Siti meneguk air milo suam itu perlahan-lahan. Kemudian diletakkan gelas bertangkai 'Emily The Strange' itu di atas meja kopi.
Siti termenung. Banyak difikirkannya. Sejak Puan Zana dan Encik Firdaus bertolak ke Terengganu atas urusan kerja sejak seminggu lalu, Siti banyak menghabiskan masa membaca buku dan menonton video tentang ajaran agama, falsafah dan motivasi diri. Mujurlah ada Bibik Farida yang ramah dan bersifat keibuan itu sedikit sebanyak membantu Siti memulihkan keyakinan dirinya akibat trauma ketika sakit dahulu.
"Mengapa Cempakapura, bukan Kemboja?" Siti berbisik kepada dirinya. Lantas dia mencapai buku Kursani Segenap Bimasakti dan membuka mukasurat 383. Dia memerhatikan peta yang menggamit rasa ingin tahunya tempohari.
Siti mencapai Tarikh Fathani yang tersusun kemas di atas meja belajarnya bersama beberapa buku lain. Dia meneliti isi kandungannya beberapa lama.
Kemudian Siti membuka A Record of Cambodia: The Land and Its People yang diambil dari catatan Zhou Daguan, seorang diplomat di bawah pemerintahan Maharaja Chengzong dari Dinasti Yuan. Matanya ligat membaca bahagian-bahagian tertentu. Kemudian dia mencapai Southeast Asia: From Prehistory to History karangan Ian Glover. Lama dia menelaah buku tersebut. Dia sekali-sekala mencatatkan sesuatu di dalam buku notanya sebelum menyambung kembali pembacaan.
Seakan-akan belum puas, Siti bangkit lalu mengambil lagi beberapa buah buku dari mini perpustakaannya. Dia membaca dan membaca lagi.
"Negeri Cempakapura..." bisik Siti perlahan.
"Peta ini ada dalam Kursani Segenap Bimasakti, bab Chapter 'X' Dalam Sejarah Raja-raja Melayu pada topik Keajaiban Tarikh Fatani. Bulatan besar di sebelah atas itu ada tertulis perkataan 'Cempakapura' menunjukkan kedudukan negeri ini di Indochina. Bila aku buka buku-buku ini, memang menunjukkan ada hubungan antara negeri-negeri Melayu purba pada masa silam dengan negeri orang Khmer ini," ujar Siti sendirian.
"Hmm... Tarikh Fatani ini amat berharga sekali kepada khazanah sejarah bangsa Melayu, kerana ia merekodkan kewujudan Srivijaya kira-kira satu abad sebelum penemuan terkenal George Cœdès berkenaan Srivijaya! Ini amat menarik sekali," mata gadis itu bersinar-sinar penuh rasa ingin tahu.
Selain itu, Tarikh Fatani ini telah merekodkan kewujudan negeri-negeri Melayu Segenting Kra seperti negeri Jaya, Senggora, Legur selain Patani. Juga hubungan antara negeri-negeri Segenting Kra tadi dengan Srivijaya, dinasti Sailendra (disebut 'Sulandera') dan Angkor/Kemboja serta Kedah dan Langkasuka.
Dalam Tarikh Fatani dijelaskan bahawa sebelum kekuasaan Srivijaya meluas, Langkasuka telah pun wujud dan mengandungi persekutuan negeri-negeri seperti Kedah, Patani, Legur dan Senggora.
Ketika negeri Jaya berperang dengan Kemboja, negeri orang Khmer itu dipanggil oleh orang Melayu sebagai Cempakapura. Diceritakan bahawa Cempakapura tewas dan oleh kerana Jaya berada di dalam pengaruh Srivijaya, maka secara tidak langsung Kemboja berada di bawah kuasa empayar maritim itu. Peristiwa ini memang mirip dengan catatan sejarah seperti dalam Kitāb al-Masālik w'al- Mamālik oleh Ibnu Khordadbeh (870 Masehi) atau Muruj adh-dhahab wa ma'adin al-jawahir oleh Masudi (947 Masehi).
Panggilan 'Cempakapura' ini cenderung berlaku sebelum Jayavarman II mengasaskan Angkor, jadi sebutan 'Cempakapura' ini jelas merujuk kepada Chenla, yakni negeri orang Khmer sebelum era Angkor.
"Bayangkan, kitab riwayat Melayu ini telah merekodkan sejarah dan geopolitik Asia Tenggara sekurang-kurangnya seawal abad ke-9 Masehi di kala belum wujud kerajaan orang Thai seperti Sukhotai dan Ayutthaya yang hanya wujud bermula abad ke-13 Masehi. Benda-benda macam ni yang membuka mata aku sekarang pasal sejarah Melayu. Ada banyak perkara-perkara tersembunyi dan tidak aku ketahui selama ini," Siti mengertap bibirnya lantas memalingkan wajahnya ke jendela.
"Jadinya...Cempakapura adalah Chenla, dan mungkin nama negeri 'Kemboja' mula dipakai mewakili era Angkor dan digunakan sehingga ke hari ini," getus Siti sambil mencatatkan sesuatu dalam buku notanya.
Dia membaca lagi. Disebutkan tentang gelaran 'kamtvan' yang ada tercatat dalam baris:
kaṃtvan 'añ stac dau paramanirvvāṇapada hoṅ ta viṅ jā senāpatiy ta vraḥ pāda
kamrateṅ 'añ śrīudayādityavarmmadeva gi ta viṅ dār prasāda bhūmi neḥ sotIni pada prasasti 208, ditemui di Wat Baset, Battambang di Kemboja.
Ada satu gelaran yang benar-benar menarik perhatiannya membuatkan matanya terhenti seketika di tengah-tengah pembacaan.
Kamtvan Kambojaraja
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Mystery / ThrillerSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...