Bab 13 : Anak Murid Raja Andak

672 14 5
                                    


"Kamu cari siapa?" wanita berkebaya merah bertanya.


Dammakorat masih memandang ke anjung rumah yang tinggi itu. Dia masih tidak percaya wanita cantik ini adalah Mengkong Merah.

"Aku cari suamimu, Mengkong Merah!" balas panglima Siam itu.

Siti Merah tersengih. "Akulah Mengkong Merah."

Dammakorat terpana. Geram juga dia pada Wiciankiri kerana tidak memberitahunya bahawa Mengkong Merah adalah seorang perempuan muda yang cantik begini. "Perempuan? Ketua semua lelaki dalam kubu ini seorang perempuan?" rungut Dammakorat perlahan dalam bahasa Siam Ligor.

"Red Mengkong... takkan tuan tidak pernah mendengarnya di Bangkok? Ketika aku mengikut Mister Hunter berurusan dengan orang paduka raja Siam baru-baru ini, mereka di istana pengampunan sedang kecoh dengan berita Raja Perak mengutuskan Red Mengkong untuk menjaga sempadan wilayahnya selepas perang tiga tahun lepas," sampuk John, dalam bahasa Siam tengah bercampur-campur perkataan dialek selatan.

Dammakorat menjeling John. "Manalah aku tau! Aku bekerja bawah Raja Ligor, kali terakhir aku ke Bangkok lima tahun lepas. Satu lagi... Siam kalah dalam perang itu sebab orang sebangsa kamulah yang khianat pada kami! Ini... ini... yang kamu kata bina kubu ni, si Low keparat itu yang tolong Raja Perak!" sembur Dammakorat, keras tetapi perlahan. John terkebil-kebil disergah begitu.

"Kapten Low tak bina kubu ini. Akulah yang bina. Aku, Mengkong Merah," tiba-tiba Siti Merah bersuara. Sepanjang Dammakorat merungut-rungut dengan John, Siti Merah hanya memerhatikan gelagat mereka berdua sambil tersenyum.

"Aku nak tanya sekali lagi, kamu cari siapa?" tanya Siti Merah.

Dammakorat segera menumpukan perhatiannya ke arah Siti Merah. "Aku mencari Raja Ali, raja negeri Legeh yang memberontak kepada Paduka Raja Siam Mahabesar!" laung Dammakorat.

"Besar tak besar la... " bebel Siti Merah berbisik. "Dah tu kenapa? Apa kaitan dengan aku?"

Dammakorat memandang John. Kemudian dia memandang Siti Merah. "Kami syak Raja Ali bersembunyi di sini, kami minta Raja Ali sekeluarga berserta pengikut-pengikutnya diserahkan kepada kami!"

Siti Merah mengerutkan dahinya. "Mengapa nak serahkan pada kamu pulak? Kalau aku tak serahkan, kamu nak buat apa?"

Riak wajah Dammakorat mula menunjukkan perasaan tidak puas hati. "Aku akan laporkan pada Paduka Raja Siam Mahabesar dan tempat kamu ini akan musnah diratakan jadi abu berserta seluruh negeri Perak!"

"Hai... senang-senang nak ratakan negeri orang. Kamu ingat dah ratakan Patani, senang-senang nak ratakan Perak? Minum darah aku dulu!" balas Siti Merah menjegilkan matanya.

Dammakorat menjeling kepada John. John mengerutkan dahinya, namun Dammakorat masih menunjukkan riak wajah keras, seolah-olah meminta John bersuara. Akhirnya John membuka mulut.

"Bukan begitu Mengkong Merah, yang mulia... " John menundukkan kepalanya sambil tangan kanannya ditekapkan ke dada, seolah-olah melambangkan 'kehalusan budaya orang Inggeris yang bertamadun'.

"Tuan Damma bermaksud begini, Raja Legeh telah membuat kerosakan dan membunuh ramai orang di Patani, serta membuat huru-hara yang menyusahkan rakyat jelata. Makanya kami ingin sekali minta bantuan Yang Mulia Mengkong Merah supaya menyerahkan Raja Ali dan lain-lain kepada pihak kami dan sudah pasti kebaikan hati Yang Mulia akan kami laporkan kepada Paduka Raja Siam dan Yang Mulia pastinya akan mendapat pujian dari baginda," tutur John begitu berhati-hati dan tersusun.

Siti Merah tersengih. "Pujian? Itu saja? Dia bukan raja aku pun, mengapa aku mahu terhegeh-hegeh dengan pujiannya? My master only the King of Perak, you understand?" balas Siti Merah tegas.

Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now