BAB 5

347 15 0
                                    

"BUDAK kecil macam tu pun boleh faham kenapa papa dia sibuk sangat dengan kerja. Qib pulak tak boleh faham apa yang mama nak?" Tidak semena-mena suara Humairah memecah suasana.

Khairi Raqib memandang ke kirinya. Wanita itu sedang menuruni tangga dengan wajah serius.

"Apa maksud mama ni?"

"Apa maksud mama? Qib tak tahu ke atau sengaja buat tak tahu? Ke memang tak nak tahu langsung kenapa mama buat semua ni untuk Qib?"

"Mama..." Khairi Raqib cuba membaca air muka ibunya.

Semasa dia pulang dari pejabat petang tadi, dia perasaan Humairah seakan-akan tidak mahu bercakap dengannya. Sepotong pertanyaan yang Khairi Raqib lontarkan, hanya sepatah perkataan yang dibalas.

"Mama marahkan Qib ke?"

"Memang. Memang mama marah."

"Apa lagi yang tak kena, mama?"

"Siang tadi, mama lunch dengan Irma," jawab Humairah, lalu duduk di sofa berhampiran anak dan cucunya.

Suasana di ruang tamu menjadi sepi. Tatkala mendengar enam patah perkataan itu, Khairi Raqib dapat mengagak mengapa Humairah bersikap dingin.

"Mama, kita bincang lain kali, boleh? Qib nak luangkan masa dengan Irfan." Khairi Raqib berusaha menggunakan anak kecil itu sebagai alasan untuk mengelak.

"Kalau tak bincang sekarang, nak bincang bila? Nak bincang masa mama dah tutup mata nanti?" perli wanita itu.

Ternyata, Khairi Raqib tidak punya pilihan lain. Dia turutkan juga kehendak Humairah.

"Mama, pasal makan malam Qib dengan Irma, Qib tak buat apa-apa pun."

"Qib tak buat apa-apa? Habis tu, macam mana Irma boleh cakap Qib dengan Faid macam pasangan..." Humairah sengaja menggantung bicaranya tanpa tanda noktah.

Sejak semalam dia berusaha untuk menghubungi anak kenalannya itu. Namun, Irma seperti mahu mengelak. Sudahnya, Humairah pergi ke pejabat gadis itu untuk mendapatkan jawapan.

"Sebelum ni, macam-macam helah yang Qib guna untuk mengelak. Tapi, helah kali ni yang mama paling tak boleh terima. Qib sanggup berlakon jadi macam tu supaya Irma tak nak berkawan dengan Qib?"

Perasaan sakit hatinya semakin bertimpa-timpa. Dia langsung tidak menjangka dia akan menerima jawapan seperti itu dari mulut Irma.

"Mama, Qib tak cakap dengan Irma pun yang Qib ni ke arah nafsu yang macam tu. Irma yang salah faham."

"Jadi, memang Qib tahulah yang Irma fikir macam tu?"

Khairi Raqib tidak membalas.

"Bila dah tahu, tak reti nak terangkan keadaan sebenar?" soal Humairah lagi.

Dia dapat mengagak apa yang bermain di minda anak lelakinya itu.

"Qib memang nak Irma salah faham, kan? Biar Irma tak nak berkawan dengan Qib. Senanglah Qib nak bagi alasan kat mama. Betul?"

"Mama, Qib tak minta pun mama buat macam ni. Qib belum bersedia nak kahwin. Mama janganlah paksa Qib buat apa yang Qib tak nak."

"Puan Humairah, betul apa yang Qib cakap tu. Tak payahlah nak paksa dia."

Khalid yang sedang membaca di dalam kamar tidurnya terpaksa keluar setelah mendengar suara Humairah dari tingkat bawah sedang memarahi Khairi Raqib.

"Abang pun tahu sebab apa saya buat macam ni, kan? Umur Qib tu dah 33 tahun. Bukan untuk dia aje, saya bersusah payah carikan jodoh Qib ni untuk Irfan juga. Irfan tu perlukan kasih sayang seorang ibu."

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now