BAB 6

472 21 1
                                    

BIBIR Irfan menguntum senyuman sewaktu melihat kelibat Khairi Raqib masuk ke dalam kamar. Matanya tertumpu pada patung permainan lembut berbentuk Iron Man yang berada di tangan lelaki itu.

"Nah, Iron Man Irfan. Sibuk sangat nak peluk Iron Man sebelum tidur," petik Khairi Raqib setelah patung tersebut bertukar tangan.

Dia melabuhkan punggung di sisi katil. Tadi, dia ke kamar anak kecil itu kerana mahu menuruti permintaan Irfan.

"Mestilah. Iron Man kena tidur dengan Irfan," balas kanak-kanak tersebut.

Khairi Raqib pamer senyuman nipis. Dia menarik selimut bercorak geometri itu menghampiri dada Irfan.

"Irfan dah hafal doa sebelum tidur?" aju Khairi Raqib.

"Dah. Teacher Ain dah ajar."

Usai bersuara, Irfan menadah tangan. Kemudian dia membaca doa itu sehingga habis.

"Pandainya anak papa ni hafal doa nak tidur," puji Khairi Raqib setelah Irfan menyapu muka dengan kedua-dua tapak tangannya.

"Kata tok mama, kalau tak baca doa, nanti syaitan kacau tidur kita. Sebab tulah dulu Irfan mimpi jumpa monster. Masa tu Irfan belum pandai baca doa ni lagi."

Khairi Raqib tersenyum mendengar kenyataan itu. Dia mengusap lembut kepala Irfan, lalu menghadiahkan satu kucupan di bahagian dahi anak itu.

"Betullah tu. Malam ni monster tak dapat masuk mimpi Irfan sebab Irfan dah baca doa."

"Kalau monster tak masuk mimpi Irfan, Irfan boleh mimpi jumpa orang lain, kan?"

"Irfan nak mimpi jumpa siapa?" Hati Khairi Raqib disuntik tanda tanya.

"Irfan nak mimpi kakak comel tulah. Nak jumpa dia lambat lagi."

Khairi Raqib tercengang. Dia benar-benar tidak menyangka Irfan akan berkata begitu.

"Tak habis lagi cerita pasal kakak comel? Dah nak tidur pun teringat kat kakak tu."

Irfan tayang gigi. Khairi Raqib menggeleng kepala.

"Dah, pejam mata tu. Esok pagi susah nak bangun pulak."

"Good night, papa."

"Good night," balas Khairi Raqib.

Dia memerhati seketika Irfan yang sedang berusaha untuk lena. Kemudian, Khairi Raqib bangun, lalu menuju ke meja kerjanya yang hanya berjarak beberapa meter dari katil. Namun, baru sahaja melangkah tiga tapak, suara Irfan kedengaran lagi.

"Papa?"

Khairi Raqib berpaling. Dia tidak bersuara. Dia sekadar menatap raut si kecil, membiarkan Irfan berbicara terlebih dahulu.

"Betul ke mama tak nak kat Irfan?" soal Irfan. Renungan matanya kelihatan sedih dan lesu.

Tidak semena-mena perasaan terkejut menerjah ke dalam jiwa anak kedua Khalid dan Humairah itu.

"Kenapa tiba-tiba Irfan tanya macam ni?" aju Khairi Raqib. Dia kembali duduk di sisi katil.

"Irfan dengar apa yang papa dengan tok mama cakap tadi," lafaz Irfan dengan perlahan. Nadanya seperti serba salah.

Pemuda berusia 33 tahun itu tersentak. Lantas, dia menyelak sedikit selimut yang menutupi tubuh Irfan. Khairi Raqib menyentuh jari-jemari kiri Irfan.

"Irfan minta maaf sebab dengar apa yang papa dengan tok mama cakap," ujar Irfan lagi.

"Tak apa. Papa faham. Irfan tak salah pun," balas Khairi Raqib.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now