semoga anda semua terhibur dan enjoy.. Nantikan siri bercakap dengan jin Misteri jam 12 Jangan tutop lampooo