D memutarkan kunci pada arah lawan jam setelah menyimpan topi keledar dan beg sandangnya di dalam loker. Kunci yang tergantung pada permukaan pintu diambil, lalu diselitkan ke dalam poket seluar jeannya.
Kemudian, dia beredar dan berjalan menuju ke ruang makan bistro. Hujung mata D menangkap kelibat Aura Aisyah yang sedang duduk di meja yang kedudukannya sedikit terlindung berbanding yang lain.
"Nah."
Suara D menyapa gegendang telinga Aura Aisyah. Dia leka membalas pertanyaan pelanggan yang mahu memesan kek menerusi laman web Bistro D'Aura.
Secara spontan, Aura Aisyah menoleh. Sebuah buku cek, beberapa slip dan resit sedang dihala oleh gadis berambut pendek itu.
"Lamanya kau pergi bank. Buat aku risau aje," lafaz Aura Aisyah setelah objek tersebut berpindah milik.
"Ramai sangat orang kat bank tadi. Tu yang lambat."
"Kalau ramai tak apa, jangan kau yang jadi apa-apa. Mana tahu kena rompak."
"Ke situ pulak perginya. Kau lupa ke yang aku ni mengajar tae kwan do?" soal D.
"Taklah lupa. Cuma risau. Kau tetap perempuan. Belum kahwin pulak tu."
D mencemikkan wajahnya.
"Dahlah. Aku nak pergi sambung kerja," beritahu D.
Dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja Aura Aisyah meneruskan kerja. Sebaik tiba di kaunter, D melihat pekerjanya sedang memulangkan baki wang kepada pelanggan.
"Anne, tak apa. Akak ambil alih kerja cashier. Anne pergi tengok kek mana yang kurang," arah D sambil mengikat tali apron di pinggang.
Tanpa sebarang bantahan, Anne menurut. D membaca pesanan yang tertera pada skrin.
"El, hot cappuccino with cream satu dengan iced Americano," lafaz D kepada Elina yang bekerja sebagai pembantu barista di bistronya.
"Okey," balas Elina sambil tangannya ligat mengambil cawan kertas dan membancuh minuman.
Seraya itu, telinga D mendengar deringan menandakan pintu masuk dikuak. D menoleh ke ruangan itu sambil mempamer senyuman. Dua orang lelaki sedang melangkah masuk.
"Selamat datang," ucap D dengan ramah.
Serta-merta pergerakan kaki Khairi Raqib terkaku. Pandangan dua insan sedang bertaut. Halkum lelaki itu bergerak sekali. Dia tidak berupaya mengalihkan penglihatannya daripada terus menatap wajah perempuan itu.
"Ya, encik?" D bersuara lagi. Hati kecilnya menerbitkan sedikit perasaan hairan.
Faid menyenggol lengan sepupunya.
Laju sahaja kepala Khairi Raqib menoleh. Dia seakan-akan baru tersedar daripada pukau.
"Jalan depan lagi, bro. Takkan nak berhenti kat tengah-tengah kedai ni? Kau tak nak tengok muka dia dekat-dekat ke?" bisik Faid.
"Hati aku rasa lain macam, der."
"Kau buat maco macam biasa aje. Jangan nampak sangat," ujar Faid lagi dengan alunan suara yang sama.
Khairi Raqib menghela nafas. Dia cuba untuk bertenang. Tenaga disalurkan ke tapak kaki, lalu dia berjalan menghampiri kaunter.
Faid turut meniru tingkah tersebut. Kini, Khairi Raqib dan D hanya berjarak satu meter.
"Hai, selamat datang. Encik nak pesan apa?" Sekali lagi D mengulangi prosedur untuk mengambil pesanan pelanggan.
"Encik nak minum?" soal gadis itu lagi setelah tidak menerima sebarang respons.
Khairi Raqib melihat raut D tanpa berkelip.
