SKRIN televisyen 52 inci menjadi gelap sebaik sahaja Humairah menekan salah satu butang yang ada pada alat kawalan jauh.
Riz Khairiyah yang leka menonton terkejut. Belum sempat dia bersuara, hujung matanya menangkap kelibat Khairi Raqib dan Faid. Riz Khairiyah segera membatalkan niat mahu menonton televisyen. Sebentar lagi ada drama yang akan bersiaran secara langsung di hadapan matanya.
"Nak tercegat kat depan pintu tu aje ke? Tak nak duduk?" aju Humairah.
Dia melabuhkan punggung pada permukaan sofa tunggal, lalu berpeluk tubuh. Gaya wanita itu seperti inspektor polis mahu menyoal siasat penjenayah.
Khairi Raqib dan Faid pula saling memberi isyarat mata.
"Kenapa tu? Bagi signal apa aje? Tak berani nak datang dekat mama? Ada buat salah ke?" sindir Humairah
"Tak adalah. Mana ada Qib buat salah, mama. Kan Qib baru balik makan malam dengan Irma. Mama juga yang suruh." Khairi Raqib cuba menyejukkan hati ibunya.
Dia dan Faid berjalan seiringan ke ruang tamu. Setelah tiba di ruangan itu, mereka mengambil keputusan untuk berdiri sahaja.
"Memang Qib ikut apa yang mama suruh, tapi..." Bebola mata Humairah bergerak sedikit ke kiri.
Dia menatap sejenak anak kepada kakak sulungnya itu.
Faid menelan air liur. Dia tahu, tidak lama lagi tempias bebelan Humairah terhadap Khairi Raqib akan mengena dirinya juga.
"Jangan ingat mama tak tahu yang Faid ikut Qib pergi makan malam dengan Irma tadi."
"Macam mana Mama Aira tahu?" soal Faid dengan spontan.
Lantas, satu senggolan mengena lengannya. Khairi Raqib membesarkan mata.
"Apasal kau tanya macam tu? Kantoilah. Benda boleh elak, der," ucap Khairi Raqib.
Pergerakan bibir sengaja dibataskan untuk mengelak suaranya didengari Humairah.
"Jangan ditambah lagi dosa menipu. Memang dah kantoi, bro. Nak buat macam mana?" balas Faid dengan nada yang sama.
"Tak payah nak bisik-bisik. Jangan nak temberang mama. Mama tahu sebab Riz nampak kereta Faid."
"Riz Khairiyah!" Khairi Raqib membulatkan mata setelah menoleh ke arah adiknya yang sedang duduk di sofa tunggal yang satu lagi.
"Apa? Manalah orang tahu kena rahsiakan semua ni. Abang Qib tak cakap pun dengan Riz supaya jangan beritahu mama. Tadi, masa Riz balik, Riz ternampak kereta Abang Faid kat bawah pokok besar hujung jalan sana. Riz pun tanyalah mama. Kut-kut Abang Faid ada kat rumah. Itu pun salah ke?" balas Riz Khairiyah.
"Memang tak salah, tapi tak betul." Kembang kuncup rongga hidung Khairi Raqib menahan geram.
"Abang Qiblah yang tak betul. Siapa suruh tak pesan awal-awal?" bangkang Riz Khairiyah, mahu mempertahankan dirinya.
Khairi Raqib memberikan jelingan tajam.
"Amboi, Encik Qib. Selama hari ni ajak Faid aje. Sekarang, nak libatkan Riz pulak jadi rakan komplot awak?"
"Sorry, Puan Humairah," balas Khairi Raqib. Kemudian, pandangannya tertumpah ke permukaan jubin lantai.
"Mama dah pesan, jangan bawa Faid. Jangan libatkan Faid. Kali ni Faid berlakon jadi siapa? Bodyguard? Along? Doktor peribadi?" sindir orang tua itu.
Sebelum ini, sudah tiga kali Humairah mengatur pertemuan antara Khairi Raqib dan anak-anak perempuan kenalannya.
"Mana ada Faid berlakon jadi siapa-siapa, Mama Aira," ungkap Faid.
YOU ARE READING
DINDA KANDA
RomanceTajuk: DINDA KANDA Penulis: NIA QURRATUN'AINI Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-24-0 Dinda Andria. Nama bukan main sedap, tapi dia suruh orang panggil dia D saja. "Jangan panggil saya dengan nama tu. Panggil saya D." "Nama Dinda sesuai untuk aw...