Malam yang panjang. Malam yang kadang-kadang menerbitkan mimpi yang bersambung-sambung. Mimpi yang membuatkan kita boleh berbuat apa sahaja di alam itu. Terbang dengan gembira sesuka hati. Mengawal mimpi sendiri. Kedengaran sungguh hebat. Diri seperti adiwira yang punya kuasa tidak terbatas.
Seorang gadis yang berambut panjang ikal sedang tidur nyenyak. Sebelah tangannya terangkat ke atas dengan tapak tangannya terbuka sedikit. Sebelah tangannya terletak kemas di atas perut. Matanya kelihatan bergerak-gerak walau terpejam rapat. Gadis itu memiliki bulu mata yang agak panjang dan melentik. Hidungnya mancung dengan bibirnya sedikit terbuka.
"Bukankah cinta itu begitu mendera perasaan? Aneh...pabila cinta itu berada di depan, kita seringkali tidak mengendahkan. Bila cinta hilang, kita tiba-tiba rindu tak tertahankan..."
Mata Siti terbuka. Peluh merenik di dahinya. Pendingin hawa di bilik itu seolah-olah tidak berfungsi. Siti bangun perlahan-lahan. Dia termenung seketika. Kemudian tubuhnya turun dari katil dan menuju ke arah jendela. Siti menguak langsir.
Rembulan sungguh indah dibayangi awan-awan kelabu. Siti merasa sungguh terpesona melihat kejadian yang menakjubkan itu. Suasana itu mengingatkannya kepada masa-masa indah di Jerman. Merenung rembulan di Neuschwanstein Castle. Walaupun sebentar sahaja di sana, namun melihat rembulan begitu benar-benar membangkitkan dejavu yang kuat ke dalam mindanya. Sedang asyik Siti merenung rembulan itu, secara perlahan-lahan rembulan itu membesar sedikit. Siti tersengih sehingga menampakkan lesung pipitnya. Dia seakan-akan tidak percaya matanya memberitahunya kejadian yang tidak masuk akal itu. Mungkin rasa mengantuk itu masih membekas membuatkan fikirannya melayang-layang tidak ketahuan.
"...perasaan itu tidak menipu. Namun diri itu berbagai-bagai kehendaknya pula. Cinta yang suci dipinggirkan dahulu, menyangka ia kekal abadi di sisi. Mengejar harapan yang tak pasti. Akhirnya cinta pergi tidak kembali..."
Dahi Siti berpeluh-peluh. Dia menoleh ke belakang. Bisikan anehnya kembali beralun-alun di telinganya, atau entah di dalam fikirannya. Bagaimana bisikan aneh itu yang tadinya muncul di dalam mimpi boleh kedengaran lagi? Wajahnya kembali menatap rembulan di langit malam.
Rembulan itu tiba-tiba semakin lama semakin besar. Riak wajah Siti berubah serta-merta. Siti merasa sungguh pelik. "Apa?!"
Wajah Sufian tidak semena-mena memenuhi seluruh rembulan itu. Matanya memandang tajam ke arah Siti. Pandangannya itu seolah-olah berisi seribu dendam yang menyakitkan.
"Kau perempuan angkuh! Sebab kau cantik, kau merasa megah dan membuli perasaan aku!"
Siti bagaikan tidak percaya wajah di rembulan itu menengkingnya sedemikian rupa. "Siti ku sayang... kau akan terima akibatnya. Sejak kita kecil lagi, kita bermain bersama, makan bersama-sama, mengaji bersama-sama nenek, kau lupakah sayang?"
"Mengapa bila kau semakin besar dan belajar di sekolah orang kaya di bandar, kau lupakan aku...semakin lupakan aku?
"Sebab aku budak kampung? Sebab aku selekeh? Sebab aku tak pandai macam kau?"
Siti mengundur ke belakang, bibirnya mengertap keras sambil matanya terbeliak tidak lepas-lepas dari memandang wajah Sufian di rembulan yang besar itu. Semakin mengundur, akhirnya dia terduduk di katil.
Wajah Sufian, sepupunya itu seakan-akan tersenyum dendam. Bola matanya hitam pekat tidak punya perasaan belas kasihan kepada Siti. Dada Siti berdebar-debar.
"Aku akan menghukum kau Siti! Atas semua yang terjadi. Aku sudah kehilangan segala-galanya. Aku terpenjara, terkurung dalam dunia yang amat gelap. Semua ini adalah kerana kau!"
Airmata mula bergenang di kelopak mata Siti. "Pian..."
Lembut suara Siti walaupun agak bergetar. Tiba-tiba wajah di rembulan berkerut-kerut.
YOU ARE READING
Vampire of Grahi II
Misteri / ThrillerSiti, seorang gadis cantik dari keluarga ternama, harus berjuang sendirian untuk melawan gangguan dan kekejaman yang diakibatkan dari keinginan Seri, pontianak dari zaman silam. Ringkasan: Vampire of Grahi II adalah sebuah kisah yang merentasi kira...