BAB 1

1.1K 25 1
                                    

CELOTEH penyampai radio dan dendangan lagu menemani halwa telinga. Sekali-sekala suara si pemandu beralun riang mengikut irama serta lirik lagu yang berkumandang.

Faid memandang sekilas lelaki tersebut. Kemudian, pandangannya ditumpu ke hadapan semula. Selang dua saat dia menggeleng kepala.

"Dari tadi kau geleng kepala. Kena sumpahan teleng baru tau," tegur Khairi Raqib setelah menyedari perbuatan si penumpang yang duduk di sebelahnya.

"Sebelum aku kena sumpah jadi teleng, kau tu aku baling keluar dari kereta ni dulu. Nak?" sahut Faid dengan nada serius.

Khairi Raqib tertawa selama tiga detik. Dia tahu mengapa sepupunya memberi respons sebegitu.

"Kau menyanyi macam tak ada masalah yang melanda dalam hidup kau. Suara sedap tak apa juga," bebel Faid lagi.

"Relakslah, der. Macam pertama kali aje kau temankan aku jumpa calon menantu mama aku tu," ucap Khairi Raqib dan dalam masa yang sama memperlahankan bunyi radio.

"Kena paksa temankan kau tu lain cerita, bro. Aku nak cakap pasal awek tadi. Pandangan dia tu bukan pandangan biasa," lafaz Faid.

"Kenapa? Kau rasa dia dah jatuh cinta dengan kau ke?"

Faid mengeluh sebelum menjawab soalan tersebut.

"Mata dia..." Pemuda berusia 31 tahun itu menghentikan bicaranya sejenak, lalu jari telunjuk dan tengahnya dihalakan ke mata sendiri secara serentak.

"Mata dia tu nak beritahu yang aku dengan kau... Haisy, tak sangguplah aku nak sebut."

"Senang cerita, kau nak cakap Irma cop aku dengan kau gay ke?" teka Khairi Raqib.

"Isy, pantang tujuh keturunan lepas dan keturunan akan datang kalau aku dengar perkataan tu. Perkataan tu tak layak untuk lelaki yang bersifat jantan macam aku ni," ungkap Faid.

Ketara kedutan pada wajahnya dek rasa tidak senang.

"Yang kau nak pantang sampai 14 keturunan ni dah kenapa? Sekarang ni, perkataan gay tu tembus kat telinga kau ke tak?"

"Memanglah tak tembus kat telinga aku, tapi pandangan sinis dia tertusuk kat hati aku ni. Muka dia nampak sangat nak cakap perkataan tu bila kau sibuk nak ikut aku pergi toilet tadi."

Semasa di restoran tadi, air yang berada di dalam gelas tertumpah mengenai seluar sepupu merangkap rakan karibnya itu. Serta-merta Faid berdiri tatkala bahagian kelengkang dan paha seluarnya basah.

Khairi Raqib pula laju mengelap tanpa merasa kekok di hadapan Irma. Khairi Raqib perasan perubahan air muka perempuan itu. Lantas, gerak hatinya mahu mengambil peluang dengan kesempatan yang ada.

"Alasan kau nak ikut aku pergi toilet sebab nak tolong lapkan seluar aku yang basah tu tak kena pada tempatnya. Lepas tu kau cakap dengan muka gatal," luah Faid dengan nada tidak puas hati.

Malam itu, entah berapa kali dia mengeluh. Terasa rosak reputasinya sebagai lelaki sejati gara-gara perbuatan Khairi Raqib yang langsung tidak dijangka itu.

"Kau memang sengaja, kan? Ni taktik baru kau nak mengelak. Betul tak?" Faid bersuara lagi.

Khairi Raqib tidak terus menjawab. Dia menolak tuil yang ada pada bahagian belakang stereng. Lampu sisi kereta memberikan isyarat ke kanan. Kemudian, stereng diputar mengikut arah yang sama. Mereka sudah memasuki kawasan perumahan.

"Sorrylah. Tiba-tiba aje aku dapat idea bila tengok muka Irma terperanjat aku lap bahagian kelengkang kau tu," ujar Khairi Raqib.

Sesungguhnya, dia tidak mampu menipu lelaki itu. Mana tidaknya, umur mereka hanya berjarak dua tahun. Khairi Raqib menganggap Faid seperti adiknya sendiri. Mereka akrab dan sering berkongsi rahsia sejak kecil.

