Bahagian 3

969 53 14
                                    

Siang bertukar malam dan Fikri tiba di rumahnya. Selesai memarkir kereta dia bingkas masuk ke dalam rumah.

Hatinya berbunga dek kerana dapat menghabiskan masa bersama May. Gadis yang berjaya mencuri hatinya.
Sepanjang perkenalan mereka, May dan Fikri tidak pernah bersentuhan apa lagi melakukan perkara tidak senonoh.

Bagi Fikri, martabat wanita itu tinggi dan perlu dihormati. Sebab itulah dia hanya akan menyentuh May bila mereka diijab kabulkan.

Fikri sedar yang orang ramai menggangap May sebagai gadis berdosa kerana tidak menutup aurat dan sentiasa memakai pakaian sendat lagi ketat.

Tapi Fikri kenal May, May bukanlah gadis liar atau sombong. Sebaliknya gadis itu sopan dan baik hati.
Pintu rumah dibuka dan Fikri menapak ke dalam.

“Mama..ohh mama..Fikri dah balik ni” kata Fikri sambil matanya mencari ibunya di dalam rumah semi-D dua tingkat miliknya.

“Tuan Fikri dah balik ye..nak minum apa?” soal Mak Jah yang juga pembantu rumah.

“Takpe mak jah, nanti kalau saya haus saya ambil sendiri..oh ya mama mana?” soal Fikri.

“Ade duduk kat halaman belakang tu” jawab Mak Jah.

Fikri terus berjalan ke halaman belakang tanpa bersuara. Di sana kelihatan seorang wanita berumur 50an duduk di kerusi roda.

“Mama, Fikri dah balik ni” kata Fikri lembut sambil menyalam tangan Ibunya yang berkedut.

Datin Lina, Ibu Fikri diam membisu dan termenung kosong. Mukanya pucat dan bibirnya kering. Keadaannya juga tidak terurus dan nampak sekali seperti orang gila.

Mak Jah hanya melihat Fikri berbual dengan Ibunya dari dalam rumah. Sayu hatinya melihat anak muda itu bersungguh-sungguh berborak sedangkan Datin Lina hanya diam termenung.

Keluarga Datin Lina yang dahulunya gembira berubah menjadi tragedi pabila Dato Razali meninggal dunia akibat serangan jantung.

Kematian mengejut itu membawa banyak malapetaka kerana Syakirat Razali Enterprise milik Dato Razali di ambang muflis. Pada masa itu Fikri baru tamat pengajian dari Australia dan menjadi penganggur seketika. Sementara adik Fikri iaitu Farah baru sahaja memulakan pengajiannya di Universiti Malaya.

Sikap manja dan tidak bertanggungjawab Fikri menyebabkan syarikat itu muflis kerana dia tidak mampu menguruskannya dengan baik. Selepas kematian Ayahnya barulah Fikri sedar yang dia perlu meneruskan legasi Ayahnya.

Namun sayang seribu kali sayang. Kekurangan pengalaman membuat Fikri sering salah langkah. Ketika itulah dia menyesal kerana tidak mahu membantu Ayahnya semasa masih hidup.

Harta mereka disita dan digadai. Farah pula nyaris-nyaris berhenti belajar kerana tidak mampu membayar yuran. Fikri bernasib baik kerana dia masih ada wang simpanan dan dia diterima untuk bekerja di salah satu syarikat terkemuka dia Malaysia.

Kehilangan harta dan suami membuat Datin Lina berubah menjadi mayat hidup. Dia sering meracau dan termenung. Sikapnya tidak ubah seperti orang gila.

Sementara Fikri berubah menjadi lelaki yang lebih bertanggungjawab.
Kehidupan mereka semakin baik tapi tidak semewah dahulu. Jauh disudut hati Fikri menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku.

***

“Aisyah udah-udahlah main game kat phone tu..kamu tak sakit mata ke?” soal Aliya pada adiknya.

“Sikit lagi kak..nak menang dah ni” balas Aisyah.

