Angin malam yang bertiup kencang bagaikan menggoncang usungan mayat yang terapung-apung diudara laksana perahu di tengah ombak.Ditengah samar kilauan cahaya bulan yang malap akibat hujan gerimis merintik halus,mat kanun tidak berganjak mengisar tumit ke tanah.
Berpusing-pusing usungan mayat diudara setiap kali mat kanun kisarkan tumit ke tanah.Ketika itu terdengar kesakitan hingga usungan mayat itu bergegar.Sekaligus pula seolah-olah mayat didalam usungan tersebut menggelepar apabila mat kanun menghentak kuat tumit ke tanah.
"Kamu nak buat apa dengan aku ni,mat kanun"lantas kedengaran suara parau dari dalam usungan mayat.
Sengaja mat kanun tidak menyahut apa-apa,tetapi menghembus perlahan dengan membaca tiga kali al-fatihah.Serentak dengan itu usungan mayat berpusar kuat diikuti dengan jeritan nyaring tidak ketahuan.Dari bucu usungan mayat itu terpancut air kehijauan berbau hanyir.
Apabila usungan mayat itu berhenti berpusar,sekaligus tutupannya terpelanting terus menerjah ke arah mat kanun.Belum pun sempat tutup usungan itu menyinggahi mat kanun,tiba-tiba kilat memancar di udara menyambarnya.Tutupan mayat itu terbakar lantas terpelanting jauh di hadapan mat kanun yang tidak berundur ke mana-mana.
Ketika ini bingkas bangun perempuan hodoh dengan rambut menggerbang dari usungan tersebut.Perempuan hodoh itu mengilai panjang seolah-olah mengejek mat kanun.Dengan tidak mempedulikan perempuan hodoh itu,mat kanun mengisar tapak tangannya terus menbacakan surah al-ikhlas.
Sekali gus usungan mayat jatuh terhumban ke tanah,tetapi perempuan hodoh rambut mengerbang itu berlegar-legar di udara.Semasa dia mahu menyerbu ke arah mat kanun,perempuan hodoh itu mengelepar laksana tersangkut pada jaring terentang.Apabila dia mengangkat kepala terkebil-kebil mata perempuan hodoh itu melihat saya tercongok dalam lingkaran cahaya memutih.
"Aku tak bermusuh dengan kamu ustaz"rungut perempuan hodoh itu menyembunyikan muka disebalik rambut mengerbangnya.
Memang saya tidak menyahut apa-apa tatkala berhadapan dengan perempuan hodoh tersebut.Tetapi mat kanun sudah azan tujuh kali menyebabkan berpuluh-puluh tombak menerjah kedada perempuan berkenaan.Sekali gus pula perempuan hodoh itu jatuh tercampak ke tanah.Perlahan-lahan dia merangkak terus masuk semula ke dalam usungan mayat.
"Aku nak pergi sekarang"gerutu perempuan hodoh itu terketar-ketar macam merayu supaya mat kanun tidak meneruskan azan.
"Kalau nak pergi,kenapa tak pergi lagi?"jerkah mat kanun member amaran akan merejam dengan tombak berpuluh-puluh.
"Tak ada siapa nak usung aku"sahut perempuan itu mengeleng-ngeleng lemah menahan tusukan tombak yang bercancang pada dadanya.
"Usunglah sendiri"sengaja mat kanun mengejeknya lantas menuding jari ingatkan perempuan itu supaya segera berundur.
"Macam mana nak usung sendiri?"tersengih-sengih perempuan hodoh itu mengeling ke arah saya bagaikan merayu meminta belas kasihan.
"Kamu fikir ustaz nak kasihankan"terus mat kanun mencebek bibir dengan menghembuskan tiga kali lantas membacakan : Walillahi ghaibus samawati wal-ardhi wa-illaihi yurja'ul amru kulluhu fa'budhu watawakkal'alaihi,wama rabbuka bighofilin'amma ta'malun.
