SITI tahu, sejarah negeri Perak. Sejarah negeri-negeri Melayu utara. Dia sudah masak dengan latarbelakang negeri-negeri ini. Dari Tanah Seri, di perbatasan Myanmar sekarang sehingga sempadan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan...pernah diperintah oleh raja-raja Melayu purba.
"Mala Malayu iva Malayam raja"
Siti teringat baris-baris perkataan yang terpahat pada Prasasti Han-chey di Kemboja yang berusia abad ke-6 Masehi itu.
Bagaimana raja-raja Melayu yang dikatakan berasal dari kebudayaan purba Malayo-Polinesia itu yang termasuk di dalamnya orang Hawaii, Maori, Tonga dan sebagainya boleh menjadi begitu berkuasa di rantau Asia Tenggara suatu ketika dahulu?
Sebenarnya melalui pertembungan budaya, perkongsian dan pemindahan ilmu pengetahuan serta pengalaman berdagang di luar negara menjadikan raja-raja Melayu itu kaya dengan pengalaman dan pengetahuan bertaraf antarabangsa berbanding suku-suku Malayo-Polinesia yang terutamanya melangkaui Kepulauan Filipina sehingga ke Lautan Teduh (Pasifik).
Asalnya Melayu itu bukanlah 'beraja' namun berketua, berdemang atau berpenghulu. Melayu dahulukala tiada falsafah monarki atau feudalisme. Ketua dilantik dari kalangan orang yang tahu selok belok adat budaya, berpengalaman, lebih berusia dan bijak pandai. Ia mirip Tok Batin dari kalangan masyarakat Orang Asli. 'Demang' itu sendiri adalah bermaksud orang yang tahu adat dan pantang larang - Ketua Adat.
Tiba-tiba Siti teringatkan nama 'Demang Lebar Daun' dalam Sulalatus Salatin - riwayat atau 'Kronik' (gaya bahasa Indonesia) bagi Kesultanan Melayu Melaka itu.
Selepas berhubung dengan kuasa-kuasa besar seperti Rom, Parsi, China dan empayar-empayar di Benua Hindi melalui perdagangan di Selat Melaka dan Laut Melayu, maka bangsawan-bangsawan Melayu itu mempelajari konsep monarki, konsep beraja dari luar itu. Maka timbullah konsep 'devaraja' dan pewarisan takhta kerajaan, berbeza dengan pemilihan ketua secara tradisi Melayu purba yang menitikberatkan perbincangan menentukan senioriti, pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan.
Siti merenung ke permukaan meja belajarnya. Bila diingat-ingat kembali apa yang terjadi ke atas dirinya, memang bersangkut-paut dengan sejarah lampau, sejarah orang Melayu, negeri Melayu dan keturunan keluarganya.
Sufian...sepupu lelakinya yang paling rapat itu, juga menerima nasib begitu akibat sejarah silam. Dia disembunyikan oleh sakanya sendiri (saka Siti) yang berdendam. Itu yang diberitahu kepadanya oleh beberapa pengamal perubatan alternatif di sekitar Kuala Lumpur.
Tiba-tiba Siti terfikir. Sekadar saka sahaja tidak mampu menyembunyikan tubuh fizikal manusia. Adakah hantu atau jin boleh menjelma sehingga berupa bentuk di alam manusia ini? Siti teringat kata-kata jenaka "Tiada sesiapa yang mati dicekik hantu!"
Ya, benar juga. Sepanjang hidup Siti, dia tidak pernah melihat orang mati dicekik hantu. Orang mati sama ada disebabkan penyakit, kemalangan jalanraya, dibunuh manusia lain atau membunuh diri! Itu yang selalu didengar atau dibaca oleh Siti selama ini.
Jadi, siapakah yang menyembunyikan tubuh Sufian? Mungkin...mungkinlah, Sufian sendiri yang menyembunyikan dirinya sendiri. Bagaimana? Apabila saka itu merasuk Sufian, maka dia sendiri yang berjalan ke tempat yang diarahkan oleh saka yang mendiami tubuhnya.
