"Sepatutnya kamu dah berusia 30 tahun baru Tok Bidin bukak rahsia ni, tapi takpelah. Bila kamu sebut nama tu, maknanya kamu sudah berhak tahu. Tapi Tok Bidin kesal sebab Pak Lang kamu bagitau nama tu terlalu awal, sedangkan kami sudah berjanji ikut adatnya..."
Mata Siti terbuka. Rupanya dia terlelap tadi. Meja bacaannya agak berselerak. Laptop masih terpasang. Dia melihat ke arah jam. Pukul 2.45 pagi.
Kerja-kerja menyusun salasilah keluarga masih banyak belum selesai. Siti menggelintar antaramuka perisian Gramps itu. Begitu asyik dia menyunting nama-nama di dalam perisian.
Sepatutnya kamu dah berusia 30 tahun baru Tok Bidin bukak rahsia ni
Jari-jemari Siti terhenti. Suara Tok Bidin masih terngiang-ngiang di dalam kepalanya. Rahsia...
"Rahsia apa?" Siti bersuara kecil.
Apa lagi rahsia yang aku tidak tahu. Okay, Seri...si syaitan betina itu sudah memberitahuku banyak perkara... tentang Grahi, tentang Puteri Srimala. Tok Bidin sudah buka banyak rahsia tentang moyang-moyangku. Panglima terhebat negeri ini. Apa lagi...apa lagi?
Hati Siti berkata-kata resah.
"Cuma aku nak tahu, takkan sejarah hebat keluargaku ini, tidak ada sepatah habuk pun bukti peninggalan seperti istana, harta, dokumen atau sebagainya? Cuma satu, potret Mawar Garang. Namun yang peliknya, mengapa potret itu tidak disimpan oleh keluargaku? Mengapa Tok Bidin entah siapa itu pula yang menyimpan potret moyangku itu? Adakah tok nenek ku telah menjualnya kepada Tok Bidin sebab nakkan wang? Hmmm..." ujar Siti perlahan.
Tapi Tok Bidin kesal sebab Pak Lang kamu bagitau nama tu terlalu awal, sedangkan kami sudah berjanji ikut adatnya..."
Berjanji apa!?
Mahu terpekik Siti. Suara Tok Bidin masih menganggu fikirannya.
"Berjanji apa? Bagitahulah terus terang. Mengapa nak tunggu umur sekian-sekian? Dibuatnya orang-orang tua ini mati dahulu, dah sudah... aku tak dapat tahu rahsia itu. Pak Lang pula bila ditanya, macam mengelak-ngelak. Tapi katanya berjanji nak bagitau rahsia... apebende la semua ni..." Siti melepaskan nafas beratnya.
Perlahan-lahan Siti menyandarkan bahunya ke kerusi. Dia mengingat-ngingat bahagian terpenting dari percakapan Tok Bidin tentang moyangnya. Matanya merenung ke arah skrin laptop namun fikirannya melayang...
Beginilah... biar Tok Bidin cerita dari mula dan yang sebenar-benarnya untuk kamu. Mawar Garang ini sebenarnya punya gelaran turun-temurun iaitu Cik Puteh Inang Sebelas.
Ini bermakna ada sepuluh 'Cik Puteh Inang' atas dia. Mawar Cantik, nama yang kamu tanya-tanya tu adalah Cik Puteh Inang Tujuh, hidup pada zaman Sultan Iskandar Zukarnain, yang namanya ada disebut dalam Misa Melayu.
Cik Puteh Inang Sebelas.
Cik Puteh Inang Tujuh.
Siti mengulang nama-nama itu di dalam hati.
Cik Puteh Inang Sebelas ialah, MAWAR GARANG.
Cik Puteh Inang Tujuh ialah, MAWAR CANTIK.
Siti merenung-renungkan maksud-maksud tersirat dari nama-nama itu. Matanya melirik ke atas dan ke arah laptop. Kemudian ke kanan. Melihat cicak menyusuri dinding menuju ke siling. "Apakah ada maksud tersirat dari nama-nama ini?" bisik Siti.
Siti mengingat-ngingat lagi kata-kata Tok Bidin.
Ada lebih dari itu, dan kamu akan terkejut.
Kamu adalah Cik Puteh Inang Duabelas.
Aku. Aku adalah Cik Puteh Inang Duabelas. Hebatkan? Tapi untuk apa? Hanya aku dan Tok Bidin yang tahu. Ibu dan ayah? Mereka tak tahu. Sebabnya, mereka tak pernah menceritakan kisah-kisah pelik semacam ini kepadaku. Pak Lang? Mungkin dia tahu, tapi apa fungsinya untuk aku? Namaku bukan berpangkalkan Engku, Tengku, Puteri atau apa-apa. Cerita Mawar Garang memang hebat, tapi untuk apa? Aku tak pandai bersilat sepertinya dan aku tak pandai mengendalikan senjata api. Aku tidak pandai mengetuai satu kumpulan tentera atau memiliki pengikut yang ramai?
Aku... Siti. Yang masih sakit. Tercicir dari pelajaran dan impian...
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Mystery / ThrillerSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...