Terlalu marah perempuan hodoh itu disebabkan mat kanun terus menerus berdoa sekalipun tombak berpuluh-puluh masih tercancang pada dadanya.Dia mengeliat-liat menahan kesakitan akibat tusukan tombak berkenaan tidak dapat dicabut.Beberapa kali dia menyeru lelaki tidak berkepala supaya menjengah muka untuk mengusungnya,tetapi tiada siapa pun yang menjongol di situ.
Dalam keadaan marah perempuan hodoh itu menyemburkan air pekat berwarna hijau dari mulutnya.Cepat-cepat mat kanun mengelak disebabkan semburan air liur perempuan hodoh itu menyinggahi belukar anak kayu berhampiran tiba-tiba hangus laksana terbakar.
Apabila perempuan hodoh itu cuba mengancam mat kanun,tidak bertangguh saya mengisar tapak tangan hingga terasa seolah-olah meramas jantung.Sekali gus perempuan hodoh itu terjerit kuat lantas menekup dada dengan lidah terjelir.Tercungap-cungap dia merayu memberitahu mengenai jantungnya bagaikan diramas kuat hingga sukar bernafas.
Segera mat kanun mengejeknya kerana tidak mampu bertahan setelah terasa jantung bagai diramas.Menggelepar dia memberi isyarat tidak akan menyerang mat kanun lagi setelah lidah terjelir menahan kesakitan.Lantas perempuan hodoh itu merungut-rungut mengakui mengenai dirinya lama dikurung moyang labang dibawah himpitan batu bertimpuh di kaki bukit.
Terketar-ketar perempuan hodoh itu memberitahu mengenai uda liyah lama sangat menjanda semenjak ditinggal kan suaminya pateh kibin.Marah sangat pateh kibin apabila keluarga uda liyah menuduh dia sengaja harapkan menumpang di kampung berkenaan.Kalau tidak berkahwin dengan uda liyah nescaya pateh kibin tidak diterima sesiapa pun.
Memang tersinggung pateh kibin apabila mengungkit mengenai dirinya berkulit hitam seolah-olah tidak sepadan dengan uda liyanh.Sebab itu dia ambil keputusan tinggal kan uda liyah berpindah ke kampung lain.Perkara berkulit hitam tidak penting sangat pada pateh kibin kalau takat mahu mencari isteri dimana-mana.
Biarlah dia memilih perempuan yang tidak secantik uda liyah asal sahaja hatinya tenteram.Apalah gunanya kekal bersama uda liyah apabila diungkit pasal dia menumpang di kampung isterinya.Tetapi pateh kibin tidak turun meninggalkan rumah uda liyah dengan perasaan tenang,namun jauh dilubuk jiwanya terpendam rasa dendam yang mendongkol.
Sebelum mengambil keputusan meninggalkan uda liyah,dia sudah tanamkan tiga biji limau di bawah rumah.Selagi tiga biji limau berkenaan terkambus disitu,selama itulah tiada siapa yang mahu melamar uda liyah.Sudah tentu bertahun-tahun uda liyah akan menjadi janda tidak dilamar sesiapa.
Tetapi uda liyah tidak peduli apa-apa sekalipun dia menjadi janda.Biarlah tidak ada sesiapa pun lelaki masuk melamarnya selepas ditinggalkan pateh kibin.Seisi keluarganya mendesak juga supaya uda liyah berkahwin lain,namun hatinya tertutup rapat tidak mahu menerima lelaki melamarnya selain daripada pateh kibin.
"Tentu pateh kibin kenekan ilmu pembenci"gerutu ayahnya aki bagun apabila kenangkan uda liyah tidak mahu lagi berkahwin selepas ditinggalkan oleh pateh kibin.
"Kalau begitu kita ubatkan liyah"ujar sahak tunjal mendesak abang nya supaya berikhtiar.Mereka tidak sepatutnya tunduk mengalah setelah pateh kibin mahu tunjukkan kepandaiannya.
