"Mak Lang pernah dengar tak pasal Cik Mawar Cantik?" tanya Siti semasa sedang makan bersama-sama keluarga ibu dan bapa saudaranya. Sepupu-sepupunya yakni Adam, Syakila dan Amira makan bersama-sama Siti malam itu.
Mak Lang hanya berkerut dahinya. "Macam pernah dengar... abang pernah dengar tak nama tu?" tanya Mak Lang kepada suaminya.
Pak Lang terus menyuapkan nasi ke mulutnya. Kemudian dia berhenti seketika sambil merenung meja yang dipenuhi pinggan mangkuk berisi makanan. Siti menanti jawapan dengan riak wajah penuh rasa berharap.
"Kalau tak silap Pak Lang lah, moyang kita dulu-dulu memang ada pakai pangkal nama 'Cik' begitu. Tapi yang Pak Lang tahu ada 3 orang saja, Cik Melati, Cik Kemboja dan Cik Tanjung. Yang nama... "
"Cik Mawar Cantik..." sambut Siti.
"Ya... Mawar Cantik tu... takde pulak Pak Lang pernah dengar," ujar Pak Lang.
Siti begitu hampa. Baru saja rasa keterujaan apabila Pak Lang menyebut nama-nama moyang yang ada pangkal 'Cik' itu. Namun nama Cik Mawar Cantik tiada. Siti mengharapkan Pak Lang menyambung kata namun Pak Lang terus menyuapkan nasi ke mulutnya. Mak Lang pun bagaikan dipukau oleh sikap suaminya, juga meneruskan suapan malah kemudiannya menukar topik, pasal ayam itik pasal masalah tanah kebun.
Siti menghembuskan nafas panjang. Nampaknya masalah ini tersangkut di sini. Mana dia nak cari siapa yang tahu nama Cik Mawar Cantik? Adakah perlu dia mengetuk rumah ke rumah di kampung itu dan bertanyakan masalah itu? Buat satu video dirinya bertanyakan tentang Cik Mawar Cantik? Pakai pakaian seksi-seksi sikit, macam dulu-dulu... kemudian tularkan, tunggu wargamaya kecam berjemaah dan pertanyaan 'siapa Cik Mawar Cantik' akan tular bersama-sama aksi-aksi kontroversinya. Siti senyum sendirian. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala. Adam menjeling sahaja kelakuan aneh kakak sepupunya itu.
Fikiran Siti masih berputar-putar semasa di meja makan sampailah ketika mengemas meja dan mencuci pinggan.
"Apa aku nak buat ni?" tanya Siti dalam hati. "Buat video seksilah, atau buat video buat aksi bodoh, tunggulah netizen kecam, pasti kau popular dan viral hahaha!" suara hatinya menyampuk. "Benda ni lagi, tak abis-abis. Sudahlah, aku takkan buat benda-benda bangang macam tu semata-mata nak raih perhatian," balas Siti sendirian dalam hati.
"Err... Iti!"
Siti agak terkejut. Rupanya Pak Lang ada di belakangnya. "Pak Lang baru teringat, Tok Bidin yang rumah dia hujung kampung ni mungkin boleh bantu kamu," ujar Pak Lang.
Mata Siti bersinar. Keterujaan kembali merajai dirinya. "Tapi mengapa Tok Bidin tu? Dia ada hubungan dengan keluarga kita ke?" tanya Siti.
"Tok Bidin tu memang takde kaitan dengan keturunan kita, tapi dia tu sahabat baik arwah atuk kamu. Dah kira macam adik-beradik. Susah senang sama-sama dari kecik sampai besar. Cuba kamu tanya dia pasal soalan kamu tadi tu, mungkin dia boleh cerita sesuatu. Lagipun apa salahnya mencuba kan?" Pak Lang tersenyum kepada Siti, sambil tubuhnya berpaling hendak ke ruang tengah.
"Betul jugak, okaylah... esok Siti datang ziarah Tok Bidin. Siti bawa Amira sekali boleh tak Pak Lang? Boleh dia main dengan Farah cicit Tok Bidin tu," balas Siti.
"Boleh...," Pak Lang menjawab sambil menuju ke ruang tengah.
Malam itu Siti tidur awal, esok dia ada misi pertama 'Cik Mawar Cantik'.
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Mystère / ThrillerSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...