BAB 11

147 2 0
                                    

KEK bulat bersaiz enam inci dimasukkan ke dalam kotak. D memandang wajah perempuan yang sedang berdiri di hadapannya. Jelas terpancar kegembiraan pada raut tersebut.

"Awak memang suka makan kek ni ke?" aju D, sekadar berbasi-basi.

Kemudian, D menarik laci dan mengambil gulungan reben berwarna merah yang diperbuat daripada plastik.

"Suka, tapi saya beli kek ni untuk mak saya. Hari ni birthday dia. Dia suka makan mango cheese cake kat bistro awak ni."

"Oh, hari ni birthday mak awak?"

"Ha'ah. Mak saya cakap tak payah susah-susah belikan dia hadiah. Tu yang saya belikan kek ni untuk dia."

Tanpa dipaksa, hati D diserang perasaan terharu. Namun, terselit rasa cemburu setelah mendengar kata-kata itu. D tidak meneruskan perbualan. Sebaliknya, dia hanya mengukir senyuman tawar.

"Kelmarin saya dah bayar deposit, bakinya saya kena bayar 50 ringgit, kan?" aju perempuan tersebut sebaik sahaja kotak kek berada di tangannya.

"Tak apalah. Baki duit untuk kek tu saya belanja."

"Serius?"

D mengangguk.

"Betul ke ni?" ajunya lagi untuk mendapat kepastian.

"Betul. Lagipun, kek ni untuk mak awak, kan?"

Perempuan tersebut mengangguk. "Terima kasih. Semoga murah rezeki awak."

"Terima kasih. Sampaikan salam selamat hari lahir saya kepada mak awak."

"Insya-Allah."

Bibir D pamer senyuman manis. Dia memerhati sahaja langkah perempuan itu sehingga lenyap daripada pandangannya. Namun, fikiran D menayangkan peristiwa yang berlaku pada malam semalam.


D berdiri lama di hadapan pagar rumah setinggi dua tingkat itu. Saat memandang Toyota Hilux yang berada di garaj, hati D bertambah sakit. Membayangkan wajah tuan punya kenderaan itu sudah cukup membuatkan perasaan benci dan jengkel membuak-buak di dada gadis itu.

"Sabar, D. Cuba kawal rasa marah kau tu," ujarnya sendiri.

Dia menghirup udara malam beberapa kali untuk menerbitkan rasa tenang. Tidak punya pilihan lain, D menyelak pagar yang diperbuat daripada besi tahan karat itu.

D mengatur jejak menghampiri pintu masuk. Namun, hujung matanya menangkap dua kelibat sedang duduk di bangku dan meja yang terletak di halaman rumah.

"Assalamualaikum," ucap D sebaik tiba di ruangan tersebut.

"Waalaikumussalam," balas Wahida.

D mahu bersalaman dengan ibunya, lalu Wahida menghulurkan tangan.

"Tak nak salam ayah?" ajunya setelah meleraikan tautan tangan mereka.

Meskipun hayatnya menghampiri separuh abad, wajah Wahida tidak nampak dimamah usia. Tambahan lagi, dia berkahwin ketika usianya 19 tahun. Ia merupakan salah satu faktor Wahida masih tampak cantik dan awet muda.

D tidak memberikan sebarang reaksi. Sekilas pun dia tidak menatap raut lelaki itu.

"Salam tangan ayah, D," arah Wahida. Kali ini suaranya lebih tinggi dan tegas.

"Tak apalah. D datang sini bukan nak salam dia," balas D dengan bersahaja.

Wahida dan Salim saling berpandangan. Salim menggeleng dua kali sebagai isyarat agar Wahida berhenti mendesak gadis itu.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now