"Aku takkan menguji pateh kibin"sahut aki bagun mencebek bibir mengejek ilmu tangkal pembenci pateh kibin.Apa sangat dengan tangkal ilmu pembenci takat tanamkan tiga biji limau dibawah rumah.Bila-bila aki bagun boleh madalkan tangkal pateh kibin sekiranya bekas menantunya mahu tunjukkan sangat kepandaian yang tidak seberapa.
"Nanti dia besar kepala jika kita biarkan"lantas sahak tunjal mencemik muka disebabkan dendam yang mendongkol terhadap lelaki berkenaan.Memang dia terkilan apabila pateh kibin ingatkan dia supaya tidak mencampuri urusan rumah tangganya tatkala lelaki itu tidak mahu mematuhi kemahuan uda liyah.
"Aku tahu sejauh mana kepandaian dia"tersengih-sengih aki bagun tidak bimbang apa-apa dengan tangkal pembenci pateh kibin.Dia tahu tiga biji limau yang ditanam sekadar harapkan uda liyah melutu ke sisinya mendesak supaya diterima semua menjadi isteri.
Tentu uda liyah akan mematuhi kemahuannya meninggalkan rumah aki bagun selagi limau berkenaan terkambus disitu.Tatkala turun meninggalkan rumah bapa mertuanya memang dia mendesak uda liyah mengikuti kemana saja dia menetap.Tetapi uda liyah tetap berkeras tidak mahu berpisah dengan keluarganya kalau takat mengikut kemahuan suami.
Tatkala aki bagun meletakkan geluk air didepannya,tiga kali sahaja diketuk jari telunjuk pada bibir geluk sekali gus tiga biji limau terapung di dalam air.Tersenyum aki bagun disebabkan dia dapat mengagak ilmu berkenaan ditanam pateh kibin dibawah rumah.Jangan cuba pateh kibin tunjukkan kepandaian didepannya sekiranya kail hanya panjang sejengkal.
Bila-bila dia mampu tundukkan pateh kibin hanya dengan tanamkan ruas tebu dibawah tempayan basuh kaki di tangga cucur atap.Nescaya pateh kibin akan hilang tenaga lelaki sampai tidak berguna apabila mendekati perempuan.Ketika ini tentu pateh kibin akan datang di depannya minta pulihkan semula tenaga lelaki yang lemah tidak bermaya.
Tahu sangat pateh kibin mengenai bapa mertuanya yang mahir sembuhkan sesiapa sahaja hilang tenaga lelaki.Lantas aki bagun menyuruh sediakan akar bertam tergantung tidak cecah ke tanah.Rebus sahaja akar bertam berkenaan minum airnya sampai tiga pagi berturut-turut.
Kemudian dia akan jampikan minyak sapu pada daun pucuk kecubung dengan diurutkan tiga senja berulang kali.Dia akan hembus perlahan dengan membacakan jampi serapah : Gembira ala ali mali,wali mali hidup diatas hidup dibawah,hidup dengan kata hu,bangkit engkau seperti sediakala,dengan gerak hu,berkat hu..
Apabila dia jentik jarinya pada lutut mangsa,nescaya tenaga lelakinya akan pulih tidak bertangguh.Memang pateh kibin tahu sangat pasal bapa mentuanya diharapkan orang-orang kampung.Bukan takat mereka yang hilang tenaga lelaki sahaja harapkan aki bagun,kalau lumpuh tidak boleh jejak ke tanah pun mereka meminta orang tua itu urutkan seluruh badan.
Masakan pateh kibin berani menguji aki bagun kalau sekadar tanamkan tiga biji limau dibawah rumah.Pateh kibin sekadar harapkan uda liyah akan kembali semua kepadanya setelah ditinggalkan.Tetapi bukan mudah dia mahu menundukkan uda liyah semata-mata mahu ikutkan kemahuan dia.
"Kamu jangan nak berbohong"jerkah mat kanun memberi isyarat bahawa dia tahu mengenai uda liyah lama menjanda bukan disebabkan pateh kibin tanamkan tiga biji limau dibawah rumah.
"Nampaknya awak takbur sangat,mat kanun"sahut perempuan hodoh itu mencemik muka tersinggung dengan ejekan mat kanun.
