Bab 7: Pian Ku Sayang!

265 8 0
                                    


Sudah tiga minggu ayah dan ibu Sufian di kampung semenjak pulang dari Thailand mencari anak mereka. Sudah sebulan mereka mencari dengan dibantu oleh pasukan keselamatan di sana namun masih menemui jalan buntu. Kedutaan Malaysia di Bangkok mencadangkan mereka pulang dahulu sementera pihak berkuasa cuba menyelesaikan masalah tersebut.

Sebagai anak saudara mereka dan juga sepupu Sufian, Siti juga turut berkongsi kedukaan ayah dan ibu saudaranya. Siti sudah seminggu di kampung menemani mereka berdua. Kehilangan Sufian yang satu-satunya anak Pak Lang dan Mak Lang itu benar-benar satu kehilangan yang besar buat mereka. Masa Pak Lang dan Mak Lang sampai ke rumah mereka dari lapangan terbang, memang satu kampung menanti di rumah berserta saudara-mara semua. Setelah beberapa hari sedikit demi sedikit saudara mara pulang ke tempat masing-masing kecuali ada beberapa keluarga yang memang menetap di kampung sepertimana Pak Lang dan Mak Lang. Tinggallah Siti seorang di rumah, sekali sekala anak-anak buah saudara mara di kampung itu datang bertandang dapatlah Siti mengusik-ngusik mereka yang masih kanak-kanak itu sebagai hiburan.

Namun masalah Sufian yang hilang tetap bersarang di fikiran Siti lebih-lebih lagi kini dia berada di rumah sepupunya itu.

Siti sedang menumis sayur di dapur sambil memikirkan perkara ini. Banyak yang difikirkannya selain masalah besar kehilangan sepupunya itu.

Wajah Sufian, senyuman Sufian terawang-awang dalam fikiran Siti. Memang Sufian adalah teman paling rapat di zaman kanak-kanak sehinggalah Siti mengikut ayah dan ibunya berpindah ke bandar dan Siti pun menyambung persekolahan menengahnya di bandar.

Zaman kanak-kanak di kampung memang indah. Tidak tahu di tempat lain bagaimana tetapi di kampung Siti kehidupan kanak-kanaknya tidak terlalu dipengaruhi ledakan gajet-gajet yang mampu membuatkan setiap insan menjadi nafsi-nafsi. Memanglah mereka terdedah juga dan pernah melihat abang dan kakak mereka obses dengan telefon pintar atau tablet masing-masing, namun bermain bukit pasir, meronda-ronda kampung dengan basikal, mandi sungai atau bermain tembak-tembak dengan senapang air nampaknya lagi menyeronokkan dari duduk pasif berjam-jam mengadap plastik lonjong berpetak itu.

"Iti!"

"Iti"

Suara Sufian memanggilnya. Masa itu Siti masih ingat lagi mereka berdua di darjah 6.

"Iti!!!"

"Ada apa Pian?"

Sufian menoleh. Rupanya Siti ada duduk-duduk di bangku batu di belakang. Sebenarnya Siti sudah memerhatikan kedatangan sepupunya itu dari jauh, namun dia sengaja membiarkan Sufian memanggil-manggil lama seperti itu. Bagi Siti, melihat gelagat Sufian tercari-cari dirinya bagaikan satu hiburan.

Siti tersenyum ke arah Sufian. Sepupunya itu datang ke arahnya. Semakin lama semakin kuat bunyi pasir diredah selipar jepun Sufian. Siti memerhatikan dengan tenang gerak-geri Sufian yang duduk di hadapannya. Sufian meletakkan kedua tangannya di atas meja batu.

"Iti...kenapa sejak Iti jadi penolong ketua pengawas, Iti sudah kurang rapat dengan Pian?" soal Pian. Memang sejak Siti dilantik menjadi penolong ketua pengawas, Siti sudah jarang makan bersama Pian di kantin. Alasan Siti, dia sibuk di bilik pengawas dan acapkali makan tengahari sahaja di bilik pengawas itu yang tersedia pantry siap dengan peti sejuk dan sinki.

"Maafkan Iti ye Pian, bukan Iti taknak makan dengan Pian, tapi Iti jadi sibuk sekarang ni. Macam-macam kerja dibaginya si Cikgu Fatah tu," jelas Siti. Memang banyak benar tugasan yang diterimanya sejak dia dilantik menjadi penolong pengawas. Mula-mula Siti merasa pelik mengapa tak diserahkan sahaja kerja-kerja menyusun jadual, perancangan dan lain-lain hal yang bersifat pengurusan kepada Faizal, yakni ketua pengawas.