Benarkah begitu? Soal Siti dalam hatinya.
Pam! Pam!
Siti segera menoleh ke arah pintu.
Pam! Pam!
Siapa pula tu? Tengah malam-malam begini mengetuk pintu biliknya.
"Mak Lang ke tu?"
Siti bersuara agak kuat.
Pam! Pam! Pam!
Siti mula resah. Adakah gangguan itu datang lagi? Orang yang mengetuk pintu itu enggan menjawab.
Pam! Pam! Pam! Pam!
Siti bingkas bangun dari kerusi. Dia berjalan perlahan-lahan, mendekatkan tubuhnya ke pintu. Telinganya didekatkan ke daun pintu. Tiba-tiba...
Pam!
Pam!
Pam!
Aduh! Sakitnya telingaku, getus hati Siti sambil tubuhnya terdorong ke belakang sedikit. Siti benar-benar tak menyangka orang di balik pintu biliknya itu mengetuk lagi.
"Siapa tuuuu!"
Senyap.
"Mak Lang ke tu?"
Senyap.
Dada Siti mula berdebar-debar. Siapa pulak ni. Siti mula diserang gelisah. Segera Siti menuju ke meja belajar dan mencapai telefon pintarnya. Dia ingin menelefon Pak Lang.
Siti sangat takut jika ada orang mahu mengapa-apakan kehormatan dirinya. Lagi-lagi dia perasan pemuda-pemuda kampung di warung menjeling-jeling ke arahnya ketika dia ke kedai membeli barangan dapur yang dipesan Mak Lang.
Masakan tidak pemuda-pemuda itu menjeling, gadis kota yang putih melepak dengan tubuh badan potongan model, tegap dan atletik hasil olahraga dan penjagaan diet yang ketat. Walaupun sepanjang sakit itu, lagilah Siti mampu mengekalkan berat badannya kerana kurangnya selera makan dan trauma dirasuk Seri.
Ulam-ulaman, sayur, ikan dan nasi yang selalu dijamahnya. Tiada makanan proses, air boba atau kopi hipster yang selalu menggodanya di bandar. Semua segar dari sungai, muara, kebun dan sawah padi.
"Hyang Amrita!"
Siti tersentak. Apa dia?
"Hyang Amrita....buka!"
Itu...itu suara...aneh!
Siti kenal suara itu. Tak mungkin.
"Hyang Amrita!"
Siti kembali diserang gelisah. Dia mula menjadi tidak keruan. Dia kenal suara itu.
Itu suara Pak Lang!
"Pak Lang nak apa? Siapa Hiyanng..Amrita tu?"
"Jangan banyak tanya, buka pintu ni!"
Siti mengira-ngira, adakah patut dia membuka pintu. Dia menjadi termanggu-manggu.
Paammmm!
Siti tersentak. Ketukan itu sudah menjadi seperti pukulan yang gemanya berdesing di telinga Siti.
"Buka pintu! Hyang Amrita!"
Siti pun kembali mendekati pintu dan tangannya menyentuh tombol pintu. Tetapi dia masih ragu-ragu. "Cepat!"
"Hyang Amrita Jayavarman!"
Siti pun membuka pintu. "Ktik!" kunci tombol terlepas.
Oh! Apa yang dilihatnya...
**********************
Siti ditolak keras ke belakang. Dia tercampak ke tepi katil. Dengan susah payah Siti cuba merangkak dengan penuh kesakitan.
Tiba-tiba kaki kanannya ditangkap satu tangan. Siti menjerit. Kain batiknya terselak, menampakkan buah betisnya. Dia cuba menepis tangan yang memegang kejap kaki kanannya. Namun tangan yang memegangnya sangat kuat. Dia diseret ke satu sudut. Kemudian dia terasa badannya dipeluk dari belakang dan diangkat ke katil.
Siti meronta-meronta, cuba bergolek ke kanan dan ke kiri. Namun lembaga hitam yang memegang kedua tangannya itu sepertinya memiliki kekuatan luar biasa.
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Misterio / SuspensoSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...