Belum diluahkan melalui bicara, Faid sudah dapat menangkap apa yang terlintas dalam fikirannya.

"Aku dah agak. Lain kali, bagilah hint."

"Memang aku nak beritahu, tapi kau tak kasi aku ikut kau. Aku nak beritahu masa kita kat toilet," ujar Khairi Raqib.

"Memanglah aku tak kasi. Tiba-tiba panggil aku you. Kena sawan ulat bulu ke?" bidas Faid pula.

"Kau pun dah dapat agak kenapa aku buat macam tu, kan?"

Faid tidak menjawab.

"Aku terpaksa, der," kata Khairi Raqib lagi.

Faid memandang sisi wajah lelaki itu. Terbit pula rasa kasihan.

"Aku tahu keadaan kau, Qib. Kau tak ada pilihan. Kau terpaksa ikut kehendak Mama Aira sebab nak jaga hati dia. Tapi, sampai bila? Gitu gini, sama datangnya. Mula-mula, kau terpaksa jumpa calon daripada Mama Aira. Sudahnya, kau tetap cari helah nak mengelak."

Khairi Raqib membiarkan sahaja suara penyampai radio menguasai suasana di dalam kereta. Dia menekan brek dan lama-kelamaan kereta tersebut berhenti di hadapan sebuah rumah setinggi dua tingkat.

"Kalau kau terus macam ni, masalah tak akan selesai, bro. Semakin kau mengelak, Mama Aira semakin mendesak," ucap Faid sambil menanggalkan tali pinggang keledar.

Dia bersiap sedia mahu keluar dari kenderaan milik sepupunya itu.

"Memang betullah kau ni anak saudara Puan Humairah. Kau berleter dah serupa dia," lafaz Khairi Raqib.

"Sebab aku anak saudara mama kaulah, aku tahu perangai degil kau tu macam mana."

Khairi Raqib menghela nafas. Dia terasa penat mendengar bebelan yang sama.

"Dah habis cakap? Kau tak nak balik ke? Nanti Mama Aira nampak kau pulak."

"Amboi. Lu halau gua ke apa ni, bro?" sindir Faid.

"Tak adalah menghalau. Kau pun tahu yang mama aku dah pesan jangan libatkan kau lagi. Tapi, kau tu partner in crime aku sejak kecil lagi. Aku tak boleh hidup kalau kau tak ada," ujar Khairi Raqib, mahu memujuk pemuda itu.

"Konon tak boleh hidup kalau aku tak ada. Kalau orang luar dengar apa yang kau cakap ni, orang boleh salah faham tau. Dahlah, berhenti kat sini. Sepatutnya kau turunkan aku kat pokok besar depan sana," balas Faid.

"Sorrylah. Aku terlupa."

"Sorry, sorry. Sorry makan karilah."

Khairi Raqib ketawa, lalu menyah fungsi auto lock kereta itu. Namun, penglihatan mereka serentak tertancap pada pagar automatik yang sedang terbuka dengan sendiri.

"Kau dah tekan remote pagar ke?" soal Faid.

"Belum dan aku tahu siapa yang buat pagar ni terbuka," jawab Khairi Raqib sebaik sahaja melihat susuk tubuh Humairah di ruangan pagar.

"Aku boleh lari ke tak ni?" aju Faid.

"Soalan tu aku perlu jawab ke?" balas Khairi Raqib.

Faid menelan air liur. Humairah sedang berdiri dan mata orang tua itu tepat memandang dirinya. Wanita tersebut memberi isyarat jari telunjuk. Isyarat itu meminta kedua-duanya masuk ke dalam rumah.

"Skrip macam selalu ke, bro?" tanya Faid tanpa bertentang mata dengan sepupunya.

Begitu juga Khairi Raqib. Mereka memandang Humairah yang sedang berpaling, sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

"Ya. Dan, yang penting..."

Belum sempat Khairi Raqib menyudahkan kata, Faid mencelah.

"Keyakinan."

"Betul."

"Sebab Mama Aira dah nampak, aku nak minta kau belanja aku lunch selama seminggu. Amacam?" pinta Faid.

Khairi Raqib berpaling ke kanannya. Pandangan dua orang lelaki bertemu.

Faid menjongket keningnya berulang kali disulami senyuman meleret.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now