Namun kemudian setelah melihat sendiri tugasan di sebelah Faizal yang lebih kepada sebagai 'duta' sekolah, barulah Siti faham tugasan di sebelah pihaknya adalah sokongan kepada Faizal yang lebih kepada memimpin aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi pihak sekolahnya. Kadangkala Siti kagum dengan sekolahnya. Murid-murid diajar dengan cara yang menjadikan mereka cepat matang dan berdikari. Walaupun sekolahnya itu dikategorikan sekolah luar bandar, namun kualiti pendidikannya menghampiri sistem di sekolah menengah malah ada beberapa aspek seperti mencontohi sistem universiti.

"Hari tu alasan banyak kerja di bilik pengawas, alih-alih Pian tengok Iti bergelak ketawa makan dengan si Pejai," ujar Sufian dengan wajah masam.

Siti tersenyum. Cemburu rupanya sepupunya sorang ni!

"Nak buat macam mana Pian...tak nyempatnye Iti nak ke kantin. Kami makan sahaja di bilik pengawaslah," balas Siti dengan wajah memujuk. Sufian hanya mendiamkan diri. Lama juga suasana hening itu sehinggakan Siti merasa kekok.

"Okay, macam nilah Pian. Iti janji lepas ni Iti cuba keluar makan di kantin dengan Pian. Iti akan bagitau Pian awal kalau Iti boleh keluar makan tengahari tu. Okay?" Siti cuba memujuk Sufian.

Sufian yang tadinya berwajah kelat, perlahan-lahan mengangguk sambil merenung tajam ke arah Siti. Ada riak-riak ceria di wajahnya. Sungguh, sepupunya itu sungguh comel apabila tersenyum begitu.

Oh, Pian ku sayang!

Siti masih ingat itu. Masih ingat ada cahaya harapan di wajah sepupunya itu. Senyuman Sufian setelah dipujuknya. Namun apabila fikirannya cuba untuk memainkan kenangan-kenangan yang masuk zaman sekolah menengah, Siti pun terus mengelak untuk dibayangi segala memori  lagi.

"Aku mesti cepat mencari cara bagaimana untuk mengembalikan Sufian ke pangkuan Pak Lang dan Mak Lang. Aku hanya ada dua ke tiga bulan sahaja sebelum aku kembali ke universiti," bisik Siti di dalam hati. Entah mengapa dia dihantui rasa bersalah.

"Tapi kenapa kau yakin sangat yang kau boleh selamatkan Pian?" suara hatinya bertanya seolah-olah sinis dengan pendirian Siti.

Siti menarik nafas sambil memandang ke jendela di depannya.

"Sebab Seri."

"Seri? Apa maksud kau?"

"Takkan kau tak tahu Seri cuba datang kepada aku hari tu?" Seri menjawab suara hatinya.

"Bila?"

"Masa aku bermimpi wajah Pian di dalam bulan, aku mendengar suara-suara Seri, dari situ aku tahu dia cuba mendekati aku," jawab Siti kepada suara hatinya.

Siti sedar Seri memang selalu cuba merapatinya, namun sejak pulih dari sakit akibat dirasuk Seri, dia ada mengamalkan beberapa amalan pendinding diri yang bersumberkan dari ayat-ayat suci Al-Quran seperti yang diajarkan oleh ustazah yang merawatnya.

"Okay, tapi bagaimana? Bagaimana itu boleh membantu?" suara hatinya mendesak.

Siti tersenyum. "Perasan tak pada bisikan yang ketiga dia telah memberitahu sedikit petunjuk? Dia pun mengaku menyembunyikan Pian dan ada memberikan clue di mana dia menyorokkan Pian tu," balas Siti di dalam hati.

Tiba-tiba mata Siti bersinar-sinar. Ya, aku akan cuba mencari petunjuk lagi melalui Seri!

Klung!

Sudip di tangan Siti terlepas dari tangan tanpa disedari Siti. Begitu teruja Siti sampaikan tangannya menggoyang-goyangkan sudip dengan dengan keras sehingga terlepas tidak diperasannya.

"Kenapa tu Iti?" suara Mak Langnya dari arah ruang tengah.

"Takde apa Mak Lang. Sudip jatuh ni haaa," balas Siti sambil mengutip sudip yang jatuh.

Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now