BAB 8

226 10 1
                                    

EMPAT keping wang kertas berwarna biru berpindah milik. Khairi Raqib menghadiahkan senyuman.

"Terima kasih," ucapnya setelah memasukkan helaian tersebut ke dalam dompet.

"Sama-sama, bang," balas pekerja yang bertugas sebagai juruwang di restoran tersebut.

Khairi Raqib mengatur jejak ke luar. Faid sudah menanti di kaki lima kedai.

"Kenyang?" soal Khairi Raqib disulami nada sindiran.

"Bukan setakat kenyang, ni namanya nikmat dunia. Orang belanja, mestilah sedap," jawab Faid.

"Kalau bab belanja, memang aku ajelah yang selalu kena," lafaz Khairi Raqib.

Dia memulakan langkah untuk ke pejabat. Kemudian, Faid menurut tingkah sepupunya itu. Restoran dan pejabat Khai Construction hanya selang tujuh buah kedai.

"Kalau selalu kantoi dengan Mama Aira, okey jugak, kan? Jimat duit makan aku."

"Kau memanglah okey. Aku ni? Telinga rasa panas bila Puan Humairah membebel malam tadi. Kalau jerang air kat telinga aku ni boleh mendidih tau."

"Tak habis lagi ke kes Irma tu?"

"Selagi aku tak kahwin, bukan kes Irma aje, entah anak dara orang mana lagi yang akan terlibat."

"Dah tu, tak reti-reti lagi? Nak cepat selesai masalah, kahwin ajelah."

"Cakap orang, kau tu?"

"Aku lain cerita. Kau tu lebih tua daripada aku. Abang kena kahwin dulu."

"Guna air liur, memanglah senang."

"Mama Aira bukan risau pasal kau aje, dia nak yang terbaik untuk Irfan."

Khairi Raqib membisu. Jiwanya terasa penat dan letih mendengar perkara yang sama.

"Peranan kau terhadap Irfan tak sama macam dulu. Masa umur dia dua tahun, mak dia tinggalkan dia. Lepas tu, umur dia lima tahun dah jadi anak yatim. Kalau bukan kat kau, kat siapa lagi dia nak menumpang kasih? Sekarang ni, kaulah papa, kaulah mama dia."

"Entahlah, Faid. Aku rasa Irfan tak luak kasih sayang pun kat rumah tu."

"Kau kena faham keadaan Irfan. Budak-budak lain boleh bercerita pasal mak ayah dia orang. Dia? Dia cuma ada papa, iaitu kau. Mama dia?"

Sekali lagi Khairi Raqib mendiamkan diri. Langkah kaki mereka terhenti setelah tiba di hadapan pintu masuk Khai Construction.

"Aku faham keadaan kau, bro. Sekarang ni, Khai Construction baru nak stabil semula. Fokus kau dah tentu kat syarikat. Habis tu, perhatian kau kat Irfan macam mana? Masa nilah dia perlukan perhatian seorang ibu. Kau pun kena luangkan masa untuk dia. Aku tahu sangat cara kau kerja macam mana. Makan pun lupa, diri sendiri entah ke mana," bebel Faid lagi.

"Nanti-nantilah aku fikirkan. Banyak kerja kat ofis tu."

"Ke... Masih nak tunggu?"

Khairi Raqib berdeham sekali. Tumpuannya beralih ke kawasan sekitar. Dia berpura-pura tidak mendengar pertanyaan tersebut. Dia mengeluarkan telefon pintarnya.

Ketika ini barulah Khairi Raqib berkesempatan membaca pesanan yang diterima. Dari pagi hingga ke tengah hari, masanya dihabiskan dengan urusan kerja. Tidak cukup lawatan di tapak pembinaan, sebagai pihak kontraktor, dia perlu menghadiri mesyuarat bulanan untuk melaporkan perkembangan projek.

Khairi Raqib mengerutkan dahi sedikit tatkala membaca mesej daripada seseorang.

"Nak ajak jumpa?" ucap Khairi Raqib tiba-tiba.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now