BAB 3

477 17 0
                                    

TELEFON pintar yang berada di atas meja ditatap dengan pandangan kosong. Tumpuan D pada alat tersebut menghampiri seminit setengah. Dia mengeluh, lalu melemparkan pandangan ke luar menerusi dinding kaca bistro.

Gegendang telinganya pula disapa dengan irama lagu Unchained Melody nyanyian The Righteous Brothers. Lagu klasik seumpama itu sering diputarkan di Bistro D'Aura. Selain menghiburkan pelanggan, ia mampu menggamit memori dan kenangan lalu.

"Wahai adinda, mengapa bermuram durja ni?"

Tidak semena-mena, satu suara datang mencelah pendengaran D, sekali gus menghentikan lamunannya. D berpaling.

Aura Aisyah, kawan baik merangkap rakan kongsi perniagaannya sedang menghadiahkan senyuman.

D tidak berniat mahu menyusun kata. Bebola matanya sahaja yang bergerak memerhati tingkah Aura Aisyah yang sedang meletakkan muk di atas meja. Kemudian, Aura Aisyah menarik kerusi dan mengambil tempat bertentangan dengan D.

"Lagu yang berkumandang kat bistro kita ni tak seiring dengan muka kau yang tengah masam mencuka. Apa yang tak kena, Cik Dinda Andria?"

"Kalau kau nak bahan aku, mesti sebut nama penuh aku, kan?"

Aura Aisyah tergelak kecil. Dia tahu D kurang selesa jika dia menyebut nama penuh rakan baiknya itu. Menurut D, nama itu terlalu bersifat feminin untuk dirinya yang agak kasar.

"Lirik lagu yang aku tengah dengar sekarang ni, sesuai untuk kau. Orang tengah bercinta. Lagi-lagi baru seminggu balik daripada honeymoon."

"Takkanlah sebab lagu ni sesuai untuk orang yang bercinta, kau nak buat lubang kat dinding kaca bistro kita ni? Apa yang kau fikir, D?"

"Tak ada apa-apalah."

Aura Aisyah menggeleng kepala. Dia menyeret muk di hadapan matanya menghampiri kedudukan D.

"Nah, hazelnut coffee."

D mengangkat muk tersebut menghampiri hidungnya. Dia menyedut kepulan asap kecil yang keluar melalui permukaan air.

"Kau buat air ni ke?"

"Yalah. Walaupun tak sesedap air tangan kau, aku buatkan juga untuk kawan baik aku ni," jawab Aura Aisyah.

Dia sememangnya tidak mampu menyangkal kebolehan D dalam menghasilkan minuman berasaskan kopi. Kerana kopi jugalah D memberi cadangan untuk membuka bistro bersama-sama Aura Aisyah yang berkebolehan dalam bidang kek serta manisan.

"Kau kan suka minum coffee. Masa kita zaman universiti dulu, kalau kau tengah stres, mesti kau ajak aku pergi minum coffee. Kau akan oder hazelnut coffee. Kau cakap, coffee ni mampu untuk hilangkan tekanan bila kau ada masalah."

D mengukir senyuman. Dia menghirup sebanyak dua kali minuman panas itu. Saat ini dia sedang berehat. Tugas D sebagai barista diambil seketika oleh dua orang pekerjanya iaitu Ellina dan Syahir.

"Dari tadi aku perasan seperti ada yang tak kena. Lepas kau dapat panggilan, terus muka kau lain."

Aura Aisyah membuka topik itu semula. Dia ingin mengetahui perkara yang mengganggu emosi teman baiknya itu.

D pula terus membisu. Umpama pita rakaman, ingatannya memutar kembali peristiwa yang berlaku pada tengah hari tadi.

"Tak ada apa-apalah. Aku penat sikit aje."

Aura Aisyah tidak berpuas hati mendengar dua potong ayat tersebut.

"Macam aku cakap tadi. Aku dah lama kenal kau, D. Aku tahu apa yang kau suka, apa yang kau tak suka. Kaulah kakak, kaulah adik aku. Kalau ada yang tak kena, aku boleh tahu, D."

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now