BAB 10

126 2 0
                                    

"AMACAM, der?" soal Faid setelah tapak kasutnya menekap pada permukaan lantai kaki lima Bistro D'Aura.

Dia meneguk perlahan minuman caramel lattenya.

"Memang dia," ujar Khairi Raqib tanpa ragu-ragu.

"Kau pasti?"

"Muka dia, suara dia... dan yang paling aku ingat, tatapan mata dia masih sama macam dulu. Firasat aku kuat mengatakan dialah orangnya."

Faid menghela nafas. Dia menatap sekali imbas susuk tubuh D yang berada di kaunter menerusi dinding kaca bistro tersebut.

"Tapi, dia macam tak cam aku aje. Cara pandangan dia kat aku macam orang asing. Dia tak rasa apa-apa ke?"

"Rasa? Dia kena rasa apa bila nampak kau?"

"Tak, maksud aku, dia langsung tak ingat aku ke? Dia tak kenal aku?"

"Mungkin dia tak ingat kau. Tiga tahun lepas kau lain, bro. Tak sama macam sekarang. Kau lupa ke yang kau simpan jambang lepas balik dari overseas dulu?"

Air muka Khairi Raqib jelas kelihatan hampa. Lelaki itu merasa sedikit kecewa kerana D langsung tidak mengenalinya.

"Qib, janganlah buat muka ketat sangat. Perkara ni normal. Ada sesetengah manusia susah nak cam orang. Mungkin dia tergolong dalam golongan macam tu."

Sanubari Khairi Raqib sedikit terganggu. Ketika ini, perasaannya bercampur aduk.

"Bila dia tak ingat, maknanya kejadian tu tak penting buat dia. Kan?"

"Kau janganlah fikir pasal dia tak ingat kau tu. Yang penting, kau tahu siapa dia. Dialah orang yang selamatkan kau dan dia jugalah orang yang dah calarkan side mirror kereta kau. Orang yang kau cari dan perempuan yang kau tunggu selama ni dah muncul depan mata kau."

Raut muka Khairi Raqib mula berubah. Pandangan matanya memancarkan harapan.

"Qib, aku rasa inilah hikmahnya kita pindah ofis kat sini. Kau ingat tak yang agen hartanah tu cakap, lot kedai yang kita minta kat Taman Bestari tu dah habis? Lepas tu dia cadangkan kedai kat sini. Sekarang ni, kau nak tengok dia hari-hari pun boleh."

Kata-kata Faid memberi harapan kepada sepupunya. Perasaan kecewa mula terkikis.

"Kau jangan lupa satu hal lagi." Faid bersuara lagi.

"Apa dia?"

"Kau dah ada nombor telefon dia. Senang kerja. Jalan dah jadi singkat, bro."

Bibir Khairi Raqib yang rata kian melengkung manis. Tapi, mengapa dia langsung tidak ingat akan hal tersebut?

Namun, belum sempat Khairi Raqib membuka mulut, pintu kaca bistro dikuak dari dalam. Mereka serentak menoleh, muncul D di situ. Ketika ini, jantung Khairi Raqib berdegup kencang semula.

"Encik?"

Kedua-dua lelaki itu saling memandang untuk sejenak. Kemudian, Khairi Raqib menatap raut D semula.

"Ya?"

"Sebenarnya, saya ada sesuatu nak cakap dengan encik."

Bukaan mata Khairi Raqib mula membesar. Ada sesuatu nak cakap? Dia nak cakap yang dia dah ingat siapa aku ke? desis hati kecil Khairi Raqib.

"Awak nak cakap apa?" Khairi Raqib berlagak tenang.

Namun, gejolak hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Saya rasa..." Riak yang terpamer pada wajah D kelihatan sedikit serba salah.

Mata D tertumpu pada bahagian bibir Khairi Raqib.

DINDA KANDAWhere stories live. Discover now