"Encik baru pertama kali datang bistro ni ke? Nak saya rekomenkan?" D memberi cadangan setelah melihat wajah Khairi Raqib seperti teragak-agak.
Tambahan lagi, dia belum pernah melihat wajah kedua-kedua lelaki itu sebagai pelanggan Bistro D'Aura.
Malangnya, Khairi Raqib masih membisu. D dapat merasakan pandangan lelaki itu sedang menjamah setiap sudut dan garisan yang membentuk wajahnya.
"Encik?" Suara D sedikit meninggi berbanding tadi.
Elina yang baru sahaja meletakkan dua bekas minuman di atas dulang milik pelanggan sebelum ini turut memandang majikannya dan pemuda tersebut.
Melihat situasi canggung itu, Faid berdeham. "Bro, tadi kau cakap nak caramel latte, kan?"
Khairi Raqib tersentak. Sekali lagi dia hanyut dengan perasaannya sendiri. Faid segera memberi isyarat mata agar Khairi Raqib bertindak.
Batuk kecil yang sengaja dibuat-buat dilepaskan. Khairi Raqib berpura-pura tenang.
"Saya nak oder caramel latte dua."
"Sejuk ke panas?"
"Sejuk."
Jari telunjuk D bergerak-gerak pada permukaan skrin sentuh mesin daftar tunai. Pesanan Khairi Raqib sudah direkodkan.
"Ada pesanan lain?" soal D. Dia memerhati wajah Khairi Raqib.
"Tak ada."
Ketika ini ada sesuatu di bahagian mulut Khairi Raqib yang menarik perhatian D.
"Encik tak nak pesan kek?" cadang D.
"It's okay. Saya nak coffee aje."
Tatkala Khairi Raqib sedang berbicara, D memandang baris gigi hadapan milik lelaki itu. Tumpuan D sedikit terganggu.
"Berapa?" tanya Khairi Raqib.
D melihat skrin, lalu memberitahu jumlah yang perlu dibayar. Setelah memulangkan baki wang, D memberi arahan kepada Elina untuk menyediakan minuman yang dipesan oleh Khairi Raqib.
Suara antara mereka tidak kedengaran lagi. Hanya bunyi mesin pembancuh kopi mencelah suasana.
"Cik?" panggil Khairi Raqib tiba-tiba.
D tidak jadi mahu ke ruang kaca yang mempamerkan deretan kek. "Ya?"
"Cik rasa kita..." Suara Khairi Raqib bagaikan tersekat di tekak.
Dia hilang upaya untuk berbicara.
"Kita?" Nada D jelas kehairanan.
Halkum Khairi Raqib bergerak lagi. Dia cuba melancarkan kerongkongnya agar apa yang terbuku dalam fikirannya mampu diluahkan. Malangnya, lidah lelaki itu tidak mampu mengatur kata.
"Kenapa dengan kita, encik?" D menyoal lagi.
Debaran di dada Khairi Raqib semakin tidak menentu.
"Tak ada apa-apalah," balasnya, mematikan rasa ingin tahu gadis itu.
Perasaan hairan semakin mengetuk fikiran D. Jika tadi Khairi Raqib memerhatikan dirinya, kini perkataan kita pula terpacul dari bibir lelaki itu.
"Betul tak ada apa-apa? Ke... encik perlukan sesuatu?"
Khairi Raqib menggeleng kepala.
"Kalau macam tu, apa kata encik duduk dulu sementara coffee encik siap," usul D.
"Terima kasih."
"Sama-sama," balas gadis itu disulami senyuman manis.
Kemudian, Dmenyambung semula kerja di kaunter yang tertangguh tadi.
YOU ARE READING
DINDA KANDA
RomanceTajuk: DINDA KANDA Penulis: NIA QURRATUN'AINI Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-24-0 Dinda Andria. Nama bukan main sedap, tapi dia suruh orang panggil dia D saja. "Jangan panggil saya dengan nama tu. Panggil saya D." "Nama Dinda sesuai untuk aw...