BENTANGAN angkasa yang gelap dipandang seketika. Telinganya mendengar bicara Faid menerusi panggilan telefon. Lelaki itu bukan sekadar sepupu, malah merangkap rakan perniagaannya. Sekali-sekala suara Khairi Raqib kedengaran mengatur kata.
"Aku rasa boleh pakai cadangan kau tu," ujarnya sambil mundar-mandir di taman mini rumah dua tingkat itu.
Tanaman dan pokok bunga hasil tangan Humairah menghiasi penglihatan. Kelebihan memiliki kediaman di penghujung jalan digunakan sebaik mungkin oleh tuan punya rumah.
"Okey. Kita proceed dengan idea kau. Semua drawing dah ada, kan?" aju Khairi Raqib sambil kakinya diatur menuju ke dalam rumah.
Angin yang berhembus menyebabkan dia merasa dingin. Puputan malam mengenai bahagian lengan dan kakinya yang terdedah. Usai tapak kakinya menekap ke permukaan lantai rumah, penglihatan Khairi Raqib menangkap kelibat si kecil yang sedang menuruni tangga.
"Papa?" panggil Irfan setelah tiba di sisinya.
Tangannya pula memegang sebuah buku lukisan dan kotak pensel warna.
"Faid, aku sambung bincang dengan kau esok ajelah."
Khairi Raqib melabuhkan pandangan. Dia mengusap lembut kepala kanak-kanak tersebut.
"Tak adalah. Irfan ada kat sebelah aku ni," beritahu lelaki itu.
Setelah berbicara beberapa potong ayat, Khairi Raqib menjarakkan telefon pintar tersebut dari telinganya.
"Irfan, Uncle Faid kirim salam," beritahu Khairi Raqib.
Kini, perhatiannya tertumpu kepada si kecil itu.
"Uncle Faid kirim salam?"
"Ya. Kalau orang kirim salam, kita kena jawab apa?"
"Waalaikumussalam."
Khairi Raqib tersenyum. Dia mengangkat tubuh budak lelaki berusia enam tahun itu, lalu berjalan menghampiri sofa tiga serangkai. Setelah tiba, Khairi Raqib melabuhkan punggung dan Irfan duduk di atas ribanya.
"Pandainya. Anak siapa ni?"
"Anak papalah."
Sekali lagi Khairi Raqib meleret senyuman.
"Irfan nak cakap sesuatu dengan papa ke?" teka Khairi Raqib.
Irfan tidak terus menjawab. Dia hanya menatap wajah Khairi Raqib.
"Kenapa ni? Cikgu ada bagi homework yang susah ke? Irfan tak dapat jawab?"
"Tak adalah. Kalau homework, Irfan dah tanya dengan Aunty Riz."
"Habis tu?"
"Irfan dah lama tak duduk dengan papa macam ni."
Khairi Raqib membisu. Hatinya tersentak dengan kenyataan kanak-kanak tersebut.
"Kat rumah pun papa kena kerja juga ke?"
Khairi Raqib memandang raut Irfan dengan perasaan bersalah. Tidak dinafikan, sejak kebelakangan ini dia jarang meluangkan masa bersama Irfan. Kerja di pejabat sering dibawa ke rumah. Kadangkala dia terlelap di ruang tamu dan meja makan kerana letih menyiapkan kertas kerjanya.
"Papa minta maaf, Irfan," ucap Khairi Raqib.
Kemudian, dia mendakap Irfan.
"Papa sibuk sikit. Papa nak pindah pejabat. Papa kena pergi sana, jumpa orang sini. Sebab tu kerja papa kena bawa balik kat rumah," beritahu lelaki itu setelah meleraikan pelukan.
YOU ARE READING
DINDA KANDA
RomanceTajuk: DINDA KANDA Penulis: NIA QURRATUN'AINI Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-24-0 Dinda Andria. Nama bukan main sedap, tapi dia suruh orang panggil dia D saja. "Jangan panggil saya dengan nama tu. Panggil saya D." "Nama Dinda sesuai untuk aw...