BAB 7

262 12 0
                                    

LAGU klasik antarabangsa mula berkumandang di serata ruang Bistro D'Aura.

D berjalan menuju ke pintu masuk sambil memandang sekilas jam tangannya yang menunjukkan pukul 10.00 pagi. Dia menukar penanda yang tergantung pada kepingan kaca tersebut. Kini, perkataan open tertera jika dilihat dari luar pintu.

Usai melakukan hal itu, D mengambil kain apron yang terletak di bahu kirinya. Dia mengatur langkah menuju ke kaunter dan dalam masa yang sama mengikat tali kain yang menutupi pinggang hingga ke paras bawah lututnya.

Walau bagaimanapun, kaki gadis itu berhenti bergerak. Dia baru teringat akan sesuatu. D menyelok poket seluar, lalu mengeluarkan telefon pintarnya.

Ibu jari D menekan ikon aplikasi WhatsApp. Pagi tadi, D menerima pesanan sebelum berangkat ke bistro. Memandangkan sudah lewat, D membaca sekali lalu sahaja mesej tersebut.

Assalamualaikum, bro.

Pasal side mirror aku tu, tak apalah. Hal kecil. Calar sikit aje.

Lagipun, kau jujur.

Tak sangka masih ada orang macam kau kat dunia ni.

Dahi D membentuk beberapa lapisan. Dia terdiam sejenak. D membaca pesanan itu beberapa kali.

"Betullah apa yang aku baca pagi tadi. Ingat salah baca. Dia tak nak ganti rugi? Biar betul?" Perasaan hairan mengetuk jiwa perempuannya berkali-kali.

"Ada ke patut tak nak duit? Macam tak betul aje ni," bebelnya sambil ibu jari kanan dan kiri ligat menyentuh papan kekunci pada permukaan skrin telefon.

Waalaikumussalam.

Tak apa. Niat saya memang nak bayar. Saya yang salah.

Harap kita boleh jumpa untuk berbincang.

D menanti untuk seketika. Manalah tahu si pengirim akan terus membalas.

"Kau buat apa tu, D?" tegur Aura Aisyah yang baru sahaja selesai menyusun beberapa potongan kek di ruangan kaca kaunter.

"Mesej siapa? Pakwe ke? Bukan main lagi tenung telefon tu. Ada apa-apa ke?" Aura Aisyah bersuara lagi setelah pertanyaannya tidak disahut.

"Tak ada apa-apalah. Aku tengah tunggu orang ni reply WhatsApp aku."

"Tunggu orang reply WhatsApp?"

Ayat terakhir yang diungkapkan oleh D berjaya menarik minat Aura Aisyah untuk mendekati rakan baiknya. Dia segera berdiri di sisi kiri gadis itu.

"Nak kata ada suami, belum kahwin. Nak kata ada orang tersayang, tak ada boyfriend lagi. Kau tunggu siapa pulak ni?"

Untuk menjawab soalan itu, D menghalakan telefon pintarnya menghampiri wajah Aura Aisyah. Bebola mata wanita tersebut bergerak dari kiri ke kanan, membaca apa yang tertera pada permukaan skrin.

"Ooo... orang ni. Aku ingat siapalah tadi," balas Aura Aisyah.

Pagi tadi, semasa tiba di bistro, D ada menceritakan hal tersebut. Lenyap keinginannya untuk mengusik.

D pula mahu menyimpan alat komunikasi itu ke dalam poket seluar setelah tidak menerima sebarang respons.

"Eh? Kejap." Aura Aisyah perasan akan sesuatu.

Dia menyekat tingkah rakannya itu. Jari Aura Aisyah melungsur pada permukaan skrin telefon.

"Kau nak tengok apa?" tanya D.

Mata Aura Aisyah sedikit terbeliak.

"D, dia panggil kau bro?" aju Aura Aisyah setelah matanya sendiri mengesahkan apa yang dilihat.

"Ha'ah."

"Biar betul?"

"Apa masalahnya? Biarlah."

"Dia panggil Dinda Andria bro?"

"Amboi! Nak bahan akulah tu."

"Mesti dia terkejut kalau korang jumpa nanti."

"Tak tahu lagi jumpa ke tak. Kau sendiri baca yang dia tak nak aku bayar ganti rugi tu. Aku tak naklah macam tu. Serba salah dibuatnya. Kau pasti tak ada customer yang cakap apa-apa petang semalam?"

"Aku pasti, D. Tak ada sorang pun yang masuk bistro ni cakap yang side mirror kereta dia calar sebab ada kesan gesel dengan handle motor."

"Masa parking motor tadi pun aku tengok sekeliling. Manalah tahu kereta tu ada. Macam tak logik aje dia tak nak aku bayar. Sungguh misteri."

"Misteri? Entah-entah..."

"Apa? Dia tak nak aku bayar harga side mirror sebab dia nak saman aku ke?"

"Ke situ pulak. Entah-entah ni jodoh kau."

D mengeluh. Rautnya jelas tidak berpuas hati.

"Janganlah nak pusing jauh sangat, Puan Aura. Tiba-tiba jodoh. Merepek."

"Yalah. Dah kau cakap dia misteri. Kan orang cakap, jodoh tu misteri."

D sengaja mengherotkan bibirnya.

"Daripada gaya bahasa, aku rasa dia ni lelaki. Sebab tulah dia panggil kau bro. Bila dia lelaki dan kau perempuan, tak mustahil apa yang aku cakap ni betul."

"Kau sendiri tahu aku tak fikir soal jodoh. Bagi aku, tak wujud lelaki..."

"Yang sanggup hidup dengan kau sampai kau tutup mata. Kau rasa, generasi lelaki yang setia dah pupus. Tak wujud istilah janji dalam hidup lelaki," pintas Aura Aisyah.

Dia sudah masak dengan prinsip D mengenai jodoh.

D membalas dengan memetik jari. "Tepat sekali."

"D, tak semua lelaki macam ayah ti..."

Hampir sahaja Aura Aisyah terlepas bicara. Namun, D terlebih dahulu mencelah.

"Jangan sebut perkataan tu, Aura. Perkataan tu tak pernah wujud dalam kamus hidup aku."

D segera menyekat kata-kata Aura Aisyah. Dia memperkemas ikatan tali apron yang berada di bahagian belakang pinggangnya.

"Sorrylah."

"Aku tak marah, cuma aku tak nak rasa tertekan. Aku tak suka fikir perkara yang tak sepatutnya aku fikir."

"Kalau macam tu, fikirkanlah Mr. Side Mirror tu. Macam baik aje orangnya. Nombor telefon pun dah ada," usik Aura Aisyah.

Dia mahu mengubah topik perbualan mereka.

Sekali lagi D sengaja memburukkan raut mukanya. "Buat apa nak fikir pasal dia? Gila ke?"

"Dulu, kau cakap aku gila sebab aku senyum-senyum dapat WhatsApp daripada Abang Ayam. Silap-silap, lepas ni kau pula yang kena penyakit tu," lafaz Aura Aisyah sambil memberikan jelingan bermakna.

Aura Aisyah melangkah secara mengundur ke ruang belakang dan dalam masa yang menjongket kening beberapa kali.

D memerhati sahaja tingkah wanita yang memakai selendang berwarna biru pastel itu.

"Jaga-jaga, Cik Dinda Andria." Aura Aisyah sempat berpesan sebelum dia menolak pintu.

"Aku belum jumpa lagi, dah kena bahan macam ni. Kalau dah jumpa?" D menggeleng kepala.

Kemudian, diamengambil tempat di kaunter. Ada kerja yang perlu dibereskan.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now