"Uda liyah lama menjada bukan disebabkan pateh kibin"tutur mat kanun terus mengejek untuk menyakiti hati perempuan hodoh berkenaan.
"Awak mana tahu,umur awak pun baru setahun jagung"terkekeh-kekeh perempuan hodoh itu ketawa sengaja membalas ejekan mat kanun.
"Pateh kibin tak tanam tiga biji limau tu"tutur mat kanun memberi isyarat supaya perempuan hodoh itu menatap muka saya tercongok dalam lingkaran cahaya putih.
Mengeleng-ngeleng perempuan hodoh itu tidak berani mengerling ke arah saya.Tetapi dia terus beritahu mengenai uda liyah amalkan mandi bunga tengah malam tatkala bulan mengambang penuh.Tidak lama selepas uda liyah amalkan mandi bunga tengah malam itulah dia berkahwin dengan pak umang.
Ayahnya aki bagan tidak membantah apa-apa dia berkahwin dengan pak umang yang hampir sebaya dengan ayahnya itu.Beberapa bulan saja uda liyah berkahwin dengan pak umang suaminya meninggal dunia dengan kesan dikelar pisau pada lehernya.Sebab itu orang-orang kampung syak uda liyah yang kelar leher suaminya dengan pisau biar dapat sapukan darah ke mukanya selepas mandi bunga tengah malam.
Tetapi siapa pun tidak berani ungkit mengenai kematian pak umang kerana bimbang jelmaan lelaki tidak berkepala akan mengaggu.Mak andak yang lancang mulut menuduh uda liyah kelar leher bapa saudaranya itu tergamam membuka pintu serambi,apabila jelmaan pak umang tidak berkepala tercegat di tengah halaman.
Sebaik sahaja terdengar orang memanggilnya dari tengah halaman,segera mak andak membuka pintu tatkala senja samar-samar mengepak.Terkaku mak andak melihat jelamaan bapa saudaranya pak umang tercegat dengan tidak berkepala.Darah mengalir pada leher pak umang sambil tangannya melambai-lambai ingatkan mak andak supaya tidak bimbang apa-apa.
ketika suami mak andak menerpa ke pintu jelmaan berkenaan hilang laksana asap nipis di puput angin.Sebab itu anjang saikir ingatkan isterinya mak andak supaya tidak ungkit sangat mengenai kematian pak umang.
Tidak lama selepas kematian pak umang,seisi kampung menjadi heboh apabila uda liyah berkahwin lagi.Marah benar aki bagun dengan keputusan uda liyah berkahwin dengan mat deman yang masih muda benar.Sebab itu aki bagun usir anaknya supaya tidak jejak kaki di kampung berkenaan.Biarlah uda liyah tinggal kan kampung halaman daripada meneruskan perbuatannya amalkan mandi bunga tengah malam.Aki bagun dapat mengagak tentu anaknya sudah dirasuk syaitan hingga tidak dapat lagi mengawal perasaan.
Hanya beberapa minggu selepas uda liyah meninggalkan kampung halaman bersama suaminya mat deman,seisi kampung gempar apabila menemui aki bagun terkejang mati dengan kesan berkelar pada lehernya.Masakan uda liyah kelar leher ayahnya dengan pisau tatkala dia jauh meninggalkan kampung halaman.
Beberapa bulan setelah berkahwin dengan uda liyah,orang-orang kampung tempat mereka berpindah pun diberitahu mengenai kematian mat deman.Kesan berkelar dengan pisau pada lehernya juga masih memercik darah tatkala mayatnya dimandikan.Memang uda liyah mengakui dia sendiri tidak tahu bagaimana suaminya mengalami kejadian demikian.
Bimbang juga uda liyah mahu berkahwin lagi setelah menyedari suaminya akan dikelar leher.Asal sahaja bulan mengambang penuh memang dia amalkan mandi bunga tujuh warna di telaga.Dia akan lumakkan mukanya dengan darah ayam selasih setelah selesai mandi sebaik diasap kemenyan.