Mata Aisyah masih terpaku pada skrin telefonnya sambil jari jemari menari atas skrin. Fokus sungguh sedangkan kalau belajar tak pernah fokus macam ni.

Aliya hanya menggeleng kepala melihat gelagat adiknya. Mereka berdua kini berada di HKL menemani Encik Karim dan Puan Fatimah.

“Haa Aliya, kamu dah jumpa sepupu Anis ke?” soal Puan Fatimah tiba-tiba.

Aliya tergamam. Macam mana ibunya tahu? Pasti Ibunya akan memaksa dia berkahwin dengan sepupu Anis. Sungguh Aliya tidak berkenan. Jumpa pun belum. Entah lelaki tu handsome atau tak.

“Errr..macam mana mak tahu?” soal Aliya tersengih.

“Mak jumpa Anis kat pasar dua hari lepas. Dia cakap kamu susah betul nak diajak berjumpa. Kenapa Aliya?” kata Puan Fatimah lagi.

“Malas la mak..Aliya nak kumpul duit dulu. Nanti-nantilah cerita pasal kahwin tu ek” balas Aliya.

“Ayah tahu, tapi kalau boleh jangan la lambat sangat. Ayah teringin nak tengok kamu bersanding” kata Encik Karim.

Aliya tersentak. Kata-kata Ayahnya kedengaran sayu.

“Apa Ayah cakap ni..mesti la Ayah sempat tengok Aliya bersanding. Baiklah. Aliya memang nak jumpa mamat tu tapi minggu depan” kata Aliya lagi.

Ibu dan Ayah Aliya tersenyum. Peluang untuk anak mereka bernikah kelihatan cerah. Dalam fikiran Aliya bercelaru. Dia belum bersedia tapi pada masa sama dia tidak mahu melihat mereka kecewa.

“Bila dah keluar nanti Ayah nak melawat Abang Long” kata Encik Karim pula.

Kata-katanya membuat Aliya sekali lagi terkejut dan Aisyah terhenti bermain telefon.

“Abang Long? rindu abang…” getus hati Aliya. Hatinya mulai sedih.

***

“Ma..tadi Fikri tengok wayang dengan Maidatul” kata Fikri

Fikri duduk di tepi katil sambil menyisir rambut mamanya. Malam kian larut dan itulah rutin Fikri tiap malam.

Menyikat rambut ibunya sebelum tidur sambil bercerita tentang kehidupan harian. Fikri berharap Ibunya akan berbicara dengan Fikri.

Menurut doktor, ibunya mengalami gangguan mental sejak kematian Ayahnya. Tidak ada ubat yang boleh menyembuhkan ke”bisu”an Datin Lina. Semuanya bergantung pada Datin Lina sendiri sama ada dia mahu bercakap atau tidak.

“Maidatul tu lawa kan ma..Fik jatuh hatilah kat dia.” Kata Fikri lagi.

Tangan Fikri masih sibuk membelai rambut Ibunya. Datin Lina diam merenung dinding. Duduk kaku bagaikan patung. Matanya sayu.

“Ma..Fikri rasalah..Fikri nak ambil dia sebagai isteri..boleh ke ma?” soal Fikri

Dia betul-betul berharap Ibunya akan menjawab kerana ini soal perkahwinan. Satu perkara yang besar dalam hidup. Lama Fikri menatap wajah Ibunya, menunggu dengan harapan Ibunya akan berbicara.

Keadaan jeda seketika. Fikri mengeluh. Tangannya berhenti menyikat. Nampaknya Ibunya masih tidak mahu bercakap.

Dengan hati kecewa, Fikri membaringkan Datin Lina dan menyelimutinya. Satu kucupan lembut diberi ke dahi Datin Lina sebelum Fikri menutup lampu bilik dan keluar.

Pintu bilik ibunya ditutup perlahan.

Bersambung…



MISS BAWANG : KASIH TANPA SEMPADANWhere stories live. Discover now