SITI terpegun melihat potret besar itu. Wanita muda dalam lukisan itu sungguh cantik. Sekali pandang seperti Nia Zulkarnaen, pelakon Indonesia era 90-an. Bila renung matanya, macam Siti Nurhaliza. Tapi raut wajahnya lebih garang, macam iras-iras Gal Gadot, pelakon Wonder Woman.
Kebaya hijau yang dipakainya sungguh megah; dengan pelbagai aksesori di leher, dada dan pergelangan tangan. Wajahnya memandang ke depan, dengan penuh yakin. Matanya bersinar membulat. Tangan kanannya menopang di atas meja kecil. Kedua pehanya rapat penuh sopan, menimbulkan suatu prestij pada bentuk kain batik Jawanya, yang dipadankan dengan kasut kain baldu yang tampak mahal.
Gadis itu mendekati potret tersebut, mengamati dan menghayati seni di dalamnya, di antara garis-garis dan warna. Dia begitu terpegun dan asyik dengan lukisan wanita berkebaya hijau itu.
"Cik Puteh Mawar Amarawangsa?"
Adakah sama dengan Cik Mawar Cantik?, detik hati Siti.
Siti merenung potret itu dengan begitu asyik. Tiba-tiba dia perasan tangan kiri wanita dalam lukisan seakan menunjuk ke arah lantai dalam lukisan itu!
"Iti!"
Siti tersentak. Suara Tok Bidin memanggil. "Manala cucu aku ni, tadi ada kat sini."
"Sini haaa."
Siti tersenyum melihat Tok Bidin terpisat-pisat melihat ke sana ke sini mencari-cari dirinya. Padahal dalam satu ruangan je pun. Cuma ruangan itu adalah berbentuk hall atau 'dewan' yang besar dan panjang. Namun tak dinafikan, Tok Bidin ni memang rabun jauh.
Tok Bidin berjalan perlahan-lahan ke arah Siti. Namun anehnya, wajah Tok Bidin berkerut melihat Siti berdiri di sisi potret itu. "Mengapa Tok?" tanya Siti curiga.
Wajah Tok Bidin seakan terpegun melihat Siti. Matanya sekejap melihat ke arah potret, sekejap ke arah Siti. Siti mula merasa tidak selesa. Tok Bidin semakin galak, matanya liar memandang tubuh Siti dari atas sampai bawah!
Dah tua bangka masih kuat bernafsu!
Getus hati Siti. "Sabar, jangan sangka buruk," Siti cuba menenteramkan dirinya.
"Tok!!!"
Tok Bidin seperti terperanjat yang amat sangat. Tiba-tiba dia menundukkan kepalanya sambil kedua telapak tangannya dicantumkan ke dahinya. "Yang Mulia Amarawangsa! Ada apa-apa lagi tugas yang perlu saya buat?"
Kali ini Siti pula terpegun. Pelik dia melihat aksi Tok Bidin yang begitu luar biasa. Tok Bidin kekal dalam posisi begitu, kepalanya tunduk di hadapan Siti dengan kedua telapak tangan seakan-akan gaya menyembah raja dalam filem-filem atau teater.
"Tok... Tok Bidin... kenapa ni?"
Tok Bidin perlahan-lahan mengangkat wajahnya, memandang ke arah Siti. Tak semena-mena wajahnya berkerut-kerut lagi. Tangannya yang berada di atas dahi perlahan-lahan diluruskan ke bawah.
Tok Bidin kelu seribu bahasa. Wajahnya penuh rasa terharu. Dia hanya menunjukkan ke arah potret. Siti terus menoleh ke arah potret tersebut.
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Mystery / ThrillerSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...