Sepanjang malam dia tidak membenarkan suaminya menjengah masuk ke bilik hingga tiga malam berturut-turut.Ketika ini uda liyah sekadar ditemankan puteri yang tidak kelihatan didalam gelap gelita.Dia sekadar mendengar bisikan puteri berkenaan supaya berbaring dengan membuang semua pakaian.
Tiga malam berturut-turut dengan puteri berkenaan,dia sekadar menjamah bertih yang disediakan di dalam tujuh piring.Suaminya tidak dibenarkan menjengah kedalam bilik sebagai pantang larang yang mesti dipatuhi.Sekiranya melanggar pantang larang nescaya lehernya di kelar dengan pisau tajam hingga menggelepar terguling di lantai.
"Mat deman melanggar pantang larang"tutur perempuan hodoh yang terkial-kial dalam usungan mayat menahan kesakitan akibat tusukan tombak pada dadanya.
Lantas saya bisikkan pada mat kanun supaya tidak melayani perempuan hodoh berkenaan.Segera mat kanun membacakan al-fatihah tiga kali menyebabkan usungan mayat berputar-putar tidak menentu.Tercungap-cungap perempuan hodoh itu berpaut kuat supaya tidak tercampak akibat usungan mayat berputar-putar.
Biarlah perempuan hodoh itu menjelaskan mengenai uda liyah terpaksa berkahwin dengan tujuh lelaki dalam satu waktu,tetapi saya mengingatkan mat kanun jangan melayaninya.Perkara uda liyah berkahwin dengan tujuh lelaki semata-mata tidak mahu berlaku kejadian leher suaminya dikelar,tidak sama dengan jelmaan perempuan hodoh yang sengaja mahu memperdayakan mat kanun.
Perempuan hodoh berkenaan jelaskan mengenai pantang larang mandi bunga tatkala bulan mengambang penuh biar uda liyah kelihatan tidak dimamah usia,mestilah berkahwin sampai tujuh suami dalam satu masa.Kalau uda liyah sekadar berkahwin dengan seorang suami saja nescaya lelaki itu mati dikelar leher.
Memang uda liyah tidak mahu suaminya mati dikelar leher akibat melanggar pantang menjengah dia di dalam bilik sewaktu berkurung tiga hari berturut-turut.Sebab dia terpaksa berkahwin sampai tujuk suami dalam satu masa.Siapa pun suaminya tidak syak apa-apa,di sebabkan mereka sentiasa melihat uda liyah sentiasa di sisi.
Hinggalah salah seorang suaminya mati akibat tercekik tulang ayam,serba salah juga uda liyah mahu menjengah.Kalau dia gagahi juga menjengah sudah tentu keluarga suaminya cam mengenai dirinya berkahwin sampai tujuh orang suami.Ketika inilah perempuan hodoh itu menjelma lindungkan uda liyah menyebabkan keluarga suaminya tidak peduli sangat sama ada dia menjengah atau tidak.
Tetapi moyang labang menyedari kejadian yang menimpa keluarganya sendiri apabila berkahwin dengan uda liyah.Dia tahu mengenai uda liyah berkahwin dengan tujuh lelaki hingga kelihatan sentiasa berwajah muda.Lantas moyang labang beritahu semua suami uda liyah disebabkan mereka berkahwin dengan seorang perempuan.
Sebaik sahaja rahsianya terbuka,tiba-tiba sahaja uda liyah hilang dari kampung berkenaan.Tetapi moyang labang tidak mengalah sekalipun semua suami uda liyah menuduh dia mahu memisahkan mereka dengan perempuan itu.Masing-masing rela menjadi suami uda liyah asal sahaja perempuan itu menerimanya.
Sebab itu moyang labang sediakan air tujuh geluk,lantas memakai pakaian serba hitam dengan selempang juga berwarna merah.Dia mengenggam keris panjang sejengkal dengan luk tiga berhulu kayu cengal.Apabila moyang labang sudah siap berpakain demikian,memang dia akan menyeru segala sahabatnya yang tidak boleh dilihat sesiapa pun.
Tatkala jelmaan sahabatnya tercongok disisi,moyang labang melihat perempuan hodoh berlegar-legar memegang tangan uda liyah mahu melarikan diri.Tetapi mereka berdua terkurung di kawasan pondok beratapkan daun bertam dianyam.Apabila moyang labang menhembuskan jampi serapah,sekaligus rumah beratapkan bertam dianyam itu terbakar disambar api.
Terkejut perempuan hodoh itu apabila api menyambar pondok beratapkan bertam dianyam.Terpaksa dia lepaskan uda liyah terus melayang ke udara.Ketika ini uda liyah tidak dapat mengelak,terus terperosok ke dalam pondok terbakar dalam jeritan mengerikan.
Ketika ini seisi kampung menyedari rumah uda liyah terbakar hangus menyebabkan perempuan itu terkurung tidak dapat melepaskan diri.Selama dia menghilangkan diri memang uda liyah tidak kemana-mana,tetapi sekadar tercongok ditengah rumah dengan tidak dilihat oleh sesiapa.
Kalau tidak disebabkan rumahnya terbakar disambar api,memang semua suaminya tidak menyedari uda liyah tercongok didalam rumah.Mereka mendengar jeritan uda liyah meminta pertolongan,tetapi siapa pun tidak mampu menyerbu ke tengah api marah bernyala itu.
Tetapi perempuan hodoh yang melayang ke udara tidak dapat lari kemana-mana.Dia terpampan pada lembaga tinggi yang tercegat hingga kepala cecah ke awan.Tidak tertangguh moyang labang ikat seluruh tubuh perempuan hodoh itu dengan rantai besi terus dicampakkan ke bawah batu bertimpuh.
"Aku pasung kamu di bawah batu ni,pelesit"bentak moyang labang sebaik sahaja perempuan hodoh berkenaan diperosok ke bawah batu berkenaan
Dalam keadaan marah itulah jiran-jiran mendengar moyang labang membentak menyebut pelesit.Mereka sendiri tidak tahu mengenai pelesit yang dituturkan oleh moyang labang tatkala dia menghadapi tujuh geluk air yang menggelegak bagaikan mendidih terjerang di tungku.
"Moyang labang dah bertahun-tahun mati"lantas mat kanun mencebek bibir mengeling perempuan hodoh terkial-kial diatas usungan mayat."Kamu jangan nak memperdayakan aku"dia memberi amaran supaya jelmaan usungan mayat itu tidak menganggu penduduk kampung.
"Memang aku nak pergi sekarang"sahut perempuan hodoh itu cuba mencabut tombak yang tercancang menusuk dadanya.
"Tapi,kenapa tak pergi juga?"jerkah mat kanun terus azan hingga tujuk kali diikuti dengan membacakan surah al-ikhlas,surah al-falaq dan surah an-nas.
Sekali gus jerit perempuan hodoh itu melangsing ke udara sebaik sahaja kilat memancar diikuti petir berdentum.Alam silauan cahaya kilat itu kelihatan usungan mayat disambar api menyebabkan perempuan hodoh terperangkap disitu.Ketika ini mat kanun menghembuskan ke arah usungan mayat yang terbakar dengan membaca : Huwa auwallu wal-akhiru wal-zahiru wal-batinu wahuwal'ala kulli syai'in qodir.
Tatkala saya mengusap-ngusap muka,mereka yang berkumpul dia atas surau beritahu mengenai mat kanun baru saja naik menjejakkan kaki.Tersenyum mat kanun mengerling saya,lantas duduk di sisi ayahnya malim tekih.
"Kamu dari mana,mat kunun?"tutur malim tekih apabila melihat anaknya berpeluh hingga basah belakang bajunya.
YOU ARE READING
Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)
Hororkisah penceritaan tentang keseraman melampaui batas.. dan dipetik dari novel seram nukilan tok awang ngah.. semoga anda semua terhibur dan enjoy.. Nantikan siri bercakap dengan jin Misteri jam 12 Jangan